Teks ucapan penuh Belanjawan 2025


Teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Belanjawan 2025.
TEMA: BELANJAWAN 2025: MEMBUGAR EKONOMI, MENJANA PERUBAHAN, MENSEJAHTERA RAKYAT
MUKADIMAH
Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.


Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Saya mulakan pembentangan Belanjawan kali ini dengan mengungkap kalimah suci firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 22:

أخ َر َج َ ًۭ ء فَأ س َمآ ِء َمآ ن َز َل ِم َن ٱل َّ َ ًۭ ء َوأ ِنَآ َء ب س َمآ َوٱل َّ ا ًۭ َٰ ش َر أر َض فِ أْلَ َل لَ ُكُم ٱ ِذى َجعَ َّ ِ ٱل ِهۦ ِم َن ب ُمون أعلَ أم تَ نتُ َ َوأ ًۭ دا ن َدا َ َلِلِ أ َِّ ۟ ُوا ل ۖ فَ ََل تَ أجعَ ُكأم َّ ا ل ًۭ ِت ِر أزق َٰ َمَر َّ َ ٱلث

“Dia yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu, dan langit sebagai binaan, dan menurunkan air dari langit, lalu dengannya dikeluarkan beraneka buah-buahan sebagai rezeki buatmu. Maka janganlah kamu menjadikan sesuatu sebagai sekutu bagi Allah, sedangkan kamu mengetahui.”

2. Imam al-Baydawi dalam tafsirnya yang tersohor “Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil” menegaskan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatur alam dengan penuh keteraturan.Sunnatullah alam harus digarap tatkala kitaran hujan dari langit menjadi prasyarat penting yang menyuburkan tanaman dan memberikan banyak manfaat kepada manusia.Semuanya diciptakan Allah SWT agar manusia memerhati, merenung, mempelajari, mengolah dan menguruskannya dengan penuh amanah. Tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan usaha terancang, kita tidak akan mampu meraih manfaat daripada bumi bertuah ini.

3. Maka kita harus mentadabbur pedoman agung Qurani yang penuh berhikmah ini. Disulami perintah syukur atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT, al-Quran menegaskan betapa pentingnya mewujudkan ekosistem yang mantap dan lestari serta urustadbir yang cekap bagi menguruskan kekayaan sumber alam secara adil dan saksama. “The virtue of wealth is not to have it but to use it rightly.” (Aristotle; Etika Nicomachus, Buku IV) Tuan Yang di-Pertua,

4. Sebelum saya membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan setingginya kepada semua Ahli Yang Berhormat atas sokongan padu yang bersejarah yang dicapai semalam yang memberikan beberapa implikasi positif lagi bermakna. Pertama, ia bukti permuafakatan yang kukuh antara Ahli-ahli Yang Berhormat. Kedua, pengiktirafan kepada kaum ibu dan hak kanakkanak.

5. Seterusnya, dengan rasa penuh tanggungjawab kepada negara dan rakyat, saya berdiri di Dewan yang mulia ini bagi membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 yang tercerna dari usaha gigih para perencana setelah mengambil kira tantangan serta ketidaktentuan global yang semakin mengganas.

6. Belanjawan yang bakal terhampar ini pastinya akan mencakup serta mencerminkan cita murni rakyat yang mendambakan sebuah tatanan yang berketerampilan, mampan dan inklusif.


7. Dalam merangka prakarsa ekonomi, pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan. Pertimbangan dunia sekarang membicarakan pertumbuhan yang rancak tapi tidak boleh terlepas dari usaha bagi merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar.

8. Justeru, kerangka pokok adalah untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar mengambil kira perkembangan dan cabang pembelajaran yang baru serta tuntutan zaman tetapi mesti tidak terlepas dari tonggak utama, yakni untuk menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan dan kesihatan. Itulah juga menjadi sebahagian besar kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang telah kita luncurkan, dan kita bertekad serta beriltizam untuk meneruskan agenda reformasi. Kunjungan Menemui Rakyat Lahad Datu, Sabah

9. Saya ke FELDA Lahad Datu dua bulan lalu dan memantau daerah yang pernah terancam dengan pencerobohan pengganas di Tanduo. Segar kembali kisah insiden tersebut; pengorbanan perajurit, dukungan dan kesabaran rakyat. Perajurit dari Semenanjung terkorban seperti juga perajurit dari Sabah dan Sarawak yang terkorban di Semenanjung. Masalah tanah adat berbangkit dan berakhir dengan penyelesaian kepada penduduk Tambisan. Saya turut berjanji kita memenuhi keperluan SK di sana. Pasar Siti Khadijah, Kelantan

10. Saya berkunjung ke Pasar Siti Khadijah bagi melihat sendiri keadaan pasar yang daif dengan beberapa masalah asas seperti bumbung, tandas, bekalan elektrik dan air yang terus menghimpit warga dan peniaga selain ancaman dari masalah banjir. Namun, semangat mereka tetap cekal dan kuat. Dan inilah satu-satunya peniaga di pasar yang menyatakan bahawa barangan yang mereka perolehi adalah murah akibat ringgit yang menguat dan bekalan dari Thailand dianggap murah. Kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak 5.5 juta ringgit bagi menambah baik keadaan pasar ikonik tersebut. Kapit, Sarawak

11. Lawatan saya ke Kapit baru-baru ini adalah bagi meninjau kemajuan beberapa projek pembangunan termasuk IPD Kapit dan jalan. Kapit merupakan daerah yang terpencil dan miskin. Namun, saya terharu saat disapa seorang ibu dari desa berhampiran yang hadir hanya untuk menghadiahkan kepada saya sehelai vest yang dibuat dari manik yang ditenun sendiri. Ketua masyarakat Iban menyerahkan pakaian tradisional yang amat mengesankan buat saya. Di akhir acara, saya berkunjung ke Rumah Panjang Robert, Nanga Sebatu untuk ketemu pimpinan, tuai rumah selain masyarakat setempat. 2 juta ringgit telah diluluskan bagi kerja-kerja menangani permasalahan hakisan tebing Sungai Rajang yang berdekatan rumah panjang tersebut. Alor Setar, Kedah

12. Musibah banjir lazimnya turut memusnahkan tanaman. Malah, yang paling terkesan adalah keluarga miskin yang sering kali menetap di kawasan pinggir sungai. 13 juta ringgit telah disediakan bagi membaiki infrastruktur dan kemudahan asas yang terjejas, selain bantuan buat warga yang terkesan. Kunjungan menemui rakyat di akar umbi mengesankan. Malah, saya memahami masalah rakyat dan dalam merangka Belanjawan pada tahun ini, kita menyaksikan sendiri permasalahan rakyat akibat hakisan dan banjir; pendidikan; kesihatan dan dampak sosial. Permasalahan yang ketara ini, jika ditelusuri, adalah microcosm dari permasalahan yang lebih luas. Walhasil, selain dari prakarsa ekonomi makro yang diolah dalam Belanjawan, pandangan kritis adalah bagaimana dasar yang mantap, kerangka yang canggih akan menjamin.

13. Justeru, bagi memaknai Ekonomi MADANI, dasar-dasar yang mengkhususkan kepada maksud tersebut menyusul sebagai ikhtiar mengemudi Malaysia ke landasan tepat dan gagah.  Pertumbuhan serta pemerataan ekonomi diatur seperti di bawah:

o Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP); o Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR); o Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS);

o Pelan Tindakan KL20; dan o Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera.

 Kebijakan fiskal dipandu melalui:

o Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal; o Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta; dan o Penyasaran subsidi.

 Tatakelola dan integriti diangkat dengan:

o Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional; o Pindaan Akta Audit 1957; dan o Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi.

14. Dalam suasana ekonomi dunia yang rencam kini, Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin bagi memastikan ekonomi negara kekal teguh dan berdaya saing, selain punyai fundamentals yang kukuh bagi menepis sebarang gejolak yang mampu menggoncang sistem ekonomi negara.

15. Di samping itu, apa yang kita usulkan kini adalah untuk menangani isu kelas bagi menjawab permasalahan kemiskinan dan kesenjangan. Dan sekiranya kita berjaya menangani hal ini dengan bijak dan berhemah, maka pastinya kita dapat mencapai kesaksamaan lantas dapat menyatukan keseluruhan kaum di bumi bertuah ini.

16. Pemenang Hadiah Sains Ekonomi untuk tahun 2025 dianugerahkan kepada Daron Acemoglu, Simon Johnson, dan James A. Robinson; tiga sosok yang diiktiraf kerana berupaya mengesahkan dan memperakui apa yang pernah dihujahkan oleh pakar ekonomi Perancis Thomas Piketty pada sedekad lalu mengenai kesenjangan yang kian parah dan ketara.

17. Mereka mengusulkan reformasi, yakni reformasi yang telah saya gerakkan semasa kali pertama menjawat jawatan Menteri Kewangan lebih dua dasawarsa yang lalu, dan saya masih kekal teguh dan konsisten di jalur ini. Sementara yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan terus 9 tenggelam dalam lembah kemiskinan. Justeru, penghargaan setingginya kepada ketiga-tiga mereka kerana berjaya memecahkan tembok usang tersebut dan menekankan betapa reformasi mesti disegerakan.

18. Negarawan Rom Kuno Marcus Tullius Cicero menyatakan, “prosperity demands of us more prudence and moderation than adversity”. Menyemangati maksud itu, maka untuk kembali meletakkan tatanan ini ke landasan yang tepat, kita mesti berhemah dalam soal perbelanjaan negara sementara kita memahami bahawa adalah kelaku biasa di mana-mana negara bekas penjajah untuk “spend big to win big” tanpa mengambil peduli mengenai dampak jangka masa panjang kepada negara. Walhasil, kemakmuran yang dicapai akhirnya tidak diragukan lagi menjadi tidak mampan dan bersifat sementara seraya hutang terus membengkak untuk dibeban dan ditinggalkan kepada generasi akan datang.

19. Lantaran itu, kita berusaha untuk mengelak pembaziran dan ketirisan dengan gigih dan sama sekali tidak akan membiarkan rakyat menderita akibat dari kekurangan serta kekangan yang ada.

20. Biarpun demikian, Malaysia kini berada di persimpangan yang terpenting. Meski ekonomi dunia berdepan cabaran yang terus mengasak tanpa henti, namun dengan dasar serta kebijakan yang telah digerakkan, Malaysia berjaya menarik beberapa pelaburan besar yang strategik yang akan menjamin kemakmuran yang berpanjangan buat negara.

21. Atas semangat yang sama, Kerajaan, melalui Belanjawan kali ini akan memberi lebih penekanan terhadap usaha pemulihan ekonomi, menguasai aspek inovasi, selain memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama. Dengan tumpuan tersebut, maka, ia secara tidak langsung akan memperkukuh iltizam negara dalam membina serta membangun masa depan yang hijau, digital, dan berdaya tahan (resilience) sambil terus membela warga yang lemah dan melarat supaya tidak ada yang terpinggir dalam usaha menggapai status negara berpendapatan tinggi (high income nation).

22. Saat mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Kerajaan MADANI menetapkan satu halatuju yang jelas bahawa ketelanjuran lalu tidak harus dipertahankan dan diulangi. Maka, prinsip tatakelola yang baik (good governance) mesti terus mengakar dan disemarakkan.

23. Kita tidak mahu bahawa pimpinan dan para petinggi politik, pengusaha, penjawat awam, rakyat dilihat terpisah dari kerangka mengangkat martabat rakyat. Ini bukan Belanjawan Kementerian Kewangan semata, tetapi ini adalah Belanjawan rakyat. Justeru, saya ingin merangkul seluruh kekuatan rakyat sepertimana yang pernah saya lontarkan sebelum ini bahawa tidak pernah kita punyai kesempatan terbaik untuk melakar agenda memperkasa ekonomi dan mengangkat martabat rakyat seperti yang kita saksikan sekarang. Negara harus terkenal dengan contoh tatakelola yang baik, pimpinan yang punya nilai, dan yang tidak menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjaga lingkungan. Dengan penuh tawaduk saya membentangkan Belanjawan ini agar dihadham maksud dan manfaatnya buat rakyat dan negara.

PENCAPAIAN DAN TANTANGAN EKONOMI

24. Meskipun ekonomi dunia serba galau dek hiruk-pikuk geopolitik tidak berkesudahan; kedudukan ekonomi negara kalis tantangan dan terus mengukuh. Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus, ketimbang 4.2 peratus suku pertama.

 Pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar ini terendah sejak Januari 2020.

 Tahap inflasi Ogos 2024 turun 1.9 peratus setelah tiga bulan berturut-turut berada pada paras 2 peratus. Namun, kita tidak berganjak dalam hal meredakan kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

 Kita mencipta sejarah tahun lalu apabila meraih pelaburan diluluskan 329.5 bilion ringgit – tertinggi pernah direkodkan. Bagi separuh pertama 2024, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan 160 bilion ringgit, melonjak ketimbang 135.6 bilion ringgit.

 Ringgit diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia. Kesungguhan semua pihak berjaya mengukuhkan ringgit 14.4 peratus ketimbang dolar Amerika dalam suku ketiga 2024; pencapaian terbaik sejak tahun 1973.

 Sejarah tercipta tahun ini apabila nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi melepasi 2 trilion ringgit selain Indeks Bursa FBM KLCI kembali melepasi 1,600 mata.

 Kita berjaya kekalkan taraf kredit berdaulat oleh Moody’s, S&P Global dan Fitch masing-masing pada A3, A- dan BBB+ dengan tinjauan “stabil”.

 Firma terkemuka global turut meningkatkan taraf pasaran saham Malaysia iaitu JP Morgan kepada taraf (neutral), HSBC (neutral), Goldman Sachs (neutral) dan Nomura (wajaran tinggi).

25. Prestasi ekonomi mengatasi jangkaan, sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit; mengambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi MADANI. Dengan itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 hingga 5.3 peratus; ketimbang antara 4 ke 5 peratus sebelumnya. Malah, Bank Dunia juga menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.9 peratus, ketimbang 4.3 peratus April lalu.

26. Tahun hadapan, kita yakin ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025.

27. Tidak dimungkiri kenyataan bahawa kejayaan-kejayaan ini selain dari perkembangan serantau dan dasar-dasar fiskal. Namun, kita tidak boleh khayal dengan kejayaan-kejayaan ini seandainya kita menyimpang daripada komitmen atau iltizam kepada agenda reformasi. Budaya selesa, culture of complacency mesti dihentikan.

