Penjawat awam kerja dari rumah 3 hari seminggu, sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan dikecualikan

 



Pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, selain semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).

Dua kriteria itu dinyatakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi surat edaran pelaksanaan BDR yang disiarkan hari ini.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari dalam seminggu untuk perkhidmatan awam itu susulan konflik Asia Barat itu, berkuat kuasa mulai 15 April ini.

Ia juga berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR yang memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan BDR.

Pelaksanaan BDR bagaimanapun dikecualikan untuk tiga sektor membabitkan keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

Berdasarkan surat edaran itu, negeri di mana Ahad menjadi hari kelepasan mingguan, BDR ditetapkan Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.

Untuk negeri di mana hari kelepasan mingguan Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, BDR adalah secara sepenuh hari pada Isnin hingga Rabu.

Sepanjang pelaksanaan BDR, tempat bekerja pegawai ialah rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja.

Pegawai awam juga perlu menggunakan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.

Malah, mereka perlu mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dan ketua jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai.


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url