249,044 pemohon dapat kerja melalui MyFutureJobs
Seramai 294,044 daripada 879,601 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui portal pekerjaan MyFutureJobs di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2022.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, perkembangan itu selaras dengan pengukuhan pasaran buruh tempatan yang terus menjana peluang pekerjaan berkualiti untuk bakat tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Perkhidmatan pekerjaan dan pelbagai Program Pasaran Buruh Aktif yang dilaksanakan Perkeso menerusi portal pekerjaan MYFutureJobs akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan pasaran buruh negara dan membantu rakyat memperoleh pekerjaan.
“Hasil daripada inisiatif yang dilaksanakan, kita dapat lihat pasaran buruh Malaysia bertambah baik pada suku ketiga 2022, berikutan peralihan negara ke fasa endemik, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pembukaan semula sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.
Sivakumar berkata, pekerjaan disediakan portal MYFutureJobs adalah percuma dan ini termasuk pengiklanan jawatan kosong oleh majikan serta aktiviti berkaitan carian dan penempatan pekerjaan untuk pencari kerja.
Sementara itu, beliau berkata seramai 1,4,114 suri rumah telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang sejak diperkenalkan pada 1 Disember hingga 31 Januari lalu.
Katanya, daripada jumlah tersebuat seramai 135,281 orang adalah suri rumah yang berdaftar dengan e-kasih dan mencarum dengan i-Suri KWSP di mana caruman SKSSR mereka ditaja kerajaan selama setahun di bawah peruntukan Bajet 2022.
“Pandemik Covid-19 yang melanda negara tiga tahun lalu memperlihatkan betapa pentingnya sektor ‘care economy’, dalam konteks penjagaan ahli masyarakat dan komuniti apabila negara berdepan krisis kesihatan dan kontigensi hal domestik.
“Golongan suri rumah dan pekerja domestik meliputi sebahagian besar individu yang terbabit dalam sektor ‘care economy’ tidak berbayar, yang berdepan risiko tiada perlindungan keselamatan sosial atau bantuan kerajaan kerana berada di luar sektor formal pekerjaan,” katanya.
Ujarnya, Kementerian Sumber Manusia bersama Perkeso juga turut menyasarkan 500,000 pencarum SKSSR pada tahun 2023.
Sumber : Kosmo!