KPM kenal pasti enam subjek teras kekurangan guru di sekolah


Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengenal pasti enam subjek teras yang memerlukan tambahan bilangan guru di sekolah setakat 28 Februari lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata mata pelajaran berkenaan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni Visual serta Sejarah.

"Kita tahu kenyataan ini bahawa terdapat kekurangan guru, seperti saya nyatakan sebelum ini KPM telah laksanakan pengambilan guru sebanyak 22,327 guru melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023.

"Bagaimanapun, kita ada perancangan untuk melakukan pengambilan guru pada April hingga Jun ini, kita akan ambil guru dari universiti luar," katanya menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai kekurangan guru sekolah bagi subjek pendidikan teras dan perancangan KPM bagi meningkatkan pengambilan jumlah guru baharu.

Sementara itu, Hui Ying berkata pengambilan guru adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran semasa.

"Jadi mungkin ada sesetengah graduan yang tidak dapat menjadi guru, tidak dipanggil temu duga, ini adalah disebabkan opsyen (mata pelajaran) itu berlainan dengan apa kita perlukan di KPM," katanya.

Menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai nasib graduan yang gagal temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Hui Ying berkata graduan boleh memohon semula melalui mySPP selepas tempoh enam bulan dari tarikh keputusan dikeluarkan di portal rasmi SPP.

Katanya, calon yang masih tidak berjaya boleh terus memohon sehingga mencapai umur 45 tahun.

Sumber : BERNAMA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url