Wabak penyakit Cacar Monyet Mpox

 


Penyakit cacar monyet (mpox) diisytihar sebagai darurat kesihatan awam yang menjadi kebimbangan global oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), baru-baru ini.

Ia susulan peningkatan mendadak kes mpox di benua Afrika dan di beberapa benua lain.

Untuk rekod, tahun ini, 17,541 kes dilapor di benua Afrika dengan 2,822 kes disahkan menghidap mpox dan 14,719 disyaki dijangkiti penyakit berkenaan termasuk 517 kematian.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, virus mpox turut mengakibatkan peningkatan kematian di benua Afrika berbanding tahun lalu berpunca daripada virus jenis 'strain clade I' dan 'strain clade Ib,' baru-baru ini.

"Ia asalnya daripada transmisi haiwan seperti monyet atau tikus dari Afrika

sejak 1950-an lagi. Tetapi menular ke manusia apabila memakan haiwan ini atau bersentuhan dengan haiwan dijangkiti (penyakit bawaan zoonotik)," katanya.

Beliau berkata, mpox boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan langsung yang berterusan.

"Ia berjangkit menerusi air lelehan daripada kulit terbuka yang mempunyai luka dan boleh menjangkiti orang lain melalui hubungan seks. Virus ini pernah dikesan dalam air mani lelaki.

"Ia juga boleh menjangkiti daripada haiwandan merebak kepada individu yang memakan dagingnya.

"Selepas merebak ke manusia, virus boleh menjangkiti manusia lain akibat bersentuhan," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, golongan berisiko dijangkiti mpox adalah mereka yang mempunyai kontak dengan haiwan dijangkiti termasuk penternak haiwan.

"Begitu juga mereka yang mempunyai kontak langsung secara sentuhan dengan individu dijangkiti virus mpox ini. Contohnya bercium, hubungan seks dan lelehan cecair daripada tubuh pesakit.

"Kebanyakan kes dikesan adalah mereka yang mempunyai kontak seksual iaitu lelaki dengan lelaki, biseksual atau gay.

"Pesakit HIV paling berisiko mendapat kesan lebih teruk kerana sistem daya tahan melawan penyakitnya lemah, sekali gus meningkatkan risiko kematian," katanya.

Beliau berkata, mereka yang dijangkiti virus mpox akan menyebabkan kulit bernanah atau jangkitan kulit lebih parah iaitu sepsis.


"Komplikasi lain dialami pesakit termasuk radang paru-paru, jangkitan dalam mata hingga kebutaan, muntah dan cirit-birit hingga menyebabkan dehidrasi kerosakan buah pinggang, keradangan otak, radang jantung (myocarditis), keradangan usus rektum (proctitis), jangkitan kemaluan (balanitis) serta kematian,"katanya.

Jelasnya, kes cacar monyet banyak berlaku di Afrika berbanding negara lain kerana budaya masyarakat negara itu yang intim dengan haiwan termasuk memakan haiwan hutan 'bushmeat' yang dijangkiti virus.

Katanya, kini strain virus mpox yang baharu dikatakan lebih merbahaya daripada strain lama. Ini kerana virus itu mempunyai dua strain iaitu 'clade I' dan 'clade II'.

"Strain 'clade I' sudah lama muncul dan lebih merbahaya yang ditemui di Congo dan di Afrika Tengah. Manakala strain 'clade II' mempunyai kesan kurang teruk serta menjadi endemik di Afrika Barat.

"Sejak Mei 2022, strain baharu iaitu 'clade IIb' merebak melalui hubungan seksual antara lelaki gay dan biseksual.

"Menurut WHO, berlaku 208 kematian dan hampir 99,000 kes ditemui merentas 116 negara dari Januari 2022 hingga Jun 2024," katanya.

Katanya lagi, terbaharu kenaikan kes adalah daripada strain berbahaya iaitu 'clade I' dan varian 'clade Ib' (kadar kematian sekitar 3.6 peratus daripada kes), di Congo pada September 2023 dalam kalangan pekerja seks, heteroseksual serta kanak-kanak.

"Hampir 70 peratus kes di Congo dalam kalangan kanak-kanak dan paling ramai berusia kurang 15 tahun dengan 85 peratus daripadanya meninggal dunia.

"Umumnya kadar kematian mpox hanya satu peratus namun tahun ini kadar itu meningkat kepada tiga peratus di Afrika," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, setakat ini beberapa jenis vaksin cacar monyet digunakan untuk pencegahan iaitu 'Modified Vaccinia Ankara-Bavarian Nordic' (MVA-BN), vaksin LC16 (keluaran Jepun), OrthopoxVac (keluaran Rusia) dan ACAM2000.

"Vaksin diberi dua dos yang dikatakan 85 peratus berkesan mencegah jangkitan virus mpox.

"Jika dijangkiti selepas vaksinasi, maka jangkitan ini tidak akan menjadi teruk, hanya berlaku jangkitan ringan saja," katanya.

Beliau berkata, meskipun kes pertama cacar monyet di Malaysia hanya sembilan kes pada Julai 2023 dan tiada kes direkodkan tahun ini namun semua pihak tetap perlu berwaspada.

Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.