Dr Rohayu: Ini kerana apabila mayat tiba di Hospital Sungai Buloh ia dikategorikan sebagai kes mati biasa, bedah siasat akan dilakukan oleh pegawai perubatan forensik. Bagaimanapun di Hospital Sungai Buloh, sebelum bedah siasat dilakukan, pegawai perubatan akan merujuk kepada pakar bertugas, pada hari kejadian saya adalah pakar bertugas atas panggilan (on call). Pagi itu (7 Disember) pegawai perubatan saya membentangkan sejarah kes dan diberitahu si mati adalah kanak-kanak autistik. Secara saintifik, kanak-kanak autistik mempunyai kesukaan tertentu, apabila pegawai perubatan mengatakan mangsa ini mati lemas, maka saya bertanya adakah kanak-kanak ini jenis suka air, apa kesukaan dia kerana jika suka air dia akan pergi ke tempat ada air dan bermain, apabila soalan ini tidak dapat dijawab, saya memberitahu pegawai perubatan supaya menghubungi polis untuk saya pergi ke tempat kejadian, jadi bedah siasat tidak dilakukan sehingga lawatan ke tempat kejadian.
Dr Rohayu berkata, selepas meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan, beliau mendapati kecederaan kanak-kanak itu tidak selari dengan keadaan sekitar lokasi kejadian mangsa ditemui.
"Di situlah saya simpulkan bahawa, kes ini bukan mati kerana lemas, kerana kesan guntingan di telinga, kesan luka tajam di lengan tidak konsisten dengan tempat kejadian kerana lokasi itu adalah kawasan sungai, terdapat pohon kecil dan besar.
"Jika si mati terjatuh, luka tumpul boleh kelihatan pada badan mangsa, sepatutnya ada pada anggota tubuh yang terdedah sahaja, jadi lokasi kejadian itu tidak boleh hasilkan kesan jerutan," katanya.
Raja Zaizul: Boleh doktor nyatakan ketika membuat lawatan ke tempat kejadian?
Dr Rohayu: Pegawai penyiasat ketika itu ASP Mohd Nasir Mustapha membawa saya dan pegawai perubatan ke kawasan perumahan flat, di situ saya ditunjukkan taman permainan di mana si mati bermain, dan seterusnya ditunjukkan lorong mana dilalui, berdasarkan kepada pemerhatian terdapat dua lorong boleh dilalui apabila kanak-kanak ini selesai bermain, tetapi lorong itu kerap dilalui berbanding lagi satu. Saya tengok lukisan mural di lorong lagi satu menunjukkan sifat kanak-kanak ini berdasarkan polis, kesukaan dia bermain di taman permainan dan melalui lorong banyak lukisan dan mural, daripada situ polis menunjukkan bahagian tangga kanak-kanak itu disedari hilang.
Raja Zaizul: Kemudian?
Dr Rohayu: Daripada kawasan tangga itu kami berjalan sehingga ke sungai di mana mangsa ditemui, apabila saya melihat laluan ke situ terdapat cerun bukit, keadaan ini adalah laluan kompleks untuk kanak-kanak autistik, dan kesukaannya bukan air dan mangsa ini tidak selalu ke sungai itu.
Selepas melihat tempat kejadian maka saya kata kes itu saya akan ambil, lawatan ini penting untuk saya 'corroborate' (menyokong) kecederaan mangsa dengan tempat kejadian.
Semasa ditanya berhubung tempoh masa kematian Zayn Rayyan sehingga mayat mengalami pembusukan, Dr Rohayu berkata, memandangkan mayat sudah melalui proses abdomen mengembung, maka dia menjangkakan kematian kanak-kanak itu melebihi 24 jam, paling tidak 48 jam tetapi kurang dari tujuh hari.
"Anggaran waktu kematian mangsa pada 30 November hingga 5 Disember (2023), ini kerana proses pembusukan biasanya bermula selepas 24 jam dalam keadaan biasa, tetapi sekiranya terdapat luka-luka dan suhu yang tinggi serta mayat dibiarkan di luar dan terdedah kepada serangga seperti lalat maka proses pembusukan boleh berlaku lebih cepat daripada 24 jam," katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama di sini antara jam 12 tengahari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh Perbicaraan bermula 10..00 pagi.