Jalan Batang Kali-Genting Highland B66 dibuka semula

 


 Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini, yang ditutup susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember 2022 dibuka semula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, berkata pembaikan cerun di laluan yang menggunakan reka bentuk 'TerraLink Wall System' itu menelan belanja kira-kira RM19 juta.

"Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk menggunakan reka bentuk 'TerraLink Wall System' kerana ia tidak banyak digunakan.

"Sistem ini digunakan selepas mengambil kira lokasi yang agak 'compact' dan 'construction space' tidak luas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 'flag off' pembukaan semula laluan berkenaan kepada pengguna jalan raya.

Semalam, media melaporkan Jalan Batang Kali-Genting Highlands akan dibuka kepada pengguna jalan raya mulai jam 3 petang hari ini.

Pada masa sama, Izham berkata, pembukaan jalan itu juga akan memberi faedah kepada orang awam berbanding dua tahun sebelumnya.

"Sebelum ini, laluan alternatif ini ditutup dan hanya dibuka satu laluan untuk pekerja-pekerja di Genting Highlands yang menetap di Batang Kali.

"Saya berharap ia akan memberi manfaat dan keselesaan kepada pengguna," katanya.

Insiden tanah runtuh pada 16 Disember 2022 menimbus kawasan perkhemahan Father's Organic Farm yang mengakibatkan 18 orang dewasa dan 13 kanak-kanak terkorban.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url