Kronologi isu tanah FELDA, FGV dan Kerajaan Terengganu

 


 

 

Kemelut isu tanah Kerajaan Terengganu dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bermula apabila kerajaan negeri menganugerahkan tanah seluas 51,434 hektar kepada agensi berkenaan.

Pengerusi Jawankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim, berkata penganugerahan itu ada syarat dan komitmen yang perlu dipatuhi oleh FELDA iaitu memasukkan peneroka ke kawasan tanah itu sebagai Tanah Rancangan FELDA.

Katanya, jika tidak dimasukkan peneroka maka perlu ada perkongsian keuntungan dengan kerajaan negeri atau menyumbang kepada Program Basmi Kemiskinan.

"Jumlah keluasan yang dimajukan dijadikan Tanah Rancangan FELDA dengan dimasukkan peneroka adalah 33,802.86 hektar, manakala tanah dimajukan sebagai ladang komersial tanpa peneroka adalah 14,791.14 hektar dan tanah yang tidak dimasukkan peneroka yang tidak dimajukan seluas 2,840 hektar dengan nilai keluasan tanah 51,434 hektar.

"Tanah yang dimasukkan peneroka membentuk 21 Tanah Rancangan FELDA di Terengganu dan hampir keseluruhannya selesai diberikan hak milik kepada peneroka sama ada kawasan ladang atau tapak rumah dan ia tidak berbangkit lagi," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Azman menjelaskan pemberian geran hak milik kepada FELDA bagi tanah yang tidak dimasukkan peneroka tertakluk kepada memenuhi syarat membayar perkongsian keuntungan atau menyumbang kepada Program Basmi Kemiskinan.

"FGV pula menyenaraikan tanah berkenaan di Bursa Malaysia sebagai aset mereka," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu bermula 2010 lagi sudah menuntut perkongsian keuntungan daripada FELDA dalam bentuk 30 peratus untung kasar.

"Perbincangan dan perundingan gagal mencapai kata sepakat menyebabkan urusan pemberian hak milik tanah kepada FELDA tergantung.

"Dalam masa yang sama, komitmen untuk memberi sumbangan kepada Program Basmi Kemiskinan PPRT juga tiada sebarang maklum balas dari FELDA. Program memasukkan peneroka FELDA ditamatkan pada 1996," katanya.

Sementara itu, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Penyelesaian Tanah Felda, berkata pada 2011, FELDA ada membayar sejumlah bayaran kepada kerajaan negeri dalam bentuk perjanjian sebelah pihak yang belum dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Katanya, disebabkan itu, wang berkenaan tidak direkodkan sebagai hasil negeri dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah.

"Perbincangan untuk menuntut hak negeri bagi tanah ladang komersial ini bermula dari 2010 dan terus berlanjutan sehingga 29 November 2025," katanya.

Azman menjelaskan perkara itu adalah jawapan kenapa Wang Amanah baru dipulangkan sekarang selepas tempoh 14 tahun.

Katanya, selagi pintu perbincangan masih dibuka maka Wang Amanah dipegang dan apabila tempoh perbincangan tamat maka inilah masa untuk memulangkan 'amanah yang dipegang'.

"Apabila beliau dan pasukan mengambil alih tanggungjawab itu pada 2018, mereka menyambung semula kerja-kerja yang belum selesai.

"Walaupun kerajaan terdahulu meletakkan perkongsian keuntungan 30 peratus daripada untung kasar, kerajaan negeri sekarang bersedia menerima cadangan balas berapa peratus jumlah yang hendak dicadangkan oleh FELDA.

"Kita bersedia berunding untuk mencapai kata sepakat. Sampai ke saat akhir, mereka tidak mengemukakan sebarang cadangan balas malah menghantar surat dengan kenyataan tegas bahawa FELDA tidak bersetuju membayar perkongsian keuntungan.

"Mereka menekan kerajaan negeri supaya menyelesaikan pemberian geran hak milik segera dalam masa 30 hari," katanya

Menjawab persoalan mengapa kerajaan negeri berbincang dengan FELDA tetapi FGV yang terima Notis 425 Kanun Tanah Negara, katanya notis mesti diserahkan kepada pihak yang sedang menduduki tanah itu.

"Dalam kes ini, pihak yang sedang menduduki tanah ialah FGV," katanya.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url