Gangguan hormon berisiko bawa maut
Gangguan hormon dikategorikan sebagai tidak berbahaya jika dibandingkan dengan penyakit lain seperti serangan jantung atau strok, namun dalam beberapa keadaan ia boleh mengakibatkan pelbagai penyakit dan berisiko membawa maut.
Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Tuan Salwani Tuan Ismail, masalah gangguan hormon yang paling ketara dan banyak berlaku di Malaysia adalah pada kelenjar tiroid.
Katanya, masalah gangguan hormon bergantung kepada jenis kelenjar yang bermasalah kerana setiap kelenjar menghasilkan hormon tersendiri yang berperanan sebagai penggerak kepada hampir kesemua fungsi badan yang utama.
"Sebagai contoh, jika hormon tiroid terlalu rendah atau dikenali sebagai 'Hipotiroidisme', ia akan menyebabkan berat badan meningkat secara mendadak walaupun sudah mengamalkan pemakanan sihat atau bersenam, penat keterlaluan, tidak tahan sejuk atau sembelit dan dalam keadaan teruk, pesakit boleh pengsan dan keadaan ini dipanggil 'Myxedema Coma'.
"Berbeza pula sekiranya hormon dikeluarkan kelenjar tiroid terlalu tinggi atau dipanggil sebagai 'Hipertiroidisme' ia akan menyebabkan berat badan turun mendadak walaupun selera makan bertambah, sentiasa rasa panas atau jantung berdebar dan apabila tidak dirawat dengan betul, pesakit boleh mendapat satu kondisi yang teruk dipanggil 'Thyroid Storm.
"Hormon boleh bercelaru apabila paras hormon berada dalam lingkungan yang tidak normal sama ada melebihi paras normal atau berkurangan daripada yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan.
"Steroid yang diambil oleh pesakit menyerupai hormon kortisol daripada adrenal. Apabila pengambilan ubat yang mengandungi steroid dalam tempoh lama oleh seseorang tanpa pengawasan pakar perubatan, ia menyebabkan kelenjar adrenal 'tertidur' dan ini boleh menyebabkan kekurangan hormon adrenal secara mendadak dan boleh menyebabkan pesakit 'collapse' sekiranya hormon tambahan tidak diberikan segera," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kekurangan hormon pertumbuhan (GH) pula boleh menyebabkan masalah tumbesaran jika ia berlaku terhadap kanak-kanak.
"Hormon pertumbuhan adalah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari dan sekiranya berlaku kekurangan hormon pertumbuhan terhadap kanak-kanak kebiasaannya mereka mengalami masalah ketinggian yang tidak seiring dengan usia, lambat akil baligh bagi kanak-kanak lelaki dan lewat haid pertama bagi kanak-kanak perempuan.
"Sekiranya kelenjar pituitari mengeluarkan hormon berlebihan pula ia boleh menyebabkan 'gigantism' pada kanak-kanak dan 'akromegali' pada orang dewasa iaitu tangan, tapak kaki, muka atau anggota badan lain serta organ pada pesakit menjadi besar," katanya.
Katanya, ujian darah adalah antara ujian utama yang akan dilakukan untuk membuat saringan mengenai masalah kesihatan berkait gangguan hormon dan orang ramai disarankan supaya datang ke fasilii kesihatan pada peringkat awal untuk menjalankan ujian saringan.
"Selain itu, pesakit juga digalakkan mempunyai sedikit pengetahuan tentang masalah gangguan hormon sebelum mendapatkan rawatan awal agar pegawai perubatan dapat memberikan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul," katanya.
Sumber : Berita Harian