Taman Rekreasi Bukit Wang di Alor Setar, Kedah
Kedah mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Taman Rekreasi Bukit Wang (TRBW), kira-kira 40 kilometer (km) dari Bandar Alor Star dan berhampiran pekan Changlun, sudah lama menjadi destinasi percutian hujung minggu.
Istimewanya, taman ini memiliki kawasan mandi yang panjang iaitu kira-kira satu kilometer (km) dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Meskipun tidak memiliki air terjun yang tinggi, ia tetap menjadi pilihan kerana persekitaran yang masih terpelihara.
Bagi remaja yang mahir berenang, mereka boleh lakukan aksi terjun tiruk di tebing setinggi kira-kira lima meter.
Pengunjung dewasa boleh mandi di kawasan yang agak dalam, sekali gus mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak mereka.
TRBW juga sesuai dijadikan tempat barbeku. Malah, ia sering menjadi tumpuan pasukan berunifom sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Kedah untuk melakukan aktiviti perkhemahan selain datang bersama keluarga.
Selepas penat mandi-manda, pengunjung boleh beristirahat untuk mengeringkan badan di atas batu di hutan lipur itu sebelum terjun semula ke dalam air.
Malah, ada pengunjung yang terlalu penat tertidur di atas batu besar kerana dibuai alunan deruan air dan kicauan burung.
Bagi penggemar aktiviti lasak, mereka boleh melakukan aktiviti meredah hutan dan memanjat bukit atau berjoging di laluan masuk ke kawasan perkelahan itu sambil melihat pelbagai jenis spesies tumbuhan hutan seperti pokok rumbia dan periuk kera.
Selepas penat bergembira mandi-manda, pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan makanan yang dijual di kafe berhampiran pintu masuk TRBW.
Seorang pengunjung, Rasmah Ismail, 40, berkata, dia sering berkunjung ke Lata Cakah bersama keluarga kerana tempat itu sesuai untuk mandi-manda dan menikmati alam semula jadi selain menenangkan fikiran selepas penat bekerja.
>Info
>Antara kemudahan asas di daerah Kuala Nerang itu termasuk tandas dan tempat persalinan. Ada juga beberapa pondok yang didirikan di kawasan taman itu sebagai tempat berehat selepas mereka penat mandi-manda.
>Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan tidak mandi di kawasan jeram yang dalam. Harus diingatkan keselamatan pengunjung adalah tanggungjawab mereka sendiri. Selain itu, mereka juga dilarang membuang sampah merata-rata.
>Selepas penat bergembira mandi-manