Mengapa badan masih kekal gemuk?
Masih terdapat tanggapan yang salah punca obesiti disebabkan individu mengambil lebihan kalori berbanding yang digunakan.
Analisis terlalu ringkas boleh menimbulkan masalah kerana punca asasnya mungkin kompleks dan sekali gus menafikan kesukaran menguruskan berat badan.
Jika usaha mengatasi obesiti begitu senang dan mudah untuk dilakukan, mengapa pula obesiti dikatakan sebagai epidemik global yang semakin berleluasa dengan kira-kira lebih 800 juta orang kini menanggung penyakit ini?
Di Malaysia, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, lebih separuh daripada rakyat Malaysia mengalami obesiti atau berat badan berlebihan (54.4 peratus) dan hampir 2.3 juta orang dewasa hidup dengan tiga penyakit tidak berjangkit (NCD).
Punca obesiti memang kompleks
Ramai orang mungkin tidak memahami sepenuhnya pelbagai punca yang boleh menyebabkan obesiti.
Menurut Teori Sistem Kompleks, fenomena daripada interaksi pelbagai komponen yang tingkah laku dan strukturnya sukar difahami boleh dianggap sebagai sesuatu yang kompleks.
Menentukan punca obesiti hingga ke akar umbinya dan meningkatkan kesedaran tentang penyakit ini.
Pertubuhan Hari Obesiti Sedunia mengenal pasti sembilan punca utama obesiti:
1. Biologi
2. Makanan
3. Risiko Genetik
4. Kemudahan Penjagaan Kesihatan
5. Peristiwa Hidup
6. Pemasaran
7. Kesihatan Mental
8. Tidur
9. Tanggapan Negatif
Naib Presiden Kesihatan dan Kesejahteraan, Herbalife, Luigi Gratton, berkata bagaimanapun hanya kerana sesuatu bersifat kompleks tidak bermakna masalah tersebut tidak boleh diatasi.
Memandangkan obesiti dikaitkan dengan masalah seperti hipertensi dan diabetes, faktor risiko bagi punca kematian utama (penyakit kardiovaskular), kita perlu melihat hubung kait semua faktor ini.
"Kita perlu saling berinteraksi antara satu sama lain dan memerlukan pendekatan secara meluas termasuk pendekatan global, kerjasama antara bidang, pendidikan pemakanan, dasar yang sesuai dan minda yang peka di mana kita sanggup belajar dan menyesuaikan diri berasaskan bukti," katanya.
Peranan pendidikan pemakanan kekang obesiti
Antaranya, konsep kepadatan nutrien, yang mengukur berapa banyak khasiat pemakanan yang anda terima bagi setiap kalori yang diambil, adalah penting untuk diet sihat.
Perlu diingat, apabila memilih antara dua hidangan makanan dengan jumlah kalori sama, satu pilihan boleh membekalkan badan dengan protein, serat, lemak sihat, vitamin dan mineral diperlukan setiap hari, manakala pilihan lain mungkin membekalkan kalori kosong daripada gula dan lemak tanpa sebarang nutrien penting.
Harus diingat bahawa kesihatan bersifat menyeluruh, pemakanan seimbang hanyalah sebahagian daripada usaha menikmati kehidupan sihat dan bahagia.
"Amalan senaman konsisten dan sokongan masyarakat penting untuk mengurangkan obesiti dan meningkatkan tahap kesihatan," katanya.
Kajian diterbitkan Kementerian Kesihatan mengenai Pengurusan Obesiti menggalakkan individu obesiti melakukan aktiviti fizikal sederhana selama 150-300 minit atau senaman fizikal intensif selama 75-150 minit seminggu untuk mengurangkan berat badan.
Kajian itu mendapati gabungan aktiviti sederhana dan berat, bersama senaman rintangan dan aerobik membantu mengekalkan kehilangan berat dan meningkatkan fungsi dan kesejahteraan fizikal.