Akhyar Rashid jadi mangsa samun di Terengganu

 


Polis percaya kejadian menimpa pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang diserang dua individu tidak dikenali, berhampiran sebuah kondominium di sini malam tadi bermotifkan samun.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang juga pemain bola sepak kebangsaan berusia 25 tahun cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa baru tiba di kawasan kediamannya, selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus.

Beliau berkata, mangsa dipercayai diserang suspek yang tidak dikenali sebaik turun dari kenderaan di kawasan di lokasi kejadian.

"Dalam kejadian itu, suspek yang memakai 'mask' dan menutup kepala dengan baju hoodie itu juga dipercayai memukul mangsa menggunakan besi yang boleh laras.

"Suspek kemudian mengambil beg duit mangsa yang disimpan dalam beg bimbit dipegang oleh mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian menaiki sebuah kenderaan," katanya.

Azli berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di ubun-ubun kepala selepas terdapat koyakan kecederaan kira-kira empat sentimeter sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.

Katanya, mangsa menerima empat jahitan di bahagian ubun kepala serta dua jahitan di bahagian kaki kiri selain mengalami bengkak di bahagian lengankiri.

"Kejadian menyebabkan mangsa menanggung kerugian hampir RM5,000 dan setakat ini, kita percaya kejadian bermotifkan samun.

"Usaha mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan," katanya.

Berdasarkan video yang tersebar dalam media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp, pemain kelahiran Kedah itu dikatakan sedang berada di sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

Menurut maklumat yang diterima, Akhyar atau lebih mesra dipanggil Mat Yat cedera di bahagian kepala kerana dipukul individu tidak dikenali.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url