Bagi kesalahan ini, didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual dengan kejadian ini juga berlaku pada waktu dan tempat sama.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (iii) AKKSTKK 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Pada prosiding itu, dia yang masih bujang kelihatan tunduk sambil menitiskan air mata dari kandang tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor, Abdul Ghafar Ab Latif, manakala tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.
Terdahulu, pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM50,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan alasan kes ini mendapat perhatian seluruh negara sehingga memberikan pelbagai gambaran serta gesaan supaya tindakan diambil terhadap tertuduh.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.
Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa ataupun saksi pendakwaan sepanjang prosiding ini.
Kes disebut semula pada 10 Oktober ini untuk serahan dokumen.
Sebelum ini tular di TikTok, seorang pemandu bas sekolah menggelar penumpang bas dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau 'crush' dan 'kesayangan'.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu merekodkan video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah murid jelas kelihatan.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai hantaran itu yang tular di media sosial.