Sultan Johor dipilih Agong ke-17, Sultan Nazrin timbalan

 


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

Syed Danial berkata, Majlis Raja-Raja turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

"Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Ia dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

"Menurut Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini sudah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri turut dimaklumkan," katanya.

BIODATA SULTAN JOHOR

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru.

Baginda adalah anak sulung hasil perkahwinan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan mendirikan rumah tangga bersama Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1982 serta dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri.

Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

Mengenai pendidikan Sultan Ibrahim, Baginda mula mendapat pendidikan awal di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia pada tahun 1968 hingga 1970 dan meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari tahun 1971 hingga 1975.

Baginda turut mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

Kepimpinan Baginda terserlah selepas melibatkan diri dalam aktiviti ketenteraan yang turut dijadikan asas bagi membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.

Baginda mula menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi dan dilantik sebagai platun komander sebelum mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat. Baginda juga menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.

Semangat ketenteraan yang tinggi mendorong Sultan Ibrahim meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder di mana, Baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.

Baginda kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando. Lebih membanggakan, Sultan Ibrahim turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

Sultan Ibrahim turut melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.

Baginda juga menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak sekali gus melengkapkannya sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.

Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan menjadi seorang Raja yang berwibawa dan dihormati, Baginda meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dengan melengkapi dua kursus iaitu 'Southeast Asian Strategic Studies' dan 'International Law of the Seas'.

Sultan Ibrahim juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek pengurusan serta pentadbiran negeri.

BIODATA PERMAISURI JOHOR

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dilahirkan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.

Baginda adalah puteri kedua daripada tiga anakanda kepada Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Datuk Seri Ariff Shah.

Raja Zarith Sofiah mendirikan rumah tangga bersama Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 1982 semasa Sultan Ibrahim masih bergelar Tunku Mahkota Johor.

Pasangan Diraja ini dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri dan Raja Zarith Sofiah dikurniakan gelaran Permaisuri Johor sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 23 Mac 2015.

Mengenai pendidikan awal Raja Zarith Sofiah, baginda menerima pendidikan awal di Kuala Kangsar iaitu di Sekolah Kebangsaan Datin Khadijah serta menyambung pengajiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom.

Pada September 1972, Baginda menyambung pengajian di peringkat tertinggi di Cheltenham Ladies' College di England dan tujuh tahun kemudian Raja Zarith Sofiah melanjutkan Ijazah Sarjana Muda di Somerville College, University of Oxford, sebelum dikurniakan Ijazah 'Bachelor of Arts in Chinese Studies' pada tahun 1983.

Permaisuri Johor itu mewarisi minat dan bakat seni ayahandanya terutamanya dalam seni lukis.

Baginda pernah menyertai beberapa pameran seni seperti pameran Galeri Seni Yayasan Warisan Johor (2003) dan pameran seni anjuran Maybank Kuala Lumpur yang memberi penghormatan kepada tiga generasi seniman Johor (2004).

Baginda Tuanku Permaisuri juga adalah seorang penulis yang prolifik dan pernah mempunyai ruang akhbar khusus iaitu 'On Common Ground' untuk New Straits Times dan 'Mind Matters' untuk The Star. Sebelum itu, Baginda juga pernah menulis empat buah buku kanak-kanak pada tahun 1995.

Selaku Permaisuri, Baginda banyak terbabit dalam organisasi amal dan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu dilantik sebagai Penasihat Diraja kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Sebagai seorang Permaisuri yang berpendidikan tinggi, Baginda juga menunjukkan minat tinggi terhadap bidang akademia serta menjadi Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Baginda juga amat prihatin terhadap aspek kebajikan rakyat Johor, khasnya mereka dalam golongan B40 dengan mengilhamkan pelancaran program Bangsa Johor Bahagia pada 17 Mac 2019.

Sebagai Canselor UTM, Raja Zarith Sofia turut melancarkan program 'Because We Care' Chancellor's Fund pada 17 Mac 2016 demi menjaga kebajikan pelajar golongan B40 di UTM.

Baginda turut berkenan bekerjasama erat dengan Johor Corporation dalam usaha badan korporat itu menaiktaraf kemudahan di Wad Hematologi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi kegunaan penjaga atau waris pesakit agar kebajikan mereka terpelihara.

Raja Zarith Sofiah turut melancarkan kempen 'TinDak' di bawah kelolaan Johor Women's League (JEWEL) pada bulan Mei 2017. Kempen ini berfokus ke arah perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.

Komitmen dan usaha Baginda yang berterusan dan pelbagai ke arah menambah baik taraf hidup masyarakat telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Baginda dianugerahkan ijazah kehormat daripada University of Nottingham pada tahun 2017.

Sumber : Berita Harian


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url