Kapal TLDM KD Pendekar tenggelam, bocor langgar objek bawah air
Kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Pendekar dilapor terkandas di pantai tenggara Johor hari ini selepas mengalami kebocoran.
Difahamkan, kapal pembinasa laju (FAC) dikatakan mengalami kebocoran di perairan Tanjung Penyusup, dekat Pengerang ketika dalam penugasaan operasi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Ya, TLDM akan mengeluarkan kenyataan (mengenai KD Pendekar)," katanya ketika dihubungi New Straits Times.
Difahamkan, susulan kejadian itu semua anak kapal dipindahkan sebagai langkah keselamatan dan KD Pendekar kini ditambat di kapal dagang berhampiran.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor turut mengerahkan aset untuk membantu operasi itu.
KD Pendekar sepanjang 43.62 meter dan lebar 7.1 meter dibina Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden dan dilancarkan pada 11 November 1978, sebelum ditauliahkan pada 27 Julai 1979.
Pada awalnya ia diletakkan dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju (Misil) Kedua sebelum diserapkan ke dalam Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama di bawah Flotila Ronda.
KD Pendekar terkandas selepas bocor di Tanjung Penyusup, Johor
Sementara itu, TLDM dalam kenyataan berkata pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kebocoran KD Pendekar.
TLDM dalam kenyataan berkata, fokus utamanya kini adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal.
"TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden ini iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini," kata TLDM dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan ketika kejadian terdapat 39 kru dan keadaan kapal menjadi separa tenggelam akibat kebocoran berkenaan.
Mengulas kejadian itu, TLDM berkata KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika berada kira-kira dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup di Johor.
"Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika kapal berkenaan sedang melaksanakan penugasan operasi. Kebocoran itu dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.
"Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal berkenaan merebak dengan cepat dan tidak terkawal. Semua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya," kata kenyataan itu.
KD PENDEKAR karam sepenuhnya
Tentera Laut Diraja (TLDM) mengesahkan kapal miliknya iaitu Kapal Diraja (KD) PENDEKAR tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang tadi.
TLDM menerusi kenyataan, hari ini, memaklumkan usaha untuk menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.
"Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD PENDEKAR sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya. Tiada kecederaan dilaporkan.
"Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD SULTAN ISMAIL di Tanjung Pengelih, Johor.
Sumber : Berita Harian