Polis nafi pembabitan VVIP dalam kes Zara Qairina
Polis menafikan pembabitan orang kenamaan (VVIP) dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata polis mengesahkan tiada pembabitan VVIP yang dikesan dalam kes terbabit.
Ditanya mengenai dakwaan guru besar dan guru disiplin menyembunyikan kes itu, M Kumar berkata, dakwaan berkenaan sedang disiasat oleh pihaknya.
"Setakat ini, seramai 82 saksi sudah dirakam percakapan dan antara mereka ada yang sudah dipanggil semula bagi menyambung rakam percakapan," katanya pada sidang media berkenaan kes itu di Bukit Aman.
Sebelum ini, tular di pelbagai platform media sosial mengenai dakwaan kononnya ada ahli keluarga orang kenamaan membabitkan menteri dan pemimpin politik di Sabah yang dikaitkan dengan kes itu.
Zara Qairina, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital pada keesokannya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Terdahulu, M Kumar berkata, polis menjangka permohonan inkues berhubung kematian Zara Qairina dapat dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan.
Beliau berkata, proses itu perlu melalui saluran undang-undang yang ditetapkan sebelum dibawa ke mahkamah.
Katanya, pihak polis sedang melengkapkan semua dokumen dan maklumat berkaitan bagi memastikan permohonan itu lengkap sebelum diserahkan kepada pihak terbabit.
"Jika semua berjalan lancar, permohonan itu dijangka dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan," katanya.
Sumber - Berita Harian