28. Maka, Belanjawan MADANI Ketiga akan menghimbau:

 perihal menelusuri Ekonomi MADANI;

 perihal mengislah lebih tegas;

 perihal menghapus kerenah birokrasi;

 perihal menaikkan gaji dan pendapatan;

 perihal menangani kos sara hidup.

29. Walhasil, segala ikhtiar yang dibentang hari ini adalah untuk menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.

I. MENJANA PERUBAHAN KE PUNCAK MAKNA

30. Bagi menjamin perubahan, tekad reformasi yang kita anjurkan mesti terpasak kemas dengan keyakinan bahawa ia mesti diperhebat dengan mencakup langkah-langkah pembaharuan fiskal yang lebih segar dan secara lebih agresif, memungkinkan rombakan institusi serta meningkat tahap keupayaan dan ketangkasan serta mutu perkhidmatan kepada rakyat.

IKHTIAR 1: TANGGUNGJAWAB FISKAL DAN PENGURUSAN HUTANG

31. Justeru, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) telah menetapkan penanda aras yang jelas terkait pengurusan hutang dan defisit fiskal.

32. Kerajaan MADANI mewarisi bebanan hutang yang menggunung. Paras hutang tahun lalu adalah pada 1.2 trilion atau lebih 64 peratus KDNK. Jika termasuk liabiliti, paras hutang telah mencecah 1.5 trilion ringgit atau 80 peratus KDNK. Bagi setiap seringgit pungutan cukai, 16 sen perlu dibelanja hanya untuk membayar faedah hutang; dan ini tidak termasuk hutang pokok.

33. Hutang akan terus meningkat selagi tidak dikurangkan defisit. Maka, langkah-langkah tegas dan berperingkat telah diambil oleh Kerajaan bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten iaitu:

 daripada 5.5 peratus (2022);

 kepada 5 peratus (2023);

 seterusnya anggaran 4.3 peratus (2024);

 dan unjuran 3.8 peratus (2025).

34. Atau dengan erti kata lain, jumlah hutang baharu yang kian menurun:

 daripada sekitar 100 bilion ringgit (2022);

 kepada lebih 90 bilion ringgit (2023);

 seterusnya dianggar 85 bilion ringgit (2024);

 dan unjuran 80 bilion ringgit (2025).

35. Dan lebih bermakna lagi apabila dapat dikurangkan kadar defisit dan pinjaman baharu secara berperingkat setiap tahun membolehkan kita mencapai sasaran jangka sederhana FRA iaitu defisit fiskal pada kadar 3 peratus dan paras hutang di bawah 60 peratus KDNK.

IKHTIAR 2: KUTIPAN HASIL

36. Pada tahun ini, kutipan hasil diunjur semula lebih tinggi iaitu kepada 322 bilion ringgit ketimbang 308 bilion. Kerajaan juga menjangkakan, kutipan hasil tahun 2025 terus meninggi kepada 340 bilion ringgit.

37. Kita bersyukur peningkatan hasil yang nyata. Kendatipun begitu, asas hasil masih rendah, malah antara terendah sementara perbelanjaan subsidi memuncak ke paras tertinggi di rantau Asia.

 Untuk menangani kemelut ini, asas hasil perlu diperluas. Cukai yang dipungut masih antara terendah yakni 12.6 peratus kepada KDNK pada 2023 ketimbang negara tetangga seperti Thailand (16.1 peratus), Filipina (14.1 peratus) dan Singapura (13.7 peratus).

 Lebih jelas, kita menanggung subsidi, insentif dan bantuan mencecah 80 bilion ringgit tahun lalu; yang turut dinikmati golongan kaya dan warga asing.

38. Arakian, reformasi fiskal tahun hadapan akan lebih agresif mencakup peluasan hasil cukai secara progresif dan penyasaran subsidi hanya kepada majoriti rakyat yang memerlukan.

IKHTIAR 3: PELUASAN HASIL CUKAI

 Penambahbaikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan

39. Bagi maksud menambah hasil dan meluaskan asas percukaian, maka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam.

40. Cukai Jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. Cukai Jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avocado.

41. Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

42. Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan. Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025. Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

 Cukai Dividen

43. Kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi 100 ribu ringgit yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025. Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.

44. Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan Kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara.

IKHTIAR 4: PENYASARAN SUBSIDI

45. Subsidi dari segi prinsip sepertimana juga sedekah tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan maha kaya. Selama ini, kita membelanjakan subsidi secara pukal untuk bahan api, elektrik, air, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan hatta barangan asas seperti ayam. Pastinya pendekatan sedemikian tidak munasabah tatkala negara terhimpit dengan bebanan hutang dan asas hasil yang rendah.

46. Seperti yang diungkapkan dengan bijaksana oleh Confucius dalam The Analects: 过而不改,是谓过矣 (Guò ér bù gǎi, shì wèiguò yǐ) Jika berlaku kesilapan, dan kita tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar. “If you make a mistake and do not correct it, this is a true mistake.”

47. Kesilapan fatal inilah—menurut Confucius—yang telah menjerumuskan kita ke perangkap putaran ganas ‘一错再错’ (yī cuò zài cuò) iaitu mengulangi kegagalan yang sama berulang kali!

48. Justeru, Kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani menyasarkan subsidi supaya tidak lagi dibelanja secara pukal. Langkah ini telah membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain. Umpamanya:

 Penyasaran subsidi elektrik tahun 2023 telah menjana penjimatan 4 bilion ringgit. Penyasaran ini hanya melibatkan pengguna elektrik melebihi 600 kilowatt-jam yang perlu membayar penuh tanpa subsidi sementara 85 peratus rakyat kekal menikmati subsidi elektrik.

 Pelarasan tarif air juga telah dilaksanakan tahun ini sesuai dengan kehendak hampir semua negeri termasuk negeri-negeri pembangkang.

 Harga ayam telah kita apungkan sepenuhnya. Sekarang, Kerajaan tidak lagi perlu membelanjakan 1.2 bilion ringgit setahun untuk subsidi ayam.

 Subsidi diesel telah disasarkan membawa penjimatan sehingga 4 bilion setahun. Bahkan rakyat di bawah meraih manfaat menerusi bantuan tunai BUDI MADANI 200 ringgit sebulan, selain sektor logistik terpilih, nelayan dan pengangkutan awal kekal menikmati diesel bersubsidi. Penyasaran subsidi diesel terbukti berjaya mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan tidak layak. Sejak dilaksanakan, jualan diesel bersubsidi menurun 30 peratus dengan penjimatan lebih 600 juta ringgit sebulan meskipun subsidi masih disediakan untuk pengangkutan awam, nelayan dan sektor logistik. Dan sejak dilaksanakan, harga pam telah dikurangkan 40 sen seliter kepada 2 ringgit 95 sen.

49. Maka, tidak harus timbul sebarang kemusykilan dalam pendekatan ini kerana Kerajaan akan pertahankan kepentingan rakyat terbanyak. Setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.

 Penyasaran Subsidi Petrol RON95

50. Kenyataan yang tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai 8 bilion ringgit. Seyogia diperingatkan bahawa dana 8 bilion ringgit ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

51. Sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah 2 ringgit 5 sen ketimbang negara tetangga seperti Thailand (5 ringgit 85 sen), Indonesia (3 ringgit 38 sen), Singapura (9 ringgit 2 sen) dan Arab Saudi (2 ringgit 66 sen). Harga yang rendah menyebabkan Kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah 20 bilion ringgit.

52. Namun, Kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan. Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat. Maknanya, Kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah 12 bilion ringgit untuk keperluan 85 peratus rakyat.

53. Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025. Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

 Penyasaran Subsidi Pendidikan & Kesihatan

54. Matlamat asal penubuhan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk membantu murid cemerlang dan dari keluarga susah serta pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik. Subsidi bagi seorang murid SBP mencecah 15 ribu ringgit setahun. Namun, berdasarkan angka terkini, didapati 30 peratus murid dari keluarga berpendapatan tinggi.

55. Begitu juga di peringkat pendidikan tinggi, umpamanya purata yuran pengajian setahun yang dibayar oleh penuntut sarjana muda farmasi ialah 3,000 ringgit ketimbang kos keseluruhan pengajian berjumlah 30 ribu ringgit. Subsidi ini diberikan tanpa mengambil kira pendapatan keluarga.

56. Seandainya subsidi pendidikan dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas, kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana SBP dan IPTA tersebut untuk manfaat semua pelajar.

57. Penyasaran subsidi seumpama ini akan turut melibatkan kesihatan awam. Golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital Kerajaan. Penjimatan diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam.

 Penguatkuasaan

58. Sejak 2022 hingga September 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir 2 bilion ringgit. KPDN dan JKDM disediakan 60 juta ringgit untuk terus membanteras ketirisan wang rakyat.

59. Setakat September 2024, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida melibatkan jumlah penalti dikenakan hampir 600 juta ringgit melibatkan lebih 350 syarikat. Tahun hadapan, MyCC disediakan 27 juta ringgit untuk terus memecahkan tembok penguasaan kartel.

IKHTIAR 5: ANGGARAN PERBELANJAAN 2025

60. Kerajaan terus mengekalkan Belanjawan mengembang meskipun bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat. Anggaran Belanjawan 2025 adalah yang tertinggi pernah diumumkan iaitu 421 bilion ringgit meliputi 335 bilion ringgit belanja mengurus, 86 bilion ringgit belanja pembangunan, tidak termasuk 2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

61. Selain peruntukan pembangunan oleh Kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai 9 bilion ringgit turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai 25 bilion ringgit. Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 yang berjumlah 120 bilion ringgit.

IKHTIAR 6: PEMBANGUNAN TERANGKUM

62. Sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega. Pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Umpamanya:Perak:(1) Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sebagai hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara yang diterajui oleh SD Guthrie dan PNB.(2) Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.(3) Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif negara dipacu oleh Proton dan Geely.(4) Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.

Pahang:(1) Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai di Pahang.(2) Pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands dengan menaik taraf Jalan Dari Bulatan McDonalds ke Persimpangan Brinchang.Johor:(1) Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap.(2) Projek RTS Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2027.(3) Projek Pembinaan Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.Kelantan:(1) Projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang.(2) Projek Pemanjangan Landasan Kapal Terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.Melaka:(1) Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah. (2) Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.

Perlis:(1) Projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat lorong.(2) Projek naik taraf Pos Kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks ICQS Wang Kelian.

Selangor:(1) Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2.(2) Pembesaran Pelabuhan Klang ke arah aspirasi sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia. Kerajaan turut akan melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.

Kedah:(1) Pembesaran Kulim Hi-Tech Park yang akan menempatkan syarikat semikonduktor seperti Infineon.(2) Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Kulim.

Kuala Lumpur:(1) Membangun Rantau Warisan dengan membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah.(2) Projek Lebuh Raya Laluan Istana – Kiara (LIKE) daripada Jalan Duta ke Jalan Istana.

Negeri Sembilan:(1) Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Jempol.(2) Projek Naik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah.

Pulau Pinang:(1) Projek LRT Pulau Pinang.(2) Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.(3) Projek Batu Kawan Industrial Park Terengganu:(1) Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus.(2) Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark, Merchang.(3) Projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau.

63. Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963. Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus. Jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih.Oleh itu:

 Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing 6.7 bilion ringgit dan 5.9 bilion ringgit.

 Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969. Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada 300 juta ringgit ketimbang 16 juta (Sarawak) dan 125.6 juta (Sabah). Mulai 2025, Kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada 600 juta ringgit.

 Sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan SST dengan nilai kontrak 9.7 bilion ringgit. Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau. Sementara, Pan Borneo Sarawak dijangka siap November 2024. Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak 25.1 bilion ringgit.

 Kerajaan telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai 7.4 bilion ringgit. Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun.  Kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos 253 juta ringgit.

 Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan 1 bilion ringgit. Saya memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pembinaan projek.

IKHTIAR 7: KERJASAMA AWAM-SWASTA

64. Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS menggariskan hala tuju ampuh dalam memperkukuh hubungan strategik badan awam dan swasta. Tumpuan utama untuk meningkatkan pelaburan swasta sebanyak 78 bilion ringgit dan menjana 900 ribu peluang pekerjaan menjelang 2030.

65. Projek pembangunan akan dilaksanakan dengan mengambil kira elemen 'pengguna bayar' bagi meredakan bebanan fiskal Kerajaan. Projek berkepentingan rakyat yang mengguna pakai pendekatan PPP termasuklah:

 Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor;

 Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang;

 Lebuh Raya WISE dari Gopeng ke Kuala Kangsar, Perak;

 Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan MADA Kedah dan Perlis; dan

 Manakala, Lebuh Raya WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah diberi keutamaan dalam perancangan.

IKHTIAR 8: PERANGI RASUAH

66. Sejak mengemudi negara, semua tahu ketegasan saya dalam soal memerangi rasuah kerana rasuah ialah barah senyap yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur. Tidak guna ditetapkan hala tuju ekonomi dan pelbagai dasar sekiranya pelaksanaan masih ditakuk lama – salah guna kuasa, seleweng dana dan mengkayakan kelompok sendiri. Masa depan negara bergantung kepada kejayaan kita membanteras rasuah.

67. Kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan. Angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang sebelumnya.

68. Bagi tahun hadapan, peruntukan SPRM ditingkatkan kepada 360 juta ringgit ketimbang 338 juta ringgit.

69. Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci. Antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan bertujuan memperkasa tatakelola dan kecekapan perkhidmatan awam.

70. “Follow The Public Money Audit”. Akta Audit telah dipinda untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa menyemak dan mengaudit pengurusan dana awam termasuk syarikat yang menerima jaminan Kerajaan. Sejumlah 200 juta ringgit disediakan kepada Jabatan Audit Negara, meningkat ketimbang 173 juta ringgit. Ini sesuai dengan peranan lebih besar bagi memulakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan dan jaminan Kerajaan.

IKHTIAR 9: INSTITUSI PARLIMEN

71. Pimpinan MADANI terus memelihara kebebasan Institusi Parlimen. Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan Parlimen kepada 180 juta ringgit ketimbang 166 juta ringgit. Sebahagian peruntukan adalah untuk memperkasa peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai wadah semak dan imbang.

