Penyingkiran Azizulhasni, ada 'double standard'? - Khairy Jamaluddin
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya amaran adalah tindakan yang lebih adil buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang disingkirkan daripada pusingan pertama keirin di Sukan Olimpik Paris, awal pagi tadi.
Pada perlumbaan di Velodrom Saint Quentin en Yvelines itu, Azizulhasni, 36, yang disandarkan harapan untuk menggungguli acara kegemarannya dan sekali gus membutirkan pingat emas pertama negara di Olimpik, dibatalkan penyertaannya selepas dia mendahului derny (pacer).
Menerusi hantaran di Instastory miliknya, Khairy berkata ada dahuluan (clear precedent) yang jelas boleh digunakan berdasarkan insiden sama yang turut berlaku ketika final keirin di Olimpik Rio 2016 apabila dua kali perlumbaan dimulakan semula.
Katanya, kesilapan pertama dilakukan bekas pelumba Great Britain, Jason Kenny dan Azizulhasni sebelum Joachim Eilers dari Jerman turut didapati melakukan kesilapan sama.
"Kesemua mereka didapati memotong derny. Saya masih ingat kerana saya berada di velodrom bersama pengurus Datuk Amarjit Singh Gill dan jurulatih John Beasley.
"Ketiga-tiga negara mengemukakan rayuan supaya tidak dibatalkan penyertaan. Saya masih ingat mengatakan kepada Amarjit, 'Kita bernasib baik bukan Azizul seorang yang memotong derny', pelumba Britain dan Jerman turut didapati melakukan kesalahan yang sama.
"Juri tidak akan berani membatalkan penyertaan pelumba Barat. Semua pelumba diberikan amaran tetapi dibenarkan untuk berlumba dalam final.
"Apa yang berlaku dalam perlumbaan malam tadi adalah kesilapan tetapi ada dahuluan yang jelas amaran boleh diberikan berbanding membatalkan penyertaan," katanya.
Pada perlumbaan itu, Kenny memenangi pingat emas manakala Azizulhasni menjadi pelumba berbasikal trek pertama negara memenangi pingat di Olimpik dengan meraih gangsa.
Sumber dari Berita Harian