Manuskrip Melayu ratusan tahun ditemui di Belanda

 


Koleksi sebuah perpustakaan lama dari Selangor tersimpan jauh di bandar tua Deventer, utara Belanda sejak 1971.

Mendedahkan hal itu, Ketua Bahagian Asia Tenggara, British Library, London, Datuk Dr Annabel Teh Gallop, berkata koleksi yang mengandungi 72 manuskrip terdiri daripada 45 kitab berbentuk naskhah berjilid dan 27 pucuk surat adalah milik Tengku Panglima Besar Tun Sayid Jafar Ba' Alawi atau lebih dikenali sebagai Sayid Jafar.

"Koleksi itu kini disimpan di sebuah perpustakaan, Athenaeumbibliotheek di sebuah bangunan bersejarah. Manuskrip yang tertua dalam koleksi ini dipercayai dihasilkan pada 1603.

"Koleksi berkenaan dianggap sangat penting untuk Sayid Jafar kerana beliau sanggup membakar perpustakaan miliknya daripada jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1784," katanya ketika memberi syarahan 'Perpustakaan di Negeri Selangor Kurun Ke-18: Koleksi Buku Panglima Besar Tengku Sayid Jafar' anjuran Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), baru-baru ini.

Gallop berkata, daripada keseluruhan 72 manuskrip, berkemungkinan hanya 28 jilid besar buku berasal daripada koleksi Sayid Jafar sementara naskhah lain termasuk surat dan kertas mungkin diperoleh ketika berlakunya Perang Selangor-Belanda.

Tambahnya Perang Selangor- Belanda berlaku ketika Selangor menawan kembali Melaka yang ketika itu dikuasai Belanda. Sultan Kedua Selangor, Sultan Ibrahim menyerang Melaka dengan bantuan bapa saudaranya, Raja Haji yang membawa angkatan perang dari Riau. Dalam peperangan itu, Raja Haji terbunuh di Teluk Ketapang sementara Sultan Ibrahim berundur kembali ke Kuala Selangor.

"Armada Belanda kemudiannya mengejar ke Kuala Selangor. Namun disebabkan pantai Selangor berlumpur, usaha untuk mendarat agak sukar.

"Selepas dua minggu barulah dapat naik ke darat dan mengukuhkan kedudukan mereka sebelum dapat menakluk Kota Kuala Selangor. Sultan Ibrahim dan orang-orangnya pun berundur ke Hulu Selangor lalu masuk ke Pahang untuk mendapatkan bantuan.

"Disebabkan penaklukan itulah Belanda dapat merampas sejumlah manuskrip Melayu lama lalu dibawa ke Belanda," katanya.

Gallop berkata, keseluruhan koleksi berbentuk buku ditulis dalam bahasa Arab sementara himpunan surat dan kitab kecil dikarang menggunakan bahasa Melayu. Bagaimanapun ada beberapa manuskrip buku kecil dan catatan yang ditulis dengan bahasa dan aksara Bugis.

Gallop menyifatkan penemuan koleksi Sayid Jafar itu sangat menarik dan menimbulkan kebarangkalian terdapat juga manuskrip lain dari alam Melayu disimpan di situ.

"Ada yang berasal daripada Aceh, Indonesia kerana ia disertakan maklumat lengkap misalnya di mana ia disalin selain turut dicatatkan nama penyalin dan nama pemiliknya," katanya.

Bagaimanapun tegas Gallop, penemuan koleksi itu tidak boleh dianggap baharu kerana ia sudahpun dikatalogkan sejak 1792 walaupun ditulis dengan tangan.

Katanya, dalam katalog lama susunan koleksi dibuat mengikut bahasa, misalnya semua koleksi berbahasa Melayu akan dihimpunkan bersama.

"Koleksi perpustakaan Sayid Jafar ini memfokuskan ilmu Islam, jadi walaupun ada dalam bahasa Melayu namun majoritinya dalam bahasa Arab.

"Koleksi di Deventer itu turut menyimpan dua mushaf al-Quran. Salah satu ciri yang jelas mushaf ini dihasilkan di Aceh berdasarkan tata letak teks dan tulisan tangan.

"Sebelum ini kami sudah menemui empat mushaf al-Quran lain masing-masing di Aceh, Rotterdam di Belanda dan Vienna, Austria yang dipercayai ditulis oleh orang yang sama kerana tulisannya serupa.

"Hanya satu sahaja mushaf yang saya yakin disalin di Selangor kerana ia masih belum selesai ketika dibawa ke Belanda, ada sekitar enam hingga tujuh halaman sahaja," katanya.

Apa yang menarik katanya, dalam koleksi di Deventer itu terdapat juga buku nahu bahasa Arab, Al-Fawa'id Al Wafiya Fi Hall Mushkilat al Kafiya. Hal ini tegas Gallop menjelaskan orang Melayu satu ketika dulu banyak mengkaji bahasa Arab.

Tambah Gallop, satu-satunya manuskrip kesusasteraan yang ada dalam koleksi itu adalah karya epik berbahasa Bugis iaitu La Galigo.

Namun satu hal yang menarik, meskipun ia disimpan di Deventer, semua koleksi itu kini sudah didigitalkan dan boleh diakses umum.

Gallop berkata, Sayid Jafar datang daripada keluarga keturunan Arab Hadrami yang berasal dari Riau, Indonesia. Bapanya, Sayid Sharif Hassan manakala ibunya, Tengku Puteh adalah anak Raja Kecil di Siak. Sayid Jafar kemudiannya berkahwin dengan Tengku Embong anak Sultan Siak, Mahmud Shah.

Kata Gallop mengikut dokumentasi sejarah, Tengku Embong pernah bernikah dengan Raja Mohd Ali sebelum mengahwini Sayid Jafar.

"Hal ini menjadi sebab mengapa Siak kemudiannya berpihak kepada Belanda ketika menentang Selangor adalah kerana rasa dengki dan amarah Raja Mohd Ali terhadap Sayid Jafar yang berkahwin dengan bekas isterinya.

"Gelaran penuh Sayid Jafar hanya diketahui menerusi dua surat yang dihantar kepada Gabenor Pulau Pinang, Francis Light.

"Malah menerusi surat itu juga pengkaji mengetahui bahawa Sayid Jafar adalah seorang yang berketurunan Arab Hadrami," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url