Bunyi dentuman di Ipoh: Tiada pesawat pejuang terbang atau pesawat asing ceroboh - TUDM


Bunyi detuman kuat dan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh, Perak, semalam tiada kaitan dengan pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan, hari ini menjelaskan tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang TUDM dilaksanakan di sekitar kawasan terbabit ketika kejadian.

"Susulan kejadian bunyi dentuman dan gegaran yang berlaku di daerah Ipoh jam 11.06 pagi semalam yang dikaitkan kemungkinan berpunca daripada dentuman 'sonic boom' oleh pesawat pejuang.

"TUDM ingin menegaskan bahawa tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang TUDM yang dilaksanakan di sekitar kawasan tersebut pada masa kejadian termasuk kejadian pesawat asing yang dikatakan menceroboh ruang udara negara," kata kenyataan itu.

Berikutan itu, katanya pihak TUDM meminta semua pihak tidak membuat spekulasi kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Semalam, media melaporkan penduduk Ipoh cemas akibat merasai gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan jam 11.06 pagi.

Beberapa pengguna media sosial mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.

Selain itu, kejadian sama dirasai penduduk di Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menafikan kejadian terbabit berpunca daripada aktiviti letupan kuari, latihan pasukan keselamatan atau aktiviti seismik seperti didakwa pengguna media sosial.

Menurut Azizi, pihaknya sedang menyiasat mengenai insiden itu dan menasihati orang ramai dinasihati supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Seorang penganalisis pertahanan, Zaki Salleh pula dilaporkan berkata gegaran dan dentuman kuat itu berkemungkinan berpunca daripada ledakan sonik.

Katanya, ledakan sonik adalah bunyi kuat berpunca dari gelombang kejutan yang dicipta sebarang objek sedang bergerak melalui udara dan mencapai kelajuan lebih pantas berbanding kelajuan bunyi.

Ledakan sonik itu, katanya menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url