Aplikasi HEYPEMUDA bantu doktor mangsa buli
Pergerakan Pemuda UMNO meminta tenaga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjadi mangsa buli khususnya doktor supaya tampil kepada pihaknya dengan membuat aduan melalui aplikasi HEYPEMUDA.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ia akan membolehkan suara mereka dibawa terus kepada peringkat tertinggi KKM.
"Kita meminta mana-mana kakitangan KKM yang dibuli dengan teruk ini membuat aduan terus melalui aplikasi terbabit.
"Jika aduan sudah diserahkan kepada KKM tetapi tiada tindakan, kita akan bawa ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Beberapa doktor yang menjadi mangsa buli di sebuah hospital di Sabah, tampil berkongsi pengalaman masing-masing dibuli secara lisan dan fizikal, apabila dihambur kata-kata kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.
Malah, mereka mendakwa sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional masing-masing diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.
Susulan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa KKM menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi melaksana audit luar terhadap dakwaan buli dan pelaksanaan prosedur tidak normal kepada pesakit, membabitkan seorang ketua unit dalam sebuah hospital kerajaan di Sabah.
Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz, menegaskan tindakan tuntas perlu diambil oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bagi mengelak budaya toksik itu berterusan.
Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya turut mendesak KKM mengadakan sistem aduan khas membabitkan doktor.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, sistem itu perlu diselia urus oleh peringkat tertinggi KKM tanpa ada saringan di peringkat lain.
Ketika dimaklumkan kes buli terbabit berlarutan sejak hampir lima tahun lalu, Dr Muhamad Akmal tidak menolak kemungkinan ia berterusan kerana tiada siapa bertanggungjawab mengambil aduan itu di peringkat tertinggi KKM.
"Mungkin semuanya diserahkan di peringkat jabatan sahaja," katanya.