72. Sejumlah 20 juta ringgit disediakan untuk menyokong All-Party Parliamentary Group Malaysia Sustainable Development Goals yang merentasi kawasan parlimen dan parti politik.

IKHTIAR 10: REFORMASI PERUNDANGAN

73. Peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang juga dinaikkan kepada 209 juta ringgit ketimbang 194 juta ringgit, sesuai dengan komitmen reformasi perundangan dan institusi.

74. Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula. Kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui pengemaskinian khususnya undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman.

75. Kerajaan akan membentangkan RUU Kredit Pengguna pada Mesyuarat akan datang. Sebuah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan “Beli Sekarang Bayar Kemudian”.

76. Peranan institusi kehakiman sebagai badan bebas terus diperkasa. Lebih 60 juta ringgit disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman yang menyokong agenda digital.

IKHTIAR 11: REFORMASI INSTITUSI KERAJAAN

77. Entiti Kerajaan dengan peranan hampir sama telah dipusatkan bagi memastikan mandat penubuhan ditunaikan dengan lebih efektif. Ini termasuk penggabungan:

 Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM);

 Perbadanan InvestKL dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA);

 Razak School of Government (RSOG) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN); serta

 Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)

78. Terkait tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP):

 Garis Panduan Pengurusan dan Tatakelola BBP telah disediakan supaya badan berkanun mencapai tujuan penubuhan dan tidak tersasar daripada tujuan asal.

 Pejabat Penyelaras Rasionalisasi BBP ditubuhkan bagi menelusuri semula hala tuju BBP, keupayaan kewangan serta pertindihan peranan. Sekitar 544 entiti di bawah ekosistem BBP terlibat dan turut diperluas merangkumi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).

IKHTIAR 12: ILTIZAM KECEKAPAN PENTADBIRAN

79. Kerajaan MADANI bertekad melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang menjunjung prinsip tatakelola yang baik bagi memacu produktiviti. Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal meliputi tiga anjakan besar: mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

80. Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menumpukan lima keberhasilan meliputi Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Strategik Awam dan Swasta.

 Pasukan STAR

81. Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara bertanggungjawab menyelaras isu-isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan di hospital dan kaunter imigresen serta kelancaran urusan perniagaan.

82. Antara pencapaian besar Pasukan STAR termasuklah memendekkan proses kelulusan di bawah Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi. Umpamanya:

 Ikhtiar Kulai Fast Lane telah memendekkan tempoh kelulusan sijil perakuan siap kerja (CCC) kepada 14 hari ketimbang 30 hari dan kelulusan lesen operasi kepada 1 hari ketimbang 30 hari.

 Permit Pembinaan Ekspres di Kulim pula membolehkan kilang dapat beroperasi dalam tempoh 10 bulan ketimbang 24 bulan sebelum ini.

83. Tahun hadapan, 25 juta ringgit disediakan kepada STAR antaranya untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi memperluas Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi di semua agensi 36 Kerajaan. Ini termasuk mengkaji peraturan yang boleh memendekkan proses kelulusan untuk kemudahan rakyat, peniaga dan pelabur.  Mempercepat Urusan Kerajaan

84. Kita mengakui dengan sistem baharu dan pengiktirafan yang Kerajaan berikan, ada perubahan positif melibatkan perkhidmatan Kerajaan hasil sebahagian besar penjawat awam yang dedikasi dalam menjalankan tugas.

85. Adapun, masih terdapat keperluan menambah baik beberapa hal yang dilihat merumitkan rakyat yang mahu berurusan dengan Kerajaan. Ada sesetengah kes terpaksa mengambil cuti untuk menyelesaikan permohonan. Adakala juga perlu beratur panjang untuk nombor giliran dan sekiranya habis, terpaksa datang pada hari lain. Ini belum lagi rakyat dibebankan dengan mengisi pelbagai borang untuk maklumat yang sama.

86. Kerajaan MADANI bertekad menoktahkan permasalahan ini. Iltizam kita supaya tiada lagi keperluan beratur panjang di pejabat Kerajaan, proses permohonan diselesaikan secara dalam talian dan tujuan rakyat ke pejabat Kerajaan hanya untuk mengambil dokumen yang dilulus atau diperbaharui sahaja dengan tarikh temu janji telah ditetapkan dalam talian.

87. Walaupun Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk membantu rakyat, adakalanya ia merumitkan rakyat untuk memohon kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan kriteria yang berbeza. Kerajaan bersetuju membentuk saluran berpusat di UTC bagi membantu rakyat susah untuk memohon bantuan merentasi pelbagai agensi.

88. Urusan Kerajaan melibatkan perniagaan juga perlu dinilai semula. Ini juga satu hal yang merumitkan. Mengapa perlu dibebankan syarikat dengan terpaksa mendaftar secara berasingan dengan KWSP, PERKESO dan HRD Corp sedangkan maklumat pekerja adalah sama? Sebaiknya, pendaftaran syarikat dapat disekalikan. Kerajaan bertegas untuk menelusuri hal ini.

89. Perkhidmatan kaunter-kaunter Kerajaan terus ditambah baik:

 Jabatan Pengangkutan Jalan telah mula menambah 1 jam waktu operasi di kaunter.

 Sebuah UTC akan dibangunkan di Seberang Perai, Pulau Pinang. Semua UTC juga akan dibekalkan dengan Sistem Penggiliran (QMS) supaya rakyat mendapat nombor giliran secara dalam talian sebelum berurusan.

 Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI akan dilaksanakan dengan menghimpun pelbagai kiosk perkhidmatan Kerajaan di kawasan 38 tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah supaya rakyat boleh berurusan dengan Kerajaan di luar waktu pejabat.

 Sistem iPayment yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia sebagai platform bayaran tanpa tunai akan digunakan di semua kaunter Kerajaan bermula tahun 2025.

 Perkhidmatan Bergerak

90. Perkhidmatan Bergerak terus diperbanyak dengan peruntukan 100 juta ringgit. Ini bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk keluar.

 Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah Sarawak diperluas ke Kampung Pangaraan, Sabah dan Pulau Bruit, Sarawak.

 Klinik bergerak oleh hospital pengajar universiti diteruskan seperti rawatan saringan mamogram oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya.

 Klinik Gigi Bergerak ditambah 9 lagi menjadikan 54 buah di seluruh negara.

 Bank BSN Bergerak ditambah 4 lagi menjadikan 12 buah terutamanya untuk Sabah dan Sarawak bagi memudahkan penyaluran bantuan Kerajaan.

 Perkhidmatan JPN dan mahkamah bergerak juga ditambah baik.

IKHTIAR 13: SEJATI MADANI

91. Sejati MADANI sepertimana diumumkan bahawa setiap pedesaan, miskin bandar, di kampung, pedalaman dan rumah panjang diberi peruntukan antara 50 ribu hingga 100 ribu ringgit. Pendekatan ini merupakan suatu anjakan bagi memperkasa rakyat akar umbi untuk memutuskan sendiri aktiviti ekonomi pilihan mereka. Kerajaan hanya bertindak memantau dan memberi galakan, seraya kekuatan adalah daripada akar umbi.

92. Setakat ini, ikhtiar Sejati MADANI berjaya membenih lebih 6,400 kegiatan ekonomi pedesaan. Umpamanya:

 Kampung Tebuk Haji Dollah, Selinsing, Perak menggunakan tiga dron untuk membaja dan meracun 600 ekar sawah. Ini telah menjimatkan masa petani kepada 20 minit, ketimbang 90 minit sebelum ini.

 Kampung Kuala Bibang, Semporna telah membangunkan teknologi pengeringan hasil laut yang memendekkan masa memproses hasil laut kepada 3 jam ketimbang 3 hari secara tradisional. Ini meningkatkan hasil penduduk kepada 25 ribu ringgit sebulan.

 Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor dari suku kaum Jakun telah melaksanakan program sewaan bot untuk aktiviti memancing, berkayak dan ATV di perkampungan mereka. Ini telah menambah pendapatan Orang Asli Sayong Pinang mencecah 15 ribu ringgit sebulan.  Projek ikan keli sangkar berjaya menambah pendapatan komuniti Mukim Dusun, Kota Bharu, Kelantan.

93. Tahun hadapan, ikhtiar Sejati MADANI bakal diperhebat dengan jalinan kerjasama yang lebih meluas. Lebih banyak pengurusan tertinggi jabatan akan dilibatkan untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat MADANI. Universiti dan institusi TVET juga dilibatkan bagi memberi khidmat di peringkat komuniti. Syarikat-syarikat mega diseru untuk terlibat sama dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang susah dan memerlukan. Peruntukan keseluruhan 1 bilion ringgit disediakan untuk Ikhtiar Sejati MADANI meliputi: Pertama: 600 juta ringgit untuk merancakkan ekonomi pedesaan di kampung-kampung, bandar-bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli; manakala jawatankuasa kampung yang akan memutuskan aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada komuniti masing-masing. Kedua: 200 juta ringgit bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung seluruh negara yang diterajui pengurusan kementerian dan jabatan. Ketiga: 100 juta untuk universiti awam turut melaksana Kampung Angkat MADANI serta institusi TVET memberi khidmat TVET seperti baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti. Keempat: 100 juta ringgit untuk memperkasa komuniti PPR seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi. Kelima: Saya amat menerima baik tawaran syarikat sawit utama seperti KLK, IOI, SD Guthrie, TH Plantations dan United Plantations yang sudi untuk mengambil pekebun kecil sawit angkat yang berjiran dengan ladang mereka. Syarikat ini sedia menyediakan bantuan meliputi bekalan benih terkini dan baja terbaik serta pematuhan piawaian mampan.

94. Selanjutnya, proses perolehan bagi projek-projek berkepentingan rakyat akan dimudahcara:

 Had nilai bagi kerja gotong-royong ditingkatkan kepada 200 ribu ringgit ketimbang 100 ribu ringgit;

 Had nilai sebut harga bagi kerja penyelenggaraan dan penggantian lif melibatkan perumahan rakyat dan kuarters dinaikkan sehingga 1.2 juta ringgit;

 Had nilai untuk lantikan terus dan sebut harga bagi semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil turut dinaikkan masingmasing kepada 200 ribu ringgit dan 1 juta ringgit sebagai tambahan kepada projek sekolah, klinik daif dan fasiliti kesihatan sedia ada.

IKHTIAR 14: PENGGUNAAN SUMBER YANG OPTIMUM

95. Acapkali berlaku keterlanjuran sama ada melibatkan jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan yang agak menonjol. Kita harus peringatkan bahawa dana yang dibelanjakan itu ialah dana rakyat, dan kita hanya pemegang amanah. Atas alasan itu, Kerajaan seharusnya membatalkan perjalanan rombongan 68 pegawai ke satu pameran di Berlin, Jerman baru-baru ini. Soal ini walau nilainya mungkin dianggap kecil, tetapi ia bermakna sekiranya digunakan untuk kepentingan rakyat. Mungkin ada juga yang meremehkan tetapi hal ini yang sering saya peringatkan di peringkat Jemaah Menteri. Arahan ini dipanjangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua entiti Kerajaan meliputi kementerian, jabatan, agensi, syarikat dan badan berkanun.

96. Saya juga mengarahkan untuk mengoptimum sumber termasuk menilai keperluan perjawatan di pejabat perwakilan dan agensi luar negara. JPA dan Wisma Putra telah mengenal pasti 64 daripada 126 pejabat luar negara tidak beroperasi di bawah satu bumbung. Lantaran itu, Kerajaan telah memutuskan agar operasi mereka dipindahkan ke Pejabat Canseri atau digabungkan dengan pejabat berdekatan bagi menjimatkan kos lantas mengoptimumkan sumber.

97. Kerajaan akan meneliti semua ruang dan bangunan yang kosong milik agensi Kerajaan, GLIC dan GLC agar sumber yang tidak digunakan ini akan dimanfaat untuk tujuan prasekolah, taska dan pusat latihan kemahiran. Pasukan STAR akan menelusuri usaha ini.

98. Dalam transformasi digital, paksinya ialah MyDigital ID. Sepertimana kad pengenalan diri, MyDigital ID ialah Aplikasi Tunggal Kerajaan yang memusatkan semua agensi meliputi antaranya PADU, JPJ dan LHDN. Kerajaan terus berusaha meningkatkan kefungsian dan pengalaman pengguna MyDigital ID.

99. Antara kebijakan lain dalam memanfaat sumber Kerajaan termasuklah menyalurkan sebahagian hasil yang diraih daripada penjualan nombor plat khas untuk membantu rakyat susah. Antaranya termasuklah:  Menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15 ribu anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.  Memberi bantuan pembelian tiket penerbangan bagi 60 ribu mahasiswa kurang mampu khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman.  Mengedarkan 67 ribu keluarga susah dengan topi keledar secara percuma untuk keselamatan anak-anak.

IKHTIAR 15: KESELAMATAN SIBER

100. Negara-negara yang mencanang kebebasan keterlaluan kini telah mengambil beberapa tindakan untuk mengekang keterlanjuran, termasuk yang menyebabkan kematian melalui aplikasi media sosial. Ancaman siber kini semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan. Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung.

101. Transaksi mencurigakan lebih 380 juta ringgit berjaya disekat dalam membendung kes scam di Malaysia. Kendatipun demikian, isu scam masih dilihat parah dengan kes yang kian meningkat.

 Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan 20 juta ringgit.

 Sebuah Portal Fraud Kebangsaan telah diluncurkan sebagai ikhtiar memerangi penipuan dalam talian. Portal ini mempermudah pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik.

 Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah telah dipinda bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguat kuasa untuk mengekang sindiket akaun keldai, pada tahun ini.

102. Bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan, Rang Undangundang Keselamatan Dalam Talian akan digubal. Ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan turut bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak.

103. Sesuai dengan komitmen membenteng keselamatan siber negara dan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan diberi tambahan perjawatan seramai 100 orang dengan tambahan peruntukan 10 juta ringgit.

IKHTIAR 16: MUSIBAH DAN BENCANA

104. Kita menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar lain. Sebagai langkah segera, saya telah arahkan untuk penyaluran segera 150 juta ringgit kepada PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kota-kota yang terkesan.

105. Pada masa yang sama pengurusan bencana negara terus ditambah baik di samping menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir melibatkan kerjasama semua kontraktor.

 Peruntukan hampir 600 juta ringgit disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. Ini termasuk lebih 300 juta ringgit yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

 20 juta ringgit geran padanan disediakan segera kepada Yayasan GLIC dan GLC untuk memperhebat respons dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir.

 PBT serta warga bandar perlu bersama-sama memastikan longkang dan parit tersumbat yang mengakibatkan banjir kilat dapat ditangani segera. Sejumlah 50 juta ringgit disediakan bagi kerja-kerja pembersihan dan naik taraf longkang dan parit. Bagi memastikan pelaksanaan segera, JPS dan PBT dibenar untuk melaksanakan perolehan sehingga 1 juta ringgit melalui kaedah sebut harga atau secara undian dalam kalangan kontraktor G1 hingga G3 berdaftar.

 Setakat ini, Kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai 540 juta ringgit. Seterusnya, 12 projek RTB dengan kos 3 bilion ringgit telah dikeluarkan SST dan berjalan mengikut jadual antaranya melibatkan:

o RTB Sungai Damansara, Selangor; o RTB Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; RTB Sungai Triang, Bera, Pahang; o RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu; dan o Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2, Kota Bharu.

106. Mutakhir ini sering terjadi insiden tanah jerlus dan tanah runtuh. Ini termasuk kejadian menyayat hati yang menimpa seorang wanita warganegara India di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Bagi mengawal kejadian ini daripada berulang, beberapa projek akan dilaksanakan meliputi:

 Lebih 250 juta ringgit untuk membaiki cerun seluruh negara;  21 juta ringgit untuk mengekang isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis;  10 juta ringgit bagi melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

II. MEMBUGAR EKONOMI KE MEDAN JAYA

107. Negara harus dipacu lebih pantas agar mampu bersaing dengan bergaya. Dasar dan prakarsa baharu yang telah diumumkan perlu ditelusuri dan dilaksanakan dengan berkesan tanpa berlengah. Dasar menaikkan siling bermakna kesungguhan dalam ikhtiar mengangkat ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Dan menurut kerangka Ekonomi MADANI, penyegaran ekonomi negara yang mampan berpaksikan teknologi dan daya cipta akan hanya bermakna seandainya ia melimpah dan bermanfaat kepada rakyat dengan kenaikan lantai. Ini bermaksud pendapatan rakyat ditingkatkan termasuk di kalangan golongan profesional, pekerja, pekebun, petani dan nelayan.

IKHTIAR 17: KERANGKA INSENTIF PELABURAN BAHARU

108. Suatu anjakan baharu perlu dilakukan bagi meraih pelaburan lebih bermakna. Pendekatan lama dalam memberi galakan dan insentif kepada pelabur tanpa mengambil kira limpahan ekonomi yang diraih tidak lagi boleh digunakan. Umpamanya, pelaburan pusat data tidak sepatutnya menjadi rebutan sekiranya ia tidak memberi nilai tambah kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan perkongsian kepakaran. Maka, sekarang anjakan segar dan penekanan harus dilakukan supaya galakan yang diberikan dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara dan tidak hanya lebih menguntungkan syarikat pelabur.

109. Kerajaan bersetuju memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi ketimbang insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu. Kerangka ini dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025: Pertama: Bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi E&E melalui aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC. Kedua: Bagi menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang AI, potongan cukai khas diberikan kepada IPTS yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, AI, robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, FinTech dan teknologi mampan. Ketiga: Bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan ekosistem sektor utama, Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan diperkenalkan dengan insentif:

(i) Perbelanjaan perusahaan multinasional (MNE) sehingga 2 juta ringgit setahun diberi potongan cukai dua kali untuk tempoh 3 tahun berturut-turut. (ii) MNE atau pembekalnya yang membuat pelaburan usaha sama dengan pembekal tempatan lain diberi potongan cukai ke atas jumlah pelaburan dibuat. (iii) Pembekal tempatan yang terlibat dalam Ikhtiar ini akan diberi pakej insentif cukai yang bersesuaian berasaskan keberhasilan; dan (iv) Dana padanan pelaburan lebih 100 juta ringgit disediakan melalui platform pendanaan awam ekuiti untuk pengembangan pembekal tempatan dalam sektor E&E, kimia khusus dan peranti perubatan. Keempat: Perkumpulan ekonomi diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu. Kelima: Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu,

Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi. Keenam: Bagi memastikan pelaburan berlandaskan ESG, galakan cukai seperti elaun cukai pelaburan atau pengecualian cukai pendapatan diberikan bagi aktiviti CCUS. Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini akan terus disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara. Langkah ini termasuk memperkenalkan dana pelaburan strategik bernilai 1 bilion ringgit sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.

110. Kerajaan juga telah menyatakan kesediaan melaksanakan cukai minimum global (GMT) ke atas syarikat multinasional. Kendatipun GMT memberi hasil tambahan, masih terdapat risiko negatif terhadap iklim pelaburan. Dalam mengurangkan kesan GMT, Kerajaan komited untuk memperkemas insentif sedia ada, mewujudkan insentif bukan cukai baharu serta mengkaji kebolehlaksanaan Kredit Cukai Pelaburan Strategik.

111. Bagi memudah cara pelabur strategik, MIDA akan menjadi pihak berkuasa melulus untuk pas penggajian melibatkan graduan bukan warganegara lepasan universiti tempatan bagi memenuhi keperluan modal insan dalam sektor-sektor NIMP.

IKHTIAR 18: PELABURAN STRATEGIK

112. Tahun hadapan, sejumlah 200 juta ringgit disediakan meliputi Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) bagi menyokong pertumbuhan PKS dan syarikat pertengahan serta menggalakkan pendayaciptaan.

113. GLIC melalui ikhtiar GEAR-uP akan meningkatkan pelaburan langsung dalam negara berjumlah 120 bilion ringgit bagi tempoh 5 tahun dengan 25 bilion ringgit dilaburkan tahun hadapan. Umpamanya:

 KWAP melalui Dana Pemacu 6 bilion ringgit akan memperkukuh pasaran persendirian tempatan meliputi ekuiti persendirian, prasarana dan hartanah. Pelaburan ini untuk merangsang pertumbuhan pengurus dana tempatan melalui model unit kerjasama co-GP dengan 500 juta ringgit mula dilaburkan tahun hadapan melibatkan lapan sektor utama seperti pusat data, peralihan tenaga dan pembuatan canggih.

 Khazanah pula menyediakan 1 bilion ringgit bagi menerajui pelaburan yang menyokong industri semikonduktor tempatan.

114. Kerajaan menyokong pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) tempatan melalui kerjasama dengan negara seperti China dan Australia yang punyai keupayaan teknologi. Sebagai langkah awal, Kerajaan bercadang meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 selain memulakan pemetaan potensi sumber REE di seluruh negara.

IKHTIAR 19: SYARIKAT MULA NIAGA

115. Kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya pengembangan syarikat mula niaga tempatan. (1) Saudara Azarol Faizi Zakaria Ansari, pengasas BateriKu mula dengan berniaga kecil-kecilan. Meraih manfaat daripada pembiayaan Dana Perintis di bawah KWAP, kini beliau berjaya mengembangkan perniagaan dengan 1.5 juta pelanggan, melatih 1,000 juruteknik gig serta melahirkan 100 usahawan di bawahnya. (2) Syarikat Vitrox bermula secara kecil-kecilan oleh dua jurutera muda lepasan USM. Kini, syarikat ini telah membesar sebagai peneraju bidang elektronik utama dengan menjadi pembekal kepada pasaran asia, eropah dan Amerika Syarikat. (3) Greatech Technology Berhad merupakan syarikat tempatan yang berjaya menembusi pasaran global dalam sektor elektrik dan elektronik dan tersenarai sebagai Forbes Asia’s Best Under A Billion.

116. Pada tahun hadapan:

 National Fund-of-Funds (NFOF) akan ditubuhkan di bawah Khazanah yang beroperasi bulan hadapan dengan dana 1 bilion ringgit. NFOF akan menyokong pengurus dana modal teroka melabur dalam syarikat mula niaga dengan 300 juta ringgit disediakan untuk 2025.

 KWAP di bawah Dana Perintis menyediakan 1 bilion ringgit untuk turut menyokong aktiviti syarikat mula niaga tempatan dengan 200 juta khusus untuk 2025.

 Cradle Fund diperuntukkan 65 juta ringgit bagi membantu syarikat mula niaga berpotensi untuk berkembang ke peringkat serantau dan global. Ini juga termasuk 15 juta ringgit geran padanan sebagai galakan untuk GLC bekerjasama dengan syarikat mula niaga melalui ikhtiar modal teroka korporat.

 Bagi memperkukuh ekosistem modal teroka supaya kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing, proses kelulusan aliran dana 56 rentas sempadan di bawah Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing kini dimudah cara dan boleh dibuat berdasarkan jumlah saiz mandat dana.

IKHTIAR 20: DIGITALISASI DAN AUTOMASI

117. Kerangka Dasar transformasi digital yang tegas berjaya menarik pelaburan masuk. Malaysia berjaya meraih pelaburan berjumlah 16.9 bilion dolar Amerika untuk tempoh sehingga 2038 daripada syarikat gergasi teknologi dunia AWS, Microsoft, Google dan Oracle. Ini mencerminkan tahap keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi prasarana awan serantau.

118. Sekarang ialah masa syarikat tempatan merebut peluang pelaburan ini. Manfaat haruslah sampai kepada rakyat meliputi peluang pekerjaan, pembangunan pusat kecemerlangan dan pemerkasaan masyarakat.

119. Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) disediakan 10 juta ringgit bagi mengadun usaha meningkatkan penggunaan AI melalui kerjasama dengan akademia dan industri. 120. Malaysia mengambil langkah berani untuk menjuarai ekonomi digital serantau melalui pengisytiharan penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe). Ini turut dianggotai negara tetangga dalam usaha menggembleng kepakaran dan keselamatan AI di negara masing-masing.

121. Ke arah pelaksanaan sepenuhnya e-Invois pada 1 Julai 2025, Kerajaan bercadang perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer dan fi perundingan diberikan elaun modal dipercepatkan untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh 2 tahun.

122. Kerajaan juga bercadang melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat awal tahun hadapan bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing. Hasil kutipan levi ini akan disalurkan semula kepada industri bagi merekayasa proses perniagaan ke arah automasi dan mekanisasi.

123. Bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan:

 50 juta ringgit disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.

 100 juta ringgit juga disediakan oleh SKMM untuk tempoh 5 tahun bagi memperkasa fungsi Pusat NADI di seluruh negara sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.

IKHTIAR 21: ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA

124. Memorandum Persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) telah dimeterai pada Januari 2024 menandakan pencapaian besar kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

 Kerajaan meluluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat. Pakej galakan cukai bagi Zon Kewangan Khas Forest City turut diumumkan bagi merancakkan aktiviti perkhidmatan kewangan seperti perkhidmatan perniagaan global kewangan dan Fintech.

 Skim Pejabat Keluarga Tunggal telah diluncurkan untuk Zon Kewangan Khas Forest City bagi menggalakkan pengurusan dana Keluarga. Bagi menjayakan pengoperasian Pejabat Keluarga, Suruhanjaya Sekuriti akan berperanan sebagai pihak berkuasa melulus untuk pemberian Pas Residen serta Pas Penggajian kepada masing-masing Pelabur Keluarga Pengasas dan profesional pelaburan Pejabat Keluarga berkaitan.

 Bagi memacu pertumbuhan JSSEZ sebagai zon ekonomi khas yang mampan, Kerajaan juga akan menyediakan insentif khas yang boleh menarik pelaburan berkualiti dan menawarkan pekerjaan bernilai tinggi. Insentif khas ini akan diumumkan menjelang akhir tahun ini.

 Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor (IMFC-J) juga sedang ditubuhkan bagi memudah cara pelaburan di JSSEZ. Pusat ini bertujuan mengurangkan birokrasi di pelbagai peringkat bagi mempercepat kelulusan.

IKHTIAR 22: SOKONGAN PASARAN EKSPORT

125. Jumlah perdagangan bagi tempoh Januari-Ogos 2024 melonjak 10.2 peratus kepada 2.14 trilion ringgit. Kita meraih lebihan dagangan bagi 53 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

126. Pemberdayaan PMKS akan terus diperhebat bagi menyokong usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.

 Khazanah akan melancarkan Program Syarikat Mid-Tier dengan dana 1 bilion ringgit bertujuan menyediakan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.

 Bagi mendorong para pengeksport tempatan memperluas operasi mereka ke pasaran luar, 750 juta ringgit disediakan di bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport oleh EXIM Bank.

 40 juta ringgit juga disediakan di bawah MATRADE sebagai geran bayaran balik bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia di 60 pentas antarabangsa khususnya meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin, Timur Tengah.

127. Dalam memacu sektor logistik:

 Kerajaan bercadang supaya syarikat logistik yang menjalankan aktiviti kompleks logistik pintar diberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh 5 tahun. Ini bagi meningkatkan kapasiti industri logistik dengan mengadaptasi teknologi IR4.0.

 Kerajaan turut bersetuju untuk membina dan menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang, Selangor dengan kos 107 juta ringgit.

IKHTIAR 23: TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

128. Persiapan rapi dilakukan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Hampir 550 juta ringgit disediakan bagi mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan merangkumi:

 persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026;

 penganjuran aktiviti budaya, acara pelancongan dan capaian penerbangan ke Malaysia;

 pemerkasaan ekonomi komuniti melalui seni termasuk mempromosi kraf tangan dan batik.

129. Sejumlah 110 juta ringgit disediakan bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan UNESCO seperti:

 Menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor; Pulau Redang, Terengganu; dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak;

 Menjalin kerjasama ekopelancongan dengan UNDP dan Habitat Foundation;

 Pencalonan UNESCO untuk Tapak Lombong Bijih Timah Sungai Lembing, Pahang, budaya perarakan Chingay dan tarian singa.

130. Bagi memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif, Khazanah menyediakan 600 juta ringgit untuk memulih serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara. Ini termasuk membina jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara.

IKHTIAR 24: KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025

131. Kepengerusian ASEAN 2025 peluang terbaik Malaysia mengemudi ASEAN berpandukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045. Kita beriltizam melakar hala tuju ASEAN lebih berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat. Malaysia berpegang teguh kepada pendekatan bersama dalam memahat agenda pembaharuan di peringkat ASEAN termasuk menggerakkan pembangunan di kawasan bersempadan dengan negara tetangga untuk kemakmuran bersama.

132. Tentunya mencabar untuk melunas amanah besar pada detik ini, apalagi ASEAN teruji dengan persaingan kuasa-kuasa besar, isu Laut China Selatan, krisis Myanmar, hal keterjaminan makanan serta perubahan iklim. Atas kelebihan yang ada, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, termasuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China buat julung kalinya.

133. Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 melibatkan penganjuran lebih 270 mesyuarat dan aktiviti melibatkan semua negeri. Saya berharap, penganjuran ini dapat menjana pendapatan usahawan khususnya penyedia khidmat logistik, perhotelan, pelancongan termasuk jualan kraf tangan.

134. Bagi menyokong penggiat kraf tangan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Kerajaan menetapkan semua Kementerian dan Jabatan yang terlibat dengan penganjuran mesyuarat dan aktiviti, hendaklah memperoleh kraf tangan daripada pengusaha tempatan yang boleh mengetengahkan kehalusan, keunikan dan keaslian hasil tangan anak tempatan untuk dikongsikan kepada semua. Sebagai 63 contoh, beg dokumen yang saya gunakan hari ini ialah kerja seni tenunan songket hasil pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan.

IKHTIAR 25: PERALIHAN TENAGA

135. Rencana NETR adalah untuk mengalihkan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050. Tahun hadapan, lebih 300 juta ringgit disediakan di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara, ketimbang 100 juta tahun ini.

136. Beberapa projek NETR juga memasuki fasa pelaksanaan seperti: Pertama: Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau di Terengganu. Projek ini berupaya menghasil sehingga 1,000 megawatt dan separuh kapasiti ini akan digunakan untuk projek hab hidrogen hijau pertama di Terengganu melibatkan kerjasama PETRONAS dan TNB. Kedua: Program Large Scale Solar (LSS). o Projek ini untuk membangunkan loji jana kuasa solar berskala utiliti dengan tawaran kuota 2,000 megawatt. 64 Proses bidaan telah ditutup dan penilaian dijangka selesai selewat-lewatnya Disember 2024.

137. Bagi meningkatkan capaian tenaga boleh baharu:

 Program Net Energy Metering (NEM) dilanjutkan kepada 30 Jun 2025 agar lebih banyak bumbung premis dimanfaatkan untuk pemasangan solar photovoltaic (PV).

 Pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) diteruskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak 1 bilion ringgit sehingga tahun 2026.

 UEM Lestra dan TNB akan melabur 16 bilion ringgit untuk meningkatkan keupayaan rangkaian transmisi dan pengedaran serta menyahkarbon kawasan perindustrian.

 Ikhtiar akses grid terbuka akan dilaksanakan melalui Program Corporate Renewable Energy Scheme (CRESS) untuk membolehkan syarikat korporat memperoleh bekalan elektrik daripada penjana TBB pilihan.

 Program khusus yang mengutama reka bentuk struktur penjanaan TBB dwifungsi seperti konsep agrivoltaic bakal diperkenalkan bagi 65 mengelakkan kesan negatif loji jana kuasa TBB terhadap pengeluaran bahan makanan.

138. Susulan penggubalan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga, ikhtiar meningkatkan kecekapan tenaga terus diperhebat:

 e-Rebat sehingga 70 juta ringgit disediakan bagi menggalakkan pengguna dan industri membeli kelengkapan elektrik cekap tenaga.

 Kontrak Prestasi Tenaga akan diperkenalkan untuk kegunaan semua agensi Kerajaan bagi mencapai penjimatan bil elektrik sehingga 10 peratus.

 Ke arah Putrajaya bandar rendah karbon, ruang bumbung di laluan pejalan kaki sepanjang hampir 5 kilometer dan tempat parkir kereta akan dipasang solar untuk menjimatkan tenaga elektrik.

139. Bagi menyokong pelaksanaan CCUS di Malaysia:

 Aktiviti penggunaan karbon diperluas sebagai produk hiliran dan akan disediakan galakan cukai berdasarkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menekankan kerencaman ekonomi. Akses pembiayaan mampan khususnya pembiayaan campuran juga dimudah cara.

 Kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU Rangka Kerja Kawal Selia Progresif Mengenai CCUS dalam masa terdekat.

140. Terkait Kenderaan Elektrik (EV):  Kerangka insentif cukai EV sedia ada telah distruktur supaya selari dengan hasrat untuk menggalakkan peralihan kepada EV pemasangan tempatan CKD. Pada masa ini, syarikat PERODUA sedang merancang untuk mengeluarkan EV berharga di bawah 100 ribu ringgit bagi memenuhi permintaan rakyat.

 Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik CKD sehingga 2,400 ringgit akan diteruskan dengan peruntukan 10 juta ringgit.

141. Bagi menyokong ekonomi kitaran, Kerajaan bercadang:

 potongan cukai ke atas sumbangan atau penajaan Smart Artificial Intelligence – Driven Reverse Vending Machine dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026; dan

 skop pelepasan cukai bagi pembelian pengecas kenderaan elektrik diperluas meliputi pembelian mesin kompos sisa makanan untuk kegunaan isi rumah sehingga tahun taksiran 2027.

142. Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang tahun 2026. Cukai ini bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon. Hasil daripada cukai ini akan dimanfaat untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau. IKHTIAR 26: PERLINDUNGAN KHAZANAH ALAM

“Dan dengan sederap rentak dan sesyahdu suara kita tetap bertekad melindungi rimba terdera. Kau yang pendera usah berhelah atau berpura kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.” Petikan puisi ‘Langkah Lestari’ (A. Samad Said)

143. Belanjawan 2025 kekal komited melindungi khazanah alam:

 Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) ditingkatkan kepada 250 juta ringgit, ketimbang 200 juta ringgit bagi menyokong usaha negeri melindungi hutan dan hidupan liar. Kriteria pengagihan EFT ditetapkan semula iaitu 50 peratus peruntukan yang 68 diagihkan tertakluk kepada prestasi perbelanjaan Kerajaan negeri, ketimbang 30 peratus pada masa ini.

 Peranan orang asli dan veteran beruniform dalam membenteng kawasan hutan simpan kekal amat dihargai. Kerajaan meningkatkan lantikan renjer komuniti kepada 2,500 orang ketimbang 2,000 orang dengan peruntukan 80 juta ringgit.

 Sekitar 4 peratus sungai dikategorikan tercemar antaranya Sungai Anak Bukit, Kedah; Sungai Pegalan, Sabah dan Sungai Etanak, Sarawak. Projek Pembersihan Sungai Bersama Komuniti akan dilaksanakan di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan dengan peruntukan 10 juta ringgit.

 Kerajaan bersetuju menaik taraf loji rawatan kumbahan serantau sedia ada dan membina rangkaian paip pembentungan di Sungai Kim Kim, Johor untuk mengekang pencemaran air.

144. Bagi melindungi generasi masa hadapan, Kerajaan bercadang meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 bagi memperluas sumber sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) serta memperketat kawalan tatakelola pengeluaran dana.

IKHTIAR 27: KETERJAMINAN MAKANAN 69

145. Antara kelemahan ketara kita, kebergantungan yang tinggi kepada import makanan walhal punyai kesuburan tanah dan kemampuan meningkatkan keterjaminan makanan negara. Tahun hadapan:

 300 juta ringgit disediakan bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri, menokok ketimbang 150 juta tahun ini. Ini antaranya untuk menyokong pengeluaran bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan.

 Kerajaan bersama badan swasta akan memanfaat hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian mereka untuk melaksanakan projek pertanian seperti perusahaan ayam organik dan lembu serta tanaman berkelompok.

 Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman 200 juta ringgit kepada pengusaha agromakanan yang menyokong keterjaminan makanan dan pertanian lestari.

 Sejumlah 27 juta ringgit turut disediakan sebagai insentif kepada petani dan penternak untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, ruminan kecil kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan.

146. Terkait industri padi negara:

 Projek Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun di kawasan MADA Fasa 1 dimulakan melibatkan hampir 1 bilion ringgit dengan keluasan hampir 11 ribu hektar. Ini mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus selain melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.

 Pengurusan padi di Sekinchan, Sabak Bernam terbukti menghasilkan padi lebih banyak sehingga 12 tan sehektar. Kerajaan akan memulakan projek rintis bagi memperoleh baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka.

 65 juta ringgit disediakan bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak.

147. Kesejahteraan pesawah dan nelayan terus dipelihara:

 Sejumlah 2.78 bilion ringgit disediakan sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan, meningkat ketimbang 2.6 bilion ringgit.

 Kerajaan bersetuju menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada 84 ribu ringgit ketimbang 56 ribu ringgit untuk Semenanjung dan 90 ribu ringgit ketimbang 68 ribu ringgit untuk Sabah dan Sarawak.

IKHTIAR 28: PERLADANGAN DAN KOMODITI

148. Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan FELDA, FELCRA dan RISDA kepada 2.6 bilion ringgit ketimbang 2.4 bilion ringgit.

149. Bagi memperkukuh sektor sawit negara:

 Kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada 3,150 ringgit, manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada 3,650 ringgit. Manakala, struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah disemak semula mulai 1 November 2024. Layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak juga akan dikekalkan.

 Insentif galakan kepada pekebun kecil menanam semula sawit juga diteruskan bagi menggantikan sawit tua yang tidak lagi produktif dengan peruntukan 100 juta ringgit.

 Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia punyai potensi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada sisa kilang kelapa sawit. Petronas akan menjalin kerjasama dengan SD Guthrie dan FGV Holdings Berhad bagi penghasilan SAF daripada sisa kilang kelapa sawit.

 Kerajaan telah menyediakan galakan cukai automasi sektor perkilangan, perkhidmatan, pertanian dan sektor komoditi dalam bentuk Elaun Modal Dipercepatkan dalam tempoh 1 tahun serta pengecualian cukai pendapatan ke atas perbelanjaan modal yang sama. Melalui galakan cukai ini, syarikat dapat mengadaptasi teknologi yang lebih maju seperti dron dan AI dalam operasi perladangan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

 Komitmen mempertahan industri sawit diperhebat bagi menangkis salah tanggap Eropah dan meningkatkan tahap kelestarian sawit dengan peruntukan 65 juta ringgit.

150. Terkait perusahaan getah:

 Program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil di bawah RISDA akan dilaksanakan secara geran padanan 60 juta ringgit. Ini sebagai galakan pekebun kecil getah menghasil getah lateks bagi memenuhi keperluan industri.

Ladang-ladang getah milik persendirian yang terbiar akan diusahakan semula dengan peruntukan 20 juta ringgit. Ikhtiar ini dilaksanakan melalui pendekatan pajakan tanah, iaitu tanah terbiar akan dipajak untuk diusahakan semula dan keuntungan dibahagikan mengikut persetujuan antara pekebun kecil, agensi pelaksana serta pemilik tanah.

 Serangan perosak seperti kulat pestalotiopsis, ulat bungkus dan kulapuk jelaga menyebabkan kerugian jutaan ringgit. 10 juta ringgit bagi melaksanakan mitigasi dan kawalan penyakit agar tidak terus merebak.

IKHTIAR 29: DAYA CIPTA KEWANGAN ISLAM

151. Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023 mengekalkan Malaysia pada kedudukan teratas untuk tahun ke-10 berturut-turut. Adapun banyak lagi ruang boleh diteroka bagi mengangkat sektor kewangan Islam ke tahap lebih adil berlandaskan maqasid syariah selain berupaya menyaingi produk konvensional.

152. Sektor kewangan Islam perlu dipacu supaya lebih berdaya cipta. Sejumlah 100 juta ringgit dana padanan disediakan bagi menggalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam supaya tidak lagi bergantung kepada produk patuh syariah yang mirip 74 konvensional. Antara pembiayaan yang diperintiskan termasuklah berasaskan prinsip musharakah yang melibatkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil. Kemudahan ini tertumpu kepada projek kewangan iklim termasuk projek keterjaminan makanan dan dilaksanakan dengan padanan dana daripada institusi perbankan Islam dan pelabur swasta.

153. Program i-TEKAD yang ditawarkan 13 bank dan 70 rakan pelaksana telah membantu lebih 8,000 usahawan mikro berpendapatan rendah. Tahun hadapan, 20 juta ringgit geran padanan disediakan dengan 5 juta ringgit khusus untuk menyumbang kepada caruman insurans atau takaful bagi usahawan mikro. Ini akan dipadankan dengan sumbangan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk manfaat peniaga dan penjaja kecil, penghantar barang dan makanan serta peserta Ikhtiar Pendapatan Rakyat yang rosak tanaman akibat bencana.

154. Kerajaan juga menyokong pelaburan berimpak sosial lain termasuk pembiayaan P2P patuh syariah dan pendanaan awam ekuiti di bawah program MyCIF dengan menyediakan geran padanan 40 juta ringgit.

155. Bagi merancakkan kajian dalam bidang ekonomi Islam, sejumlah 10 juta ringgit diperuntukkan bagi menyokong usaha sama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan INCEIF University dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai-nilai universal 75 ekonomi Islam. Perkembangan penyelidikan dan pembangunan program akademik akan terus mencambah aplikasi ekonomi Islam dalam pembentukan dasar semasa yang selaras dengan prinsip maqasid Shariah yang adil, inklusif, lestari untuk kemakmuran bersama.

IKHTIAR 30: PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL

156. Hampir keseluruhan negara dunia mengiktiraf pensijilan halal Malaysia. Usaha sama JAKIM, HDC dan MATRADE harus dilipatgandakan dalam memperkukuh industri halal negara dan menyokong syarikat halal tempatan.

 Ke arah mempercepat urusan pengeluaran sijil halal, juruaudit halal JAKIM akan ditambah sebanyak 100 orang lagi. Sistem MYeHALAL juga ditambah baik bagi memusatkan 20 agensi Kerajaan dan 100 badan pensijilan halal luar negara di bawah satu platform.

 Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana tersedia hampir 600 juta ringgit.

 Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) juga sedia menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan PKS halal dengan nilai jaminan sehingga 1 bilion ringgit.

 MATRADE ditugaskan untuk memacu perkembangan kapasiti lebih banyak perusahaan halal supaya lebih berdaya saing dengan peruntukan 20 juta ringgit.

IKHTIAR 31: PEMBANGUNAN TANAH WAKAF

157. UDA Holdings Berhad berperanan besar dalam membangunkan tanahtanah wakaf. Dua projek utama yang dilaksanakan iaitu Wakaf Seetee Aisah dan Wakaf Mohd Hashim berjaya memberi pulangan ekonomi kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

158. Tahun hadapan, Wakaf MADANI terus diperkasa dengan penglibatan meluas agensi-agensi Kerajaan:  KWAP menyediakan dana 300 juta ringgit bagi meningkatkan pembangunan tanah wakaf untuk membina rumah persaraan mandiri warga emas kepada para pesara pendapatan rendah.  UDA dengan dana 200 juta ringgit akan terus menumpukan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah-tanah wakaf.

 LPPSA akan menyediakan dana untuk penjawat awam yang membeli rumah di atas tanah wakaf.

 SJKP pula akan menjamin pinjaman pembeli rumah pertama bernilai sehingga 500 ribu ringgit yang dibangunkan di atas tanahtanah wakaf.

 Setakat 10 Oktober lalu, 22 ribu orang pemegang unit ASNB telah mewakafkan pelaburan mereka sebanyak 73 juta unit. Hasil daripada Wakaf ASNB disalurkan ke projek wakaf untuk kemaslahatan ummah. Kerajaan akan terus menggalakkan wakaf pelaburan seumpama ini.

 Wakaf MARA MADANI akan terus berusaha menarik sumbangan wakaf daripada sektor korporat termasuk figura yang pernah meraih manfaat daripada MARA bagi mencapai sasaran dana 1 bilion ringgit.

IKHTIAR 32: BANTUAN DAN PEMBIAYAAN PERNIAGAAN

159. Dalam memacu ekonomi subur, tidak hanya tergantung kepada konglomerat utama. 90 peratus ekonomi melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggaji hampir separuh pekerja dan menyumbang 40 peratus kepada KDNK. Memandangkan ini, Kerajaan memutuskan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan PMKS dalam 78 bidang-bidang tumpuan seperti keterjaminan makanan, peralihan tenaga dan digital.

160. Institusi Kewangan Pembangunan dan agensi Kerajaan memainkan peranan besar dalam membangun usahawan tempatan di setiap peringkat perniagaan mereka. Umpamanya, hampir 40 tahun lalu, Bank Pembangunan merupakan institusi pertama yang menyediakan pinjaman kepada Ramly Burger. Kini, perusahaan Ramly Burger telah berkembang maju termasuk kejayaan terkini membina kilang melalui kemudahan pembiayaan Skim Transformasi Digitalisasi Industri. Pada masa yang sama, BSN juga menyediakan pinjaman mikro untuk para peniaga kecil Ramly Burger.

161. Secara keseluruhan, 40 bilion ringgit disediakan sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi-agensi Kerajaan.

 Pinjaman bersaiz mikro tersedia sehingga 3.2 bilion ringgit, antaranya oleh TEKUN dan BSN bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti OKU, masyarakat Cina serta Bumiputera.

 Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan dana pembiayaan 6.4 bilion ringgit antaranya bagi menyokong pembiayaan sektor pembangunan infrastruktur, digitalisasi, 79 pelancongan, logistik dan pengangkutan serta tenaga boleh baharu dan peralihan.  Kerajaan melalui SJPP akan terus menjamin pembiayaan PKS sehingga 20 bilion ringgit termasuk jaminan 5 bilion ringgit khas untuk PKS Bumiputera

 Dana pinjaman PKS 3.8 bilion ringgit disediakan oleh BNM antaranya bagi menyokong usahawan untuk beralih ke arah digital dan automasi selain terus membantu sektor agromakanan dan amalan lestari.

 650 juta ringgit juga akan dikhususkan untuk menyokong wanita dan belia menceburi bidang keusahawanan.

 Bagi memelihara modal insan, sosial dan kebajikan masyarakat India, 130 juta ringgit disediakan khusus untuk melaksanakan pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India.

162. Kerajaan mencadangkan had amaun pinjaman atau pembiayaan Skim Pembiayaan Mikro bagi tujuan pengecualian duti setem dinaikkan daripada 50 ribu ringgit kepada 100 ribu ringgit mulai 1 Januari 2025. 80

163. Bagi meluaskan akses PMKS kepada pinjaman atau pembiayaan alternatif, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara perjanjian pinjaman atau pembiayaan yang disempurnakan PMKS dengan pelabur melalui platform Initial Exchange Offering (IEO) mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026.

164. Kerajaan terus menyokong aktiviti perniagaan badan-badan koperasi termasuk menyediakan modal pusingan. Dana pembiayaan sehingga 100 juta ringgit disediakan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

IKHTIAR 33: KEMUDAHAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL

165. Pendirian saya kekal bahawa keadaan warung, gerai dan pasar perlu dijamin tahap keselesaan serta keselamatannya. Tahun hadapan, 100 juta ringgit disediakan bagi:  membina gerai-gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua PBT seluruh negara.  menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak; serta  menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah DBKL dan MARA.

IKHTIAR 34: TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA

166. Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah dengan tekad membawa pengarahan dan kebijakan baharu. Tidak boleh lagi kita terkurung dengan cara lama – mengurus agensi dengan tatakelola rendah, menggunakan agensi bagi memperkaya kerabat sendiri sehingga lupa agenda utama mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.  Usahawan Bumiputera

167. Pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra adalah untuk menyokong perniagaan Bumiputera di sepanjang kitaran perniagaan mereka. Umpamanya, Ekuinas akan melabur dalam syarikat pertengahan dan setelah itu, syarikat yang berjaya disenaraikan dan mendapat pelaburan sewajarnya daripada PNB.

168. Tahun hadapan, 800 juta ringgit pembiayaan di bawah MARA dan PUNB tersedia untuk lebih ramai usahawan Bumiputera termasuk untuk menyokong artisan tempatan.

169. Kerajaan bersetuju memperuntukkan 1.3 bilion ringgit untuk memperkasa kontraktor G1-G4 khususnya Bumiputera. Ini memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam.

170. Pada masa yang sama, sejumlah 200 juta ringgit disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1-G4 menyiapkan projek berskala kecil Kerajaan bernilai sehingga 1.5 juta ringgit.  Tanah Rizab Melayu

171. Buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan MADANI telah bersetuju supaya 50 ekar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai Tanah Rizab Melayu. Ini hanya permulaan dalam mengenal pasti tanah-tanah Kerajaan yang sesuai bagi memastikan aspek pembangunan turut tidak mengabaikan keseimbangan sosioekonomi jangka panjang di kawasan bandar. 172. PNB dan PHB akan terus meningkatkan kerjasama membangun tanah rizab Melayu dalam projek perumahan mampu milik, penginapan pelajar dan pembangunan komersial.

III.MENSEJAHTERA RAKYAT KE TAHAP BAHAGIA

173. Tanggungjawab pemimpin dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat dengan penuh amanah dan keikhlasan bagi membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan dan belenggu, sekali gus mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi dan terpuji. Peringatan tersebut selaras dengan seruan ayat al-Quran dalam surah alBalad yang memerintahkan agar membebaskan manusia dari segala belenggu perhambaan dan penindasan demi mencapai matlamat kebahagian dan kesejahteraan hidup yang sebenar.

َو َمآ عَقَبَة ْ ى َك َماٱل ٰ ْدَر فَ ُّك ۝ َر أ ۝ قَبَ ة َ ٍۢ ٍۢ م ِذى َم ْسغَبَ ة ٌۭ م فِى يَ ْو ْطعَ ٰـ ِ ْو إ َ ا ذَا يَتِي م أ ۝ ٌۭ َربَ ة َم ۝ قْ ٍۢ َربَ ة َمتْ ا ذَا ٌۭ ْو ِم ْس ِكين ِر أ ۝ َ صْب ِٱل َّ ب ۟ َصْوا َوا َوتَ ۟ وا َمن ِذي َن َءا َّ م َكا َن ِم َن ٱل َّ ث ۟ َصْوا َوا َوتَ َمْر َح َمِة ْ ب ۝ ِٱل

Dan apakah engkau mengetahui: apakah amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan?. (Di antara amal-amal itu - bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi. Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim daripada kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah (fakir). Kemudian, orang yang beriman dan saling berpesan dengan kesabaran serta berpesan dengan kasih sayang (Surah Al-Balad: 12-17)

IKHTIAR 35: KOS SARA HIDUP RAKYAT

174. Perlu ditekankan bahawa, langkah-langkah yang diambil untuk memperbaiki pengurusan, meluruskan dari ketempangan, mengelak dari ketirisan termasuk kebijakan penyasaran subsidi dan peluasan asas hasil itu adalah di antara lain bagi mengupayakan bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat.

175. Maka, untuk tahun 2025 kita akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada 13 bilion ringgit ketimbang 10 bilion ringgit. Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.

 Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak 100 ringgit sebulan, ketimbang 700 ribu penerima tahun ini.

 Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

 Kategori bujang akan menerima STR 600 ringgit.

 Penambahan peruntukan 3 bilion ringgit membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada 4,600 ringgit, ketimbang 3,700 ringgit.

 Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan Kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

176. Ini juga akan ditambah melalui peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 2.9 bilion ringgit; ketimbang 2.4 bilion.

 Kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rakyat miskin akan ditingkatkan: o Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada 600 ringgit sebulan ketimbang 500 ringgit sebulan. o Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan iaitu: 86  daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit seorang bagi anak berusia 6 tahun dan ke bawah; serta  daripada 150 ringgit kepada 200 ringgit seorang bagi anak lingkungan usia 7 hingga 18 tahun;  tertakluk kepada kadar maksimum 1,000 ringgit sekeluarga. o Untuk Wilayah Persekutuan, Kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada 150 ringgit ketimbang 100 ringgit dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak 500 ringgit sebulan. Saya menyeru semua Kerajaan Negeri untuk turut menambahbaik Kadar Bantuan Am Negeri.

177. Jika dihitung keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM:  Isi rumah miskin dengan tiga anak layak menerima bantuan lebih 13 ribu ringgit setahun, yakni suatu peningkatan amat ketara ketimbang 11 ribu ringgit pada masa ini.

 Untuk warga emas miskin pula layak menerima bantuan lebih 10 ribu ringgit setahun ketimbang 8,000 ringgit.

 Ini bermakna tidak ada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang 1,100 sebulan. Dan ini belum mengambil kira bantuan daripada Kerajaan Negeri, Zakat dan Yayasan.

 Maka, tanggungjawab kita adalah untuk pastikan tiada keciciran. Oleh itu, pihak JKM dan ICU, JPM harus berganding bahu dan menggandakan usaha verifikasi golongan miskin.

178. Pada kesempatan ini, saya ingin umumkan bahawa bayaran bagi STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November depan melibatkan peruntukan 1.7 bilion ringgit.

179. Seluruh jentera Kerajaan digerakkan bagi menggembleng kekuatan mengawal harga dan bekalan barangan untuk termasuk menghapus tembok penguasaan kartel yang meratah keuntungan mahabesar daripada wang rakyat.

180. Sejumlah 1 bilion ringgit disediakan untuk menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas.

 Ini meliputi Program Payung Rahmah yang ditingkatkan peruntukan kepada 300 juta ringgit, ketimbang 200 juta ringgit. Jualan Rahmah akan diperhebat bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua DUN setiap bulan.

 700 juta ringgit dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang, termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, 88 pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya.

181. Selain itu, 250 juta ringgit disediakan bagi mengedarkan barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa termasuk memperluas ke kawasan baharu di Magandai, Kota Marudu, dan Nanga Pelawan, Bintulu.

182. Saya juga ingin mengumumkan bahawa:  Pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran premium insurans pendidikan dan insurans perubatan dinaikkan kepada 4,000 ringgit.  Pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan perubatan sehingga 10 ribu ringgit adalah juga meliputi bahagian bayaran perubatan yang dilakukan oleh pembayar cukai di bawah produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan dengan ciri-ciri pembayaran bersama.  Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan telah tertakluk kepada cukai pendapatan di negara sumber serta diterima oleh individu di Malaysia, yang pada masa ini diberikan secara bertempoh sehingga 31 Disember 2026, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2036.

IKHTIAR 36: PENDAPATAN RAKYAT

183. Kerajaan MADANI sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

184. Untuk itu, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada 1,500 ringgit sebulan kepada 1,700 ringgit sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

185. Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum 1,700 ringgit membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

186. Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (2,290 ringgit), Jurutera Mekanikal (3,380 ringgit) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (2,985 ringgit).

187. Selanjutnya, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan 90 pekerja. Dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan. Dasar Gaji Progresif diperuntukkan 200 juta ringgit dan akan memanfaatkan 50 ribu pekerja.

188. Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merupakan ikhtiar kita menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat. Melalui ikhtiar IPR INSAN, Saudari Normaladiana Mohd Yazal yang merupakan OKU fizikal, telah membantu suaminya berniaga dan berjaya meraih pendapatan untuk keluarga hampir dua kali ganda. Tahun hadapan, 250 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka.

IKHTIAR 37: PERLINDUNGAN SOSIAL

189. Agenda perlindungan sosial akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat terbanyak dilengkapkan dengan simpanan persaraan yang munasabah serta caruman insurans daripada musibah.

 Bagi menggalak lebih ramai pekerja tidak formal dan mereka yang tidak punyai pendapatan tetap menabung untuk persaraan, insentif padanan i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada 20 peratus ketimbang 15 peratus, tertakluk kepada had maksimum insentif padanan tahunan 500 ringgit atau 5,000 seumur hidup.

 Program i-Suri diteruskan secara insentif padanan melalui caruman Kerajaan dan caruman secara aktif daripada pencarum.

 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan menanggung sehingga 70 peratus caruman pekerja dengan peruntukan 100 juta ringgit. Ini sebagai persediaan ke arah penetapan caruman wajib sebagai salah satu syarat memperbaharui lesen vokasional bagi individu bekerja sendiri tahun hadapan. Syarikat pengendali juga diseru untuk menanggung baki caruman sebagai iltizam membela kebajikan pekerja.

 Program insurans sosial iaitu Skim Perlindungan Tenang diteruskan dengan kerjasama Bank Negara, industri insurans dan takaful untuk manfaat sehingga 2 juta penerima STR. Mereka layak menuntut baucar 30 ringgit untuk membiayai sebahagian daripada kos membeli produk Perlindungan Tenang yang menawarkan perlindungan akibat kematian, kemalangan diri dan risiko am seperti kebakaran dan banjir.

 Ke arah negara menua, KWSP sedang mengkaji semula skimnya bagi memperkukuh pendekatan pemindahan antara generasi iaitu sebahagian simpanan KWSP ahli boleh dipindahkan terus ke dalam akaun KWSP ahli keluarga terdekat.

 Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan bayaran premium anuiti tertangguh sehingga tahun taksiran 2030.

 Kerajaan komited memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa. Kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP. Cadangan ini akan dilaksanakan secara berfasa.

190. Bagi mengurangkan kos penyerahhakkan dan menggalakkan hibah perlindungan insurans serta takaful kepada ahli keluarga, surat cara penyerahhakkan polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga secara pemberian kasih sayang atau melalui pemegang amanah akan dikenakan duti setem pada kadar berperingkat antara 10 ringgit hingga 1,000 ringgit berdasarkan nilai pindah milik.

IKHTIAR 38: PENDIDIKAN ARUS PERDANA

191. Wajar merenung seketika bait-bait nukilan penyair W.S. Rendra ‘Sajak Anak Muda’. Jika ditelaah, akan terjentik dhamir untuk mendamba perubahan dan mencerna reform agar pendidikan lebih bermutu dan mampu memberi pencerahan di samping serta mendamba pemikiran kritis. “Kita adalah angkatan gagap yang diperanakkan oleh angkatan takabur. kita kurang pendidikan resmi di dalam hal keadilan, karena tidak diajarkan berpolitik, dan tidak diajar dasar ilmu hukum.” – “Bukan pertukaran pikiran. ilmu sekolah adalah ilmu hafalan, dan bukan ilmu latihan menguraikan. Dasar keadilan di dalam pergaulan.” – “Lalu akhirnya Menikmati masa bodoh dan santai. Di dalam kegagapan, Kita hanya bisa membeli dan memakai, Tanpa bisa mencipta. (Petikan Sajak Anak Muda oleh W.S. Rendra)

192. Pendidikan sewajarnya memberdaya ilmu dan menyemai nilai serta membentuk akhlak. Demikianlah yang dirumuskan oleh junjungan besar Rasulullah SAW: 94 أدبني ربي فأ ْحسن تأديبي “Bahawa Tuhanku telah menitipkan akan daku dengan sebaik-baik adab”

193. Kementerian Pendidikan diberi peruntukan 64.1 bilion ringgit, ketimbang 58.7 bilion ringgit tahun ini– peruntukan tertinggi dalam sejarah.

194. Keutamaan saya kekal memastikan ruangan pembelajaran yang selesa, selamat dan bermakna untuk anak-anak menimba ilmu.

 2 bilion ringgit disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara. 1 bilion ringgit khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur: Ini termasuklah di sekolah kebangsaan, sekolah cina, sekolah tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas OKU. o 1 bilion pula bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.

 Sebanyak 44 sekolah baharu mula dibina tahun hadapan antaranya: o SK Bandar Putra Indah, Batu Pahat, Johor; o SMK Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat, Selangor; o SMK Lok Kawi, Putatan, Sabah; o SMK Semeling, Sungai Petani, Kedah; dan o SK Dudong, Sibu, Sarawak.  Bagi memastikan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman, Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar dengan peruntukan 100 juta ringgit. Projek Point of Presence (POP) sedia ada juga diteruskan dengan peruntukan lebih 800 juta ringgit.

 Alhamdulillah, berkat kesungguhan semua, kita berjaya membaik pulih tandas lebih 8,300 sekolah dalam masa singkat. Tumpuan seterusnya adalah untuk membaik pulih kemudahan lain seperti kantin dan musolla dengan peruntukan 100 juta ringgit.

 Kemudahan lain seperti dewan juga dinaik taraf melalui komitmen badan swasta dan syarikat Kerajaan. Saya menyeru supaya badan swasta, alumni dan dermawan untuk mengambil tanggungjawab 96 korporat menyumbang ke arah persekitaran sekolah anak-anak yang selesa.

195. Hanya ketinggian ilmu yang dapat mengeluarkan rakyat dari kepompong kedaifan hidup melarat. Tahun hadapan, 17 jenis bantuan pendidikan terus disediakan dengan peruntukan 5.3 bilion ringgit.  Bantuan makanan asrama: 2 bilion ringgit.  Rancangan Makanan Tambahan (RMT): 870 juta ringgit meningkat ketimbang 784 juta ringgit. RMT bakal memanfaat lebih 860 ribu murid dan peluang diberikan kepada pembekal sajian makanan oleh syarikat di daerah.

 Hampir 800 juta ringgit Bantuan Awal Persekolahan disediakan kepada semua 5.2 juta murid tahun 1 hingga tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa.  Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ditingkatkan kepada 180 juta ringgit ketimbang 150 juta ringgit tahun ini.  Bagi meningkatkan akses pendidikan pelajar dari keluarga susah, Kerajaan bersetuju bayaran gaji atau upah kepada tenaga pengajar oleh institusi dan organisasi dengan objektif pendidikan yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta 97 Cukai Pendapatan 1967 dibenarkan sebagai perbelanjaan kebajikan.196. Sejak 2002, sudah 22 tahun kadar Geran Per Kapita (PCG) TVET tidak disemak semula. PCG ialah sumber kewangan utama sekolah dan kadar lama tidak lagi dapat menampung kos pembelajaran yang kian meningkat. Sekolah kurang murid di pedalaman pula bergantung kaedah PCG yang sama. Bermakna, kurang murid selama ini kurang dana.

 Kerajaan bersetuju kadar PCG bagi Pendidikan TVET ditingkatkan sebanyak 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih 900 juta ringgit.

 Peruntukan khas 10 juta ringgit disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada semua 687 sekolah pedalaman.

197. Selanjutnya, Kerajaan bersetuju Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada 530 ringgit sebulan ketimbang 430 ringgit.

IKHTIAR 39: PENDIDIKAN TINGGI

198. Falsafah pendidikan perlu terus diterapkan dalam prakarsa pendidikan tinggi. Langkah awal yang dimulakan perlu ditingkatkan dengan lebih gigih 98 lagi. Di antara strategi lanjutan termasuklah peningkatan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penguasaan bahasa-bahasa lain terutamanya Inggeris. Universiti perlu pantas memperkenalkan disiplin baharu yang membuka ruang penerokaan pemikiran dan teknologi baharu. Pimpinan universiti dan para ilmuan perlu diberi ruang dan wewenang untuk menggagaskan pembaharuan ke arah kemantapan dan peningkatan mutu.

199. Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan 18 bilion ringgit ketimbang 16.3 bilion tahun ini.

200. Terkait kemudahan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke menara gading:

 Peruntukan keseluruhan 4 bilion ringgit disediakan dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.

 GLIC dan GLC turut komited memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah.

 Ke arah melahirkan graduan dengan kebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri, PTPTN menyediakan dana pembiayaan pendidikan berjumlah 500 juta ringgit khusus untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM di IPTA.

201. Bagi menggalakkan tabungan pendidikan tinggi anak-anak:

 Kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi.

 Di bawah Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI), Kerajaan juga bersetuju meluaskan kriteria pemberian geran padanan sehingga 5,000 ringgit ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan sehingga 6,000 ringgit, ketimbang 4,000 ringgit, bagi tempoh dua tahun.

 Permodalan Nasional Berhad akan melaksanakan Program Celik MADANI iaitu pembukaan akaun ASB bernilai 50 ringgit secara percuma kepada 100 ribu pelajar baharu yang melanjutkan pengajian peringkat tinggi.202. Belanjawan MADANI Ketiga kekal dengan komitmen meningkatkan mutu institusi pendidikan tinggi. Secara keseluruhan 635 juta ringgit disediakan untuk menambah baik prasarana, mengganti peralatan usang dan meluas capaian internet di semua universiti awam.203. UiTM disediakan peruntukan tambahan 20 juta ringgit bagi melahirkan lebih ramai jurutera E&E mengambil kira pentingnya memastikan penyertaan Bumiputera dalam bidang semikonduktor sebagai sektor berpertumbuhan tinggi negara.

IKHTIAR 40: KECERDASAN BUATAN (AI)

204. Kita melihat petanda positif seperti penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia dalam masa yang singkat. Ini memberikan harapan kepada kita bahawa ada petanda-petanda institusi pendidikan kita sudah menuju ke arah kecemerlangan.

205. Tahun hadapan, pendidikan berkaitan AI akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan 50 juta ringgit, meningkat ketimbang 20 juta tahun ini.

 Universiti Malaya menumpukan AI bidang perubatan bagi menangkis tantangan penyakit maut seperti kanser.

 Universiti Putra Malaysia akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama NACSA bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit.  Universiti Sains Malaysia menelusuri AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hub semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon.  Universiti Kebangsaan Malaysia menerajui AI alih bahasa dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

206. Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus menyuburkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta.

 Dana R&D ditingkatkan kepada 600 juta ringgit ketimbang 510 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 Kumpulan Wang Amanah Malaysia Science Endowment (MSE) turut disediakan dana 170 juta ringgit. Tabung ini akan dimanfaatkan untuk menyediakan geran padanan untuk badan swasta dan industri memacu program R&D.

 Program Malaysia Techlympics dengan peruntukan 10 juta ringgit terus diperhebat sebagai dorongan bagi melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang robotik dan teknologi AI.

IKHTIAR 41: PEMERKASAAN TVET

207. Selaras dengan Dasar TVET Negara, Kerajaan meningkatkan peruntukan TVET kepada 7.5 bilion ringgit ketimbang 6.8 bilion ringgit. Keutamaan diberikan untuk:

 meningkatkan kerjasama dengan industri;

 menyediakan peluang latihan untuk belia rentan termasuk dari kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli;

 membawa khidmat TVET bagi manfaat masyarakat.

208. Kerajaan mengalu-alukan kerjasama PROTON melalui PROTON Advanced Automotive Technology Institute di Melaka yang menyumbang kurikulum, bantuan tenaga pengajar serta keperluan latihan. Bagi menggalakkan kerjasama seumpama ini:

 geran padanan 50 juta ringgit disediakan untuk lebih banyak industri mengikuti Program “Anak Angkat ILKA”.

 GLC akan menerajui pembangunan latihan kemahiran baharu untuk industri masing-masing seperti TNB (peralihan tenaga) dan SD Guthrie (mekanisasi dan automasi perladangan).

 Syarikat akan diberikan potongan cukai atas peralatan dan mesin baharu yang disumbangkan kepada ILKA, politeknik atau kolej vokasional berdaftar mulai tahun taksiran 2025 hingga 2027.

 Majikan akan diberi kebenaran untuk menggunakan sehingga 50 peratus dana HRDCorp ketimbang 30 peratus pada masa ini bagi tujuan membiayai kemudahan latihan kemahiran termasuk kos peralatan dan ubah suai fasiliti latihan.

 Majikan yang mengambil OKU dan bekas banduan bekerja akan diberi insentif sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah seliaan PERKESO.

209. Peluang pendidikan dan latihan TVET akan dipertingkatkan:  Kolej vokasional dan sekolah menengah teknik terus menyediakan pendidikan kepada 77 ribu orang pelajar dengan peruntukan 1.2 bilion ringgit.

 PTPK menyediakan pembiayaan sehingga 500 juta ringgit untuk manfaat lebih 20 ribu pelatih termasuk 100 juta ringgit khusus untuk bidang keutamaan NIMP seperti MRO, EV, aeroangkasa, AI.

 HRDCorp akan memanfaat dana 3 bilion ringgit untuk menawarkan 3 juta peluang latihan. HRDCorp juga menguntukkan semula dana khas 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI khusus untuk golongan rentan. Majikan turut dibenarkan menggunakan levi untuk membiayai elaun sehingga 1,000 ringgit selama setahun bagi graduan melalui HRD Corp termasuk menjalani latihan kemahiran.

 Khazanah menyediakan 200 juta ringgit melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bagi membekalkan 11 ribu bakat tempatan kepada sektor utama seperti semikonduktor.

 GiatMARA dan kolej komuniti disediakan 55 juta ringgit bagi 5 tahun untuk mengupaya 10 ribu anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran.

 GiatMARA juga akan menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 pekerja gig.

 Kerajaan mencadangkan potongan dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Program Latihan Berstruktur (MySIP) di bawah Talent Corp turut diperluas kepada pelajar yang mengikuti latihan berstruktur yang dijalankan oleh badan kawal selia industri dan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.

 PERKESO akan membina sebuah Pusat Rehabilitasi yang serba canggih di Terengganu dengan kos hampir 600 juta ringgit. Pusat ini akan menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh meliputi rawatan pemulihan sehingga program kembali bekerja, sekali gus mengukuhkan usaha mewujudkan sumber manusia yang lebih berdaya tahan dan inklusif.

IKHTIAR 42: PENJAGAAN KESIHATAN

210. Tanggungjawab pemimpin dan Kerajaan – seperti yang terungkap dalam Thirukural - உறுபசியும் ஓவாப்பிணியும் செறுபகையும் செரா தியல்வது நாடு - adalah untuk membangun sebuah negara yang bukan sahaja komited mengangkat martabat kehidupan rakyat yang miskin dan daif, bahkan untuk membasmi wabak penyakit dan musuh yang membinasakan. (Thirukural: 734)

211. Kehidupan pascanormal menuntut sebuah tatanan penjagaan kesihatan yang lebih rumit serta pemaduan utuh badan kesihatan awam dan swasta selari dengan pertimbangan yang ditaakul dalam Kertas Putih Kesihatan negara.

212. Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu 45.3 bilion ringgit ketimbang 41.2 bilion ringgit.

 Selenggara dan Naik Taraf Prasarana Kesihatan

213. Keutamaan Kerajaan adalah untuk menyediakan kemudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat. Sejumlah 1.35 bilion ringgit disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.

214. Kerajaan juga terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara. Di bawah MADANI, peruntukan bagi maksud ini ditingkatkan setiap tahun iaitu 100 juta ringgit (2023), 150 juta ringgit (2024) dan 300 juta ringgit untuk tahun hadapan.

 War on Sugar

215. Malaysia antara paling obes di rantau Asia Tenggara. Dan salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit ialah gula.

216. Bagi menyokong gerakan War on Sugar, Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.

217. Tambahan hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya meliputi:

 Penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes.

 Penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain FELDA yang turut menambah baik pusat dialisis mereka.

218. Sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, 27 juta ringgit disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.

219. Kerajaan bercadang memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri.

 Perkhidmatan Kesihatan Awam Berdaya Tahan

220. Sistem dan struktur perkhidmatan kesihatan awam perlu diperkasa supaya lebih berdaya tahan, mampan dan mandiri.

 Ikhtiar Rakan KKM akan diperkenalkan melibatkan kerjasama GLIC bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit. Pelaksanaan ini akan bermula di lima hospital KKM yang mempunyai permintaan tinggi serta infrastruktur sesuai seperti Hospital Cyberjaya dengan peruntukan awal 25 juta ringgit.

 Kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit KKM melibatkan perkhidmatan seperti kardiologi, radiologi dan nefrologi. Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan elemen persaingan mendapatkan harga terbaik buat Kerajaan. Penyumberluaran ini turut diteruskan dengan Institut Jantung Negara melibatkan pesakit jantung dari kalangan pesara Kerajaan.

 Kerajaan akan melaksanakan dasar offtake atau perolehan khusus daripada syarikat yang membuat pelaburan domestik baharu untuk mengeluarkan produk farmaseutikal dan peranti perubatan kritikal. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong keterjaminan bekalan ubat dari sumber tempatan, malah berupaya mengurangkan kos dalam jangka masa sederhana.

 Pusat Kecemerlangan Kesihatan

221. Perlu diiktiraf, pakar-pakar kesihatan terbaik negara yang berkhidmat di hospital Kerajaan termasuk di Pusat-pusat Kecemerlangan seperti Hospital Serdang untuk rawatan Jantung; Hospital Selayang untuk Transplant & Hepatobiliari; Institut Kanser Negara, Putrajaya; Institut Endokrin Putrajaya; Institut Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Wanita dan Kanakkanak, Kuala Lumpur.

222. Bagi mengukuhkan Pusat-pusat Kecemerlangan yang telah dikenal pasti, Kerajaan menyediakan peruntukan 100 juta ringgit 109 termasuk untuk perolehan peralatan terkini. Di samping pusat kecemerlangan sedia ada, Kerajaan juga sedang melaksanakan kerjakerja awalan bagi menubuhkan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu.

 Penyakit Jarang Jumpa

223. Kerajaan telah menubuhkan sebuah Tabung Penyakit Jarang Jumpa. Tahun hadapan:  Peruntukan bagi menampung kos perubatan penyakit jarang jumpa ditingkatkan kepada 25 juta ringgit.  Skim Mysalam juga diperluas untuk turut meliputi penyakit jarang jumpa dan Rheumatoid Arthritis.  Sumbangan ke dalam Tabung Penyakit Jarang Jumpa juga layak mendapat potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar.

IKHTIAR 43: RUMAH KEDIAMAN RAKYAT

224. Kerajaan MADANI meletakkan keutamaan memastikan perumahan mampu milik untuk rakyat:

 Hampir 900 juta ringgit bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang 110 Perai Tengah. 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025 yang bakal memanfaat hampir 17,500 penghuni baharu.

 SJKP telah luluskan 12.8 bilion ringgit Jaminan Kerajaan kepada lebih 57 ribu pembeli rumah pertama. Ini termasuk Saudara Venukannan Balakrishnan, seorang pemandu e-hailing yang tidak punyai pendapatan tetap. Melalui SJKP, beliau mengecap impian memiliki rumah sendiri di Rawang bersama isteri tersayang. Kerajaan akan terus menjamin pembiayaan perumahan sehingga 10 bilion ringgit bagi manfaat 20 ribu pembeli rumah.  Kerajaan bersetuju menyeragamkan dan menaikkan bantuan bina baharu rumah rakyat antaranya penghuni PPRT, nelayan, Kampung Baru Cina, kepada maksimum 90 ribu ringgit. Kadar siling baik pulih rumah rakyat juga ditingkatkan kepada maksimum 20 ribu ringgit.

225. Perumahan PPR dilaksanakan puluhan tahun untuk manfaat rakyat susah. Kerajaan terus menggembleng usaha memastikan persekitaran PPR dan komuniti perumahan yang lebih manusiawi.

 Rumah strata kos rendah dan sederhana awam diselenggara termasuk mengganti lif-lif usang dengan peruntukan hampir 200 juta ringgit.

 48 buah Taman Awam MADANI dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir 100 juta ringgit.

 Kampung Baru Cina diperuntukkan 84 juta ringgit antaranya untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti. KPKT juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India.

 Program Anak Kita terus diperkasa dengan peruntukan 30 juta ringgit sebagai ikhtiar bersepadu menangani isu keciciran 80 ribu anak-anak. Yayasan Hasanah juga menelusuri isu keciciran termasuk menarik minat anak-anak menceburi bidang TVET.

 Usaha menangani isu malpemakanan dalam kalangan anak-anak di PPR Lembah Klang diperhebat melalui projek rintis yang turut dibiayai bersama Pertubuhan Kanak-kanak Sedunia dengan peruntukan 5 juta ringgit.  Aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Dapur Digital oleh Pepper Labs dipergiat dengan peruntukan 5 juta ringgit.

 180 kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan 45 butang cemas akan dipasang di Putrajaya dan Labuan bagi meningkatkan tahap keselamatan.

 Kerajaan akan membentuk sebuah rangka kerja pemerkasaan komuniti bagi memperkukuh peranan persatuan penduduk sebagai pemudah cara di peringkat komuniti. Persatuan penduduk diberi latihan kepimpinan sewajarnya oleh Yayasan Sime Darby, NGO dan agensi Kerajaan berkaitan.

226. Bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama, Kerajaan bercadang memberikan pelepasan cukai individu sehingga 7,000 ringgit ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan seperti berikut:

 Pelepasan cukai sehingga 7,000 ringgit diberikan bagi rumah kediaman berharga sehingga 500 ribu ringgit.

 Pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit diberikan bagi rumah kediaman berharga melebihi 500 ribu hingga 750 ribu ringgit. Pelepasan ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

IKHTIAR 44: PRASARANA ASAS DESA

227. Prasarana asas di kawasan kampung, desa dan pedalaman terus ditumpukan bagi memberi keselesaan kepada rakyat dengan peruntukan hampir 2.9 bilion ringgit.

 Jalan-jalan kampung akan dibina dan dibaiki seperti di Kota Belud, Sabah; Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Lipis, Pahang dengan peruntukan hampir 1.8 bilion ringgit;

 Projek bina dan baiki jambatan serta pemasangan dan selenggara lampu jalan kampung diteruskan melibatkan peruntukan lebih 350 juta ringgit.

 Bekalan air bersih dan elektrik di Sabah dan Sarawak meliputi 5,150 buah rumah dengan peruntukan hampir 500 juta ringgit.

 Kerajaan juga menyokong kerjasama universiti awam dalam menambah baik prasarana kampung seperti kejayaan projek pemasangan solar di Pulau Tuba oleh Universiti Malaysia Perlis.

IKHTIAR 45: KETERSAMBUNGAN DIGITAL

228. Digital Nasional Berhad (DNB) telah diambil alih oleh entiti swasta susulan liputan 5G yang melepasi 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia. Melangkah ke hadapan:

 Kerajaan akan mengumumkan rangkaian kedua 5G sebagai usaha meningkatkan daya saing bidang ICT.

 Kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan 5G terutamanya dalam memacu kes-kes penggunaan 5G oleh industri menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

229. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dengan dana 120 juta ringgit bersetuju untuk menambah baik capaian internet di universiti awam, sekolah, kem-kem tentera dan institusi MARA.

IKHTIAR 46: PENGANGKUTAN AWAM

230. Kerajaan akan terus pastikan sistem pengangkutan awam yang cekap, berpatutan dan selesa untuk manfaat semua rakyat.

 Perkhidmatan Udara Luar Bandar Sabah Sarawak diteruskan dengan peruntukan lebih 200 juta ringgit. Ini termasuk membuka laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Layang-layang dan Miri ke Long Banga.

 Prasarana pula telah membuat perolehan 250 bas elektrik tahun ini. Kementerian Pengangkutan juga telah memulakan perolehan 12 gerabak tren penumpang KTMB bagi keselesaan 115 penumpang. Manakala 50 gerabak tren lagi akan diperoleh secara pajakan melalui kerjasama Kerajaan-Kerajaan dengan negara China.

 Pas Bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180 ribu pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana.

 Perkhidmatan bas henti-henti terus disokong dengan peruntukan lebih 270 juta ringgit dan setiap bandar utama di semua negeri akan dipastikan dapat menerima manfaat.

 Capaian bas ditingkatkan di Lembah Klang. 10 juta ringgit disediakan bagi menambah lorong bas khas melibatkan Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer.

 100 hentian bas di Lembah Klang akan ditambah baik melibatkan kerjasama GLC dan badan swasta bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna perkhidmatan bas awam.

 Prasarana akan menyediakan kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala. Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Melati.

 Kerajaan juga bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.

231. Penyelenggaraan jalan diberi keutamaan bagi mengurangkan keskes kemalangan akibat keadaan jalan yang tidak selamat.  2.8 bilion ringgit disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan: 1 bilion ringgit dikhaskan untuk segera membaiki jalan bukan utama seperti jalan sekunder, jalan FELDA dan jalan industri serta jalan yang rosak akibat banjir. 450 juta ringgit juga dikhaskan untuk kontraktor G1-G4, meningkat ketimbang 300 juta tahun ini.

 Untuk jalan negeri, 5.5 bilion ringgit dana MARRIS disediakan. Kerja pembersihan jalan juga ditambah baik meliputi longkang, saliran air, bahu jalan dan persekitaran sehingga selamat digunakan. Kerajaan telah meluluskan perolehan sebuah jambatan sementara Bailey kepada semua kerajaan negeri menggunakan peruntukan MARRIS tahun 2025 sebagai persediaan awal kerajaan negeri bagi menangani masalah jalan terputus akibat bencana banjir.

 178 juta ringgit bagi memasang lampu-lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan seluruh negara.  30 juta ringgit disediakan untuk terus memanfaat peranan 115 Jurutera Daerah sebagai barisan hadapan dalam menyegerakan penurapan Jalan Persekutuan yang berlubang.

 Kerajaan bersetuju memasang High Speed Weight in Motion di lokasi-lokasi terpilih bagi mengekang nahas jalan raya disebabkan kenderaan lebih muatan.

IKHTIAR 47: GOLONGAN WANITA

232. Purata wanita memegang jawatan lembaga pengarah dalam 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah pada kadar 32.2 peratus setakat 10 Oktober. Kendatipun sasaran 30 peratus penglibatan wanita telah kita capai, ini masih belum dipenuhi oleh 39 syarikat dalam lembaga pengarah mereka. Kerajaan menyeru supaya sasaran ini dicapai semua syarikat sebelum akhir 2027.

233. Kerajaan akan terus menggalakkan wanita kembali bekerja. Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperhebat di bawah Kementerian Wanita sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.

 Program Returnship akan diperintiskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan. Program anjuran BNM dan SC ini akan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja.

 Kerajaan bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan, kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.

 Sejumlah 470 juta ringgit dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, BSN, Bank Rakyat dan MARA dalam menyokong PMKS wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.

234. Terkait pembudayaan kerja dan kehidupan yang seimbang di samping menyokong agenda ekonomi penjagaan kepada pekerja, Kerajaan mencadangkan galakan cukai kepada majikan seperti berikut:  Potongan cukai tambahan 50 peratus ke atas perbelanjaan kos pembangunan kapasiti dan perolehan perisian yang ditanggung oleh majikan dalam melaksanakan pengaturan kerja fleksibel; dan 119  Potongan cukai tambahan 50 peratus bagi kemudahan cuti penjagaan tambahan berbayar oleh majikan sehingga 12 bulan kepada pekerja yang menjaga anak atau ahli keluarga yang sakit atau kurang upaya.

IKHTIAR 48: ANAK MUDA

235. Program Latihan Khidmat Negara 3.0 akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu melibatkan peruntukan 50 juta ringgit kepada Kementerian Pertahanan bagi lepasan kadet sekolah. PDRM dan agensi beruniform lain turut terlibat menjayakan PLKN 3.0 menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.

236. Program Rakan Muda diperuntukkan 25 juta ringgit untuk terus menjadi wadah pembinaan potensi dan identiti belia berjati diri.

237. Skim Step Up Financing diperkenalkan di bawah SJKP sebagai jaminan Kerajaan sehingga 5 bilion ringgit khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama. Skim ini menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh 5 tahun pertama.

238. Kerajaan melalui TalentCorp menyediakan Geran Padanan 10 juta ringgit di bawah Program Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan 120 Sederhana (LiKES) bagi membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang STEM menerusi latihan industri.

239. Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) disediakan 20 juta ringgit untuk terus menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.

IKHTIAR 49: KANAK-KANAK

240. Bayi baru lahir berisiko tinggi dijangkiti Hepatitis B. Ini perlu segera dibendung. Kerajaan menyediakan 5 juta ringgit untuk melaksanakan Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan. Usaha ini bagi memulakan saringan Hepatitis B secara universal kepada 420 ribu ibu hamil untuk pengesanan dan rawatan awal penyakit dalam usaha melahirkan generasi yang sihat dan produktif.

241. Tahun ini, 122 ribu murid tahun 1 masih belum menguasai literasi dan numerasi. Pendidikan awal mustahak kerana tempoh ini tumbesaran otak berkembang paling pesat seraya perlu dilentur dan dididik sejak awal. Tahun hadapan, Kerajaan akan membina prasekolah baharu untuk pendidikan awal kanak-kanak antaranya:  34 prasekolah baharu antaranya di SK Pakatan Jaya, Kinta Utara.

Sumber dari Sinar Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url