Keberkesanan dos penggalak merosot dengan ketara pada bulan keempat

 

Keberkesanan dos penggalak vaksin teknologi messenger asid ribonukleik (mRNA), Pfizer dan Moderna akan merosot dengan ketara pada bulan keempat pengambilannya.

Kajian terbaharu itu dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, kelmarin.

Walaupun diketahui keberkesanan vaksin menurun selepas dua dos, namun tidak banyak kajian diterbitkan mengenai tempoh masa perlindungan selepas mengambil dos penggalak. 

Kajian itu berdasarkan lebih 241,204 individu yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan atau klinik dan 93,408 kemasukan hospital orang dewasa yang dijangkiti Covid-19 dengan lebih serius antara 26 Ogos 2021 hingga 22 Januari lalu.

Keberkesanan vaksin pula dilihat dengan membandingkan kebarangkalian keputusan positif ujian Covid-19 antara pesakit yang divaksin dan tidak divaksin yang menggunakan kaedah statistik untuk faktor kawalan seperti kawasan geografi, tahap penularan tempatan serta ciri pesakit seperti komorbiditi.

Sepanjang tempoh pra-dominasi varian Omicron, keberkesanan vaksin dalam mencegah kedatangan pesakit ke jabatan kecemasan atau klinik adalah 87 peratus dalam tempoh dua bulan selepas dos ketiga tetapi menurun kepada 66 peratus pada bulan keempat.

Keberkesanan vaksin dalam mencegah kemasukan ke hospital adalah 91 peratus dalam dua bulan pertama, namun menurun kepada 78 peratus pada bulan keempat selepas mengambil suntikan dos ketiga.

"Penemuan perlindungan yang diberikan vaksin mRNA berkurangan pada bulan-bulan seterusnya selepas menerima dos ketiga mengukuhkan lagi kepentingan pertimbangan lanjut tentang keperluan dos tambahan lain untuk mengekalkan atau meningkatkan tahap perlindungan," kajian itu menyimpulkan.

Bercakap dalam taklimat di White House, Rabu lalu, Penasihat Perubatan Tertinggi Presiden Joe Biden, Anthony Fauci berkata, ia menunjukkan kemungkinan dos keempat diperlukan untuk meningkatkan kembali tindak balas imunisasi golongan lemah seperti warga emas dan individu kurang daya tahan terhadap penyakit.

Dalam pada itu Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat turut meluluskan rawatan antibodi baru yang dihasilkan makmal dari syarikat farmaseutikal Lilly yang dikenali bebtelovimab.

Ubat ini diberikan sebagai suntikan intravena selama sekurang-kurangnya 30 saat dan mendapat kebenaran untuk digunakan sebagai rawatan untuk pesakit Covid-19 ringan hingga sederhana dalam lingkungan usia 12 tahun ke atas yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk.

Sumber dari AFP

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url