PERODUA mempamerkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya daripada 'Myvi Conversion' dikenali sebagai emo-1 yang akan menjadi asas kepada pembuat kereta kompak itu membangunkan teknologi elektrik.
Prototaip EV itu terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia, manakala pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad, berkata proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Kerjasama yang bermula sejak September 2022 ini bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan dengan menyaksikan PERODUA dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas.
"Kerjasama membuka peluang kepada semua pihak untuk meningkatkan kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam bidang EV," katanya pada Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024) di sini, hari ini.
Zainal Abidin berkata, Perodua Myvi dipilih sebagai model bagi projek ini kerana ia adalah model kereta PERODUA yang telah memenangi hati kebanyakan rakyat Malaysia.
"Walaupun rupa sebenar EV kami berbeza daripada apa yang dipamerkan di sini, tetapi kereta elektrik PERODUA bakal membuat kemunculan dalam pasaran," katanya.
Beliau berkata, harga kenderaan itu tidak akan melebihi RM100,000 dan tidak akan kurang daripada RM50,000.
"Kami mengharapkan tidak akan ada masalah di mana setakat ini, kami berada di landasan yang betul dan diharapkan dapat mencapai sasaran seterusnya," katanya.
Zainal Abidin berkata, kilang PERODUA beroperasi dengan kapasiti lebih 300,000 unit dan syarikat kini mencuba untuk menghasilkan sekitar 240,000 hingga 250,000 unit pada tahun ini.
"Itu sudah melebihi kapasiti biasa kami, menyebabkan kami tidak boleh mengganggu kilang semasa. Jadi, EV adalah sesuatu yang perlu kita pertimbangkan untuk membina kilang baharu.
"Saya juga sedang mencari rakan kongsi dan mereka yang mempunyai kapasiti di Malaysia untuk membenarkan kami melakukan pemasangan," katanya.
Sumber : Berita Harian