'Cerita Kak M bermula sejak Mei, kenapa ibu Zara Qairina tak buat laporan?' - Ketua Warden

 


Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mempersoalkan tindakan ibu arwah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, yang didakwa berdiam diri walaupun anaknya dikatakan pernah mengadu mengenai masalah dihadapi pelajar itu di asrama.

Azhari Abd Sagap, 31, yang juga guru Bahasa Arab, membangkitkan persoalan berkenaan ketika memberi keterangan sebagai saksi kelapan pada hari kesembilan prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

"Cerita mengenai 'Kak M' ini bermula sejak Mei lalu, mengikut hasil siasatan pihak sekolah… kenapa ibu Zara Qairina tidak membuat sebarang laporan kepada pihak sekolah? Itu yang menjadi persoalan saya.

"Saya berasa sangat terkesan dengan kehilangan pelajar itu… sebab itu saya ambil tahu semuanya. Kalau tiada aduan daripada Zara Qairina sendiri, sepatutnya ada aduan daripada ibunya tetapi langsung tidak ada," katanya dengan nada kecewa.

Menjawab soalan peguam, Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes berkait Zara Qairina, Azhari berkata, ibu mangsa juga tidak pernah menceritakan sebarang insiden buli kepadanya ketika mereka bertemu di Unit Kecemasan hospital.

"Ya, tidak ada. Kami tahu (mengenai buli) pun selepas ibu mangsa membuat hantaran dalam TikTok," katanya.

Azhari yang meluahkan perasaan sedih kerana secara peribadi mengenali Zara Qairina sebagai pelajarnya, turut mengimbau pesanan pernah disampaikan beliau dalam kelas Bahasa Arab yang dihadiri arwah.

"Saya ajar Zara Qairina… saya pernah berpesan dalam kelas, kalau kamu (semua pelajar perempuan) tidak mahu menutup aurat dengan baik atau tidak mahu memakai 'handsock' (stoking tangan), kamu humban saja bapa kamu dengan batu.

"Selepas itu, Zara Qairina mula memakai 'handsock'. Saya masih ingat 'handsock' putih yang dipakainya.

"Saya tidak tahu apa yang sebenarnya dialami mangsa. Saya sendiri tertanya-tanya dan mahu mencari keadilan," katanya.

Warden menangis maklumkan layanan tidak adil diterima walaupun berusaha selamatkan Zara

Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha dan kakitangannya tidak pernah cuba menyembunyikan kebenaran di sebalik kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Ketua warden sekolah itu, Azhari Abd Sagap, yang mengalirkan air mata ketika inkues kematian Zara, berkata walaupun beliau berusaha menyelamatkan pelajar berusia 13 tahun itu pada 16 Julai lalu, menemani Zara dan ibunya di hospital, hadir ke pengebumiannya di Sipitang dan memberikan kerjasama penuh kepada polis, beliau dan pihak sekolah tetap menerima kecaman.

"Saya tidak pernah cuba melindungi pembuli atau pembunuh Zara. Kalau saya mahu lindungi mereka, saya takkan beritahu polis apa yang berlaku pada malam 15 Julai lalu. Sayalah orang yang berurusan secara langsung dengan polis.

"Apa saja yang polis minta, siapa yang mereka mahu saya bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar… saya kumpulkan bukti dan serahkan rakaman audio Kak M. Sayalah orang yang kenal pasti dia kepada polis.

"Ketika polis siasat sama ada rakaman itu tulen atau tidak, saya juga yang jelaskan kepada mereka," katanya ketika disoal peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah di hadapan koroner Amir Shah Amiri Hassan

Abdul Fikry yang mewakili seorang daripada lima remaja yang didakwa di mahkamah kerana membuli Zara, bertanya mengenai kecaman diterima Azhari dan sekolah selepas Zara disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Warden berusia 31 tahun itu, yang juga mengajar subjek Arab dan Pendidikan Islam, berkata Kak M adalah pelajar yang baik dan bukan individu yang wajahnya tular di media sosial.

"Bagi saya, tuduhan terhadap pelajar itu sangat zalim. Hanya kerana dia orang pertama jumpa Zara, orang terus menuduh dia. Kalau bukan kerana dia, apa yang akan jadi, mungkin Zara kehilangan nyawa di situ jika dia tiada. Tetapi inilah balasan yang dia terima.

"Saya pun sama, saya cuba selamatkan Zara pagi itu, bawa dia ke hospital, telefon 991 untuk ambulans dan saya tunggu sampai petang tanpa sempat mandi. Adakah ini yang saya layak terima? Patutkah sekolah saya tanggung semua ini," katanya.

Sumber - Berita Harian





Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url