Sistem tol tanpa henti ANPR akan dilaksanakan di Lebuhraya PLUS bermula Oktober - Nanta
Sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang disokong platform digital bersepadu, akan dilaksanakan secara berperingkat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula Oktober ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sebagai projek rintis, ia membabitkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Pulau Pinang.
Beliau berkata, sistem ANPR adalah langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam tempoh dua tahun akan datang, bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol di lebuh raya utama di negara ini.
"Sistem ini membolehkan pengguna melalui mana-mana lorong sedia ada tanpa perlu berhenti, sekali gus menjanjikan perjalanan lebih lancar dan fleksibel.
Hari ini saya sendiri sudah mencuba sistem ini di plaza tol dan ia terbukti jauh lebih pantas. Tiada caj dikenakan untuk pendaftaran dan pengguna bebas memilih mana-mana lorong tol," katanya kepada media selepas demonstrasi pelaksanaan sistem ANPR tanpa palang di Persada PLUS


