Harga emas terus melonjak, lebihi AS$3,000 satu aun

 


Harga emas terus mencatat kenaikan ketara, melepasi paras AS$3,000 bagi setiap auns troy berikutan permintaan tinggi sebagai aset lindung nilai terhadap ketidaktentuan ekonomi global.

Pada 30 Oktober 2024, harga emas mencecah paras tertinggi AS$2,787.61 setiap auns troy sebelum ditutup pada AS$2,693.23 setiap auns troy pada Januari 2025. Kini, setakat 20 Mac 2025, harga emas telah meningkat kepada AS$3,036.74 setiap auns troy, menurut data goldprice.org. Persoalannya, sejauh mana harga emas akan terus melonjak?

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ketidaktentuan global menjadi faktor utama yang menyokong kenaikan harga emas.

"Apabila kebimbangan melanda ekonomi global, permintaan terhadap emas meningkat. Selain menjadi aset pelaburan, emas juga berfungsi sebagai lindung nilai terhadap inflasi, penyusutan mata wang dan ketidakstabilan geopolitik," katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan bahawa bank-bank pusat di seluruh dunia aktif menambah pegangan emas mereka, meningkatkan bahagian permintaan global daripada hanya 1.8 peratus pada 2010 kepada 21 peratus pada 2024.

"Peningkatan pesat ini – berkembang pada kadar tahunan 20.2 peratus – telah mendorong harga emas lebih tinggi.

"Berdasarkan trend ini, harga emas dijangka kekal kukuh dalam jangka panjang. Namun, seperti mana-mana kelas aset, ia tetap tertakluk kepada turun naik harga bergantung kepada perubahan sentimen pasaran dan tahap risiko yang sanggup diambil pelabur," katanya.

Dalam pada itu, Indeks Ketidaktentuan Dasar Ekonomi Global melonjak kepada 339.36 mata pada November 2024, mencerminkan kebimbangan terhadap dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), ketegangan perdagangan serta ketidakstabilan politik di bawah pentadbiran Donald Trump bagi penggal kedua.

"Lazimnya, harga emas akan meningkat apabila ketidaktentuan ekonomi bertambah," katanya.

Komoditi Lain: Pergerakan Ketara tetapi Ketinggalan Berbanding Emas

Selain emas, beberapa komoditi lain turut menunjukkan pergerakan harga yang ketara.

Sebagai contoh, harga koko melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 50 tahun pada 2024, mencecah US$12,906 satu tan pada Disember 2024 berikutan cuaca buruk dan kekurangan pelaburan di kawasan pengeluaran utama, menyebabkan penurunan hasil dan kekangan bekalan. Setakat 20 Mac 2025, harga koko berada pada AS$7,746.3 satu tan, menurut tradingeconomics.com.

Harga minyak mentah Brent pula naik 0.2 peratus kepada AS$71.78 setong pada 20 Mac 2025, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah serta langkah rangsangan ekonomi oleh China.

Di samping itu, harga kopi turut mengalami turun naik ketara, dengan harga biji kopi Arabica melonjak hampir AS$3.50 satu paun pada Disember 2024 – paras tertinggi sejak 1977, mencatat kenaikan mengejutkan sebanyak 83 peratus sepanjang tahun itu.

Dalam sektor minyak sawit, selepas mencapai paras tertinggi RM7,268 satu tan pada Mac 2022, harga minyak sawit mengalami penurunan sebanyak RM246 satu tan atau 5.54 peratus sejak awal 2025 akibat pelarasan penawaran dan permintaan global serta perubahan dasar perdagangan.

Namun, tiada komoditi yang mencatatkan lonjakan harga setara dengan emas.

Impak Kenaikan Harga Emas terhadap Malaysia

Bagi Malaysia, kenaikan harga emas memberi kesan yang berbeza kepada pelbagai pihak.

Dari segi positif, populariti pelaburan emas semakin meningkat, mendorong lebih ramai rakyat Malaysia mempelbagaikan portfolio kewangan mereka.

"Namun, harga emas yang tinggi menjadikannya kurang mampu milik bagi kebanyakan pengguna. Ini boleh mendorong peralihan kepada pelaburan alternatif atau pilihan barang kemas yang lebih murah," kata Mohd Afzanizam.

Menurutnya, peniaga emas kini bersaing dalam persekitaran harga yang tidak menentu. Misalnya, Kuala Pilah, Negeri Sembilan telah menjadi pusat utama pembelian emas dengan harga kompetitif yang menarik pembeli dari seluruh negara.

Sementara itu, pelabur emas berdepan dilema sama ada untuk menjual sekarang atau menunggu harga yang lebih tinggi.

"Ia bergantung kepada matlamat kewangan masing-masing. Jika tujuan pelaburan adalah untuk persaraan, menyimpan emas mungkin lebih menguntungkan. Namun, bagi mereka yang terlibat dalam jual beli emas, faktor masa sangat penting," katanya.

Industri Barang Kemas Malaysia Berdepan Cabaran

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Wira Louis Ng, berkata kenaikan harga emas memberi kesan bercampur kepada industri barang kemas tempatan.

"Di peringkat domestik, pengguna lebih berhati-hati dalam membeli barang kemas, terutamanya ketika musim perkahwinan akibat kos yang tinggi.

"Namun, sektor eksport mendapat manfaat ketara, dengan nilai eksport barang kemas emas dianggarkan mencecah RM7.7 bilion pada 2024, dipacu permintaan kukuh dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Hong Kong, Jepun dan Australia," katanya kepada Bernama.

Ng berkata peniaga barang kemas tempatan menyesuaikan strategi harga mereka dengan menawarkan reka bentuk ringan yang menggunakan emas lebih sedikit bagi memastikan harga lebih mampu milik.

"Ramai peniaga juga menggabungkan bahan alternatif seperti berlian buatan makmal yang menawarkan kualiti tinggi pada kos lebih rendah.

"Terdapat juga peningkatan trend dalam reka bentuk minimalis serta penggunaan bahan seperti perak sterling dan saduran emas bagi memenuhi permintaan pengguna yang mementingkan harga," katanya.

Menurutnya, lonjakan harga emas turut meningkatkan permintaan terhadap jongkong emas bersaiz kecil seperti 0.25 gram, 0.5 gram dan 1 gram bagi memenuhi keperluan pelabur kali pertama atau mereka yang mencari alternatif lebih berpatutan.

Prospek: Mungkinkah Emas Mencecah AS$5,000?

Sesetengah spekulator meramalkan harga emas boleh melonjak sehingga AS$5,000 setiap auns troy pada akhir tahun, namun Mohd Afzanizam berpendapat sasaran tersebut mungkin mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk direalisasikan.

"Sasaran yang lebih realistik adalah antara AS$3,000 hingga AS$3,500 setiap auns troy dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Secara jujurnya, sukar untuk meramalkan pergerakan harga emas kerana ia sering mencatat rekod tertinggi baharu," katanya.

Sementara itu, Ng berkata industri barang kemas Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan memberi tumpuan kepada inovasi dan kepelbagaian produk.

"Pemain industri kini menggabungkan bahan alternatif dan meneroka pasaran baharu untuk terus berdaya saing dalam landskap harga emas yang semakin meningkat," katanya.

– BERNAMA

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url