Jangan risau hantar anak ke sekolah asrama, faktor keselamatan diutamakan - Fadhlina
Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa semua sekolah asrama kendalian institusi itu masih selamat dan tidak perlu bimbang menghantar anak mereka.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sentiasa mempertingkatkan keselamatan dan menambah baik semua aspek khususnya bagi menjadikan sekolah selamat, sekali gus memberi impak kepada pendidikan negara.
Katanya, sekolah asrama khususnya sekolah berasrama penuh (SBP) masih menjadi pilihan utama ibu bapa ketika ini.
"Jadi, dalam konteks ini (ibu bapa rasa tidak selamat hantar anak ke sekolah asrama), saya beri jaminan bahawa sekolah (kendalian KPM) masih selamat dan kita sentiasa mempertingkatkan soal keselamatan, menambah baik semua aspek khususnya untuk memastikan sekolah jadi tempat selamat serta dapat memberikan impak kepada pendidikan anak kita.
"Oleh itu, (ibu bapa) jangan risau (kerana) kita sentiasa tambah baik apa saja yang dilihat sebagai langkah (keselamatan) untuk terus memperkukuh ekosistem sekolah asrama kita," katanya diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini fobia menghantar anak masing-masing ke sekolah berasrama.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui hadir Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di Sekolah Sinar Harapan, Bukit Mertajam
Kelmarin Bung Mokhtar ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini fobia menghantar anak mereka ke sekolah berasrama.
Tanpa merujuk secara spesifik mana-mana kes, kenyataan Bung Moktar itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, di Papar, Sabah yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes buli.
Bung Mokhtar dilaporkan berkata, kes buli di sekolah semakin berleluasa lebih-lebih lagi di sekolah asrama, tidak kira sama ada di sekolah agama, vokasional atau sekolah kebangsaan.
- BERITA HARIAN


