Deepfake, automasi jadikan penipuan dalam talian makin hebat

 


Landskap penipuan kewangan dalam talian di Malaysia kini sudah jauh meninggalkan kaedah konvensional. Penjenayah siber hari ini bergerak secara lebih teratur dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti pertukaran suara, 'deepfake' dan automasi.

Isu ini bukan lagi sekadar ancaman kecil apabila statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial merekodkan sebanyak 47,854 kes penipuan dalam talian (scam) dengan jumlah kerugian RM1.919 bilion setakat September lalu.

Laporan Global Anti-Scam Alliance (GASA) turut mendedahkan bahawa setiap rakyat Malaysia berdepan purata 140 cubaan scam setiap tahun, menunjukkan tahap pendedahan yang amat membimbangkan.

Teknologi canggih hasilkan klon palsu berkualiti tinggi

Menurut Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook, penjenayah siber hari ini bergerak secara lebih teratur, memiliki peralatan yang lebih baik, suara dan visual yang meyakinkan, serta mampu menghasilkan bahan penipuan berkualiti tinggi.

"Iklan palsu dan aplikasi tiruan yang mereka bangunkan kelihatan semakin profesional sehingga pengguna biasa sukar membezakannya dengan yang tulen," jelas beliau.

Tambahnya, teknologi 'deepfake' dan automasi membolehkan sindiket menghasilkan ratusan video palsu dan melancarkan kempen penipuan hanya dengan beberapa klik sekali gus meningkatkan kadar kejayaan mereka.

Platform digital perlu dipertanggungjawabkan

Choong Fook berkata platform media sosial seperti Instagram dan Facebook menjadi sasaran paling kerap digunakan untuk mempromosikan produk bermusim, barangan popular atau memancing mangsa memuat turun aplikasi berbahaya. 

"Platform tidak segera menurunkan bahan penipuan kerana mereka tidak melakukan pengesahan iklan secara menyeluruh, memandangkan semua iklan diuruskan oleh pengiklan luar dan semakan bukan menjadi keutamaan operasi mereka.

"Hanya selepas menerima laporan besar, barulah tindakan diambil," ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian utama ialah platform digital perlu dipertanggungjawabkan terhadap proses penciptaan akaun dan pengiklan. 

"Setiap pengiklan wajar melalui proses eKYC (electronic Know Your Customer) untuk memastikan identiti mereka disahkan. Langkah ini dapat mengurangkan penipuan secara ketara," jelas Choong Fook.

Isu talian telefon, kesedaran pengguna jadi kunciSelain platform, isu nombor telefon yang tidak didaftarkan dengan tepat digunakan oleh sindiket untuk mendaftar akaun palsu turut dibangkitkan.

"Banyak sindiket menggunakan nombor telefon yang tidak didaftarkan dengan tepat untuk mendaftar akaun palsu. Syarikat telekomunikasi perlu lebih tegas mengenal pasti pemilik talian," katanya.

Mengenai panggilan palsu daripada pihak berkuasa, beliau berkata ia merupakan ancaman yang semakin meningkat. 

"Penipu kini menyamar sebagai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pelbagai agensi lain menggunakan nombor mudah alih rawak. Oleh itu, pengguna perlu mencatat nombor dan hubungi semula talian rasmi agensi berkenaan jika ragu-ragu. Jangan membalas panggilan yang tidak dapat dipastikan ketulenannya," jelas beliau.

Choong Fook turut menegaskan bahawa walaupun terdapat mekanisme sedia ada bagi menangani isu ini, penguatkuasaan undang-undang di Malaysia masih belum mencukupi untuk menangani polemik penipuan dalam talian secara menyeluruh. 

Justeru, kesedaran digital dan langkah pencegahan daripada pengguna adalah kunci utama dalam memerangi scam, sementara platform digital dan syarikat telekomunikasi wajar mengambil tanggungjawab lebih tegas bagi memastikan keselamatan pengguna.


Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url