YouTube bantu Aishatussufiiah cemerlang STPM

 


Platfrom YouTube dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Zulkifli Muhammad, di sini untuk mencari ilmu tambahan sehingga membantunya cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021.

Aishatussufiiah Badrol Hisham, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.67 dalam STPM yang diumumkan hari ini, berkata kejayaan dalam peperiksaan itu bukan dikecapi dengan mudah disebabkan penularan COVID-19 sebelum ini.

"Di samping menumpukan perhatian ketika belajar bersama guru dan rakan-rakan di kelas, saya juga membuat ulangkaji serta menjawab soalan-soalan STPM tahun-tahun sebelumnya.

"Saya juga menjadikan medium media sosial iaitu YouTube untuk menambah ilmu dan membuat nota ringkas selepas mengulang kaji setiap subjek," katanya.

Aishatussufiiah berharap dapat menggapai cita-cita mengikut jejak ibu bapa sebagai pendidik dan diterima memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Pada mulanya memang agak kecewa dan sedih selepas sasaran untuk dapat PNGK 4.00 tidak tercapai. Namun, saya tetap bersyukur kerana sudah berusaha bersunguh-sunguh membuat persiapan dan menjawab peperiksaan.

"Saya berharap dengan keputusan ini, saya mampu merealisasikan impian dan cita-cita menjadi pendidik sama seperti ibu bapa saya," katanya yang memilih Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dan sudah menjalani temuduga di UPSI pada bulan lalu.

Bapanya, Badrol Hisham Zainol Abidin adalah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminudin Baki di Slim River, manakala ibu, Mazidah Abdul Majid mengajar di SMK Dato' Zulkifli Muhammad, kedua-duanya guru Bahasa Melayu.

"Ibu bapa saya mengajar subjek Bahasa Melayu, jadi saya juga ingin menjadi guru subjek berkenaan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url