Inkues kematian Zara Qairina: `Badan mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh
Jenazah arwah Zara Qairina Mahathir mengalami tahap pereputan sederhana hingga lanjut selepas dikeluarkan semula dari kuburnya untuk proses bedah siasat pada 9 Ogos lalu.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, Dr Jessie Hiu berkata tahap pereputan tubuh adalah konsisten dengan tempoh pengebumian dalam tanah.
Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik.
"Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan," katanya ketika membacakan keterangan bertulis di Mahkamah Koroner,
Dr Jessie berkata penggalian semula jenazah arwah dijalankan pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang.
Beliau berkata, pengecaman jenazah disahkan oleh ibunya, Noraidah Lamat selepas proses penggalian semula dan sebelum pemeriksaan bedah siasat di HQE.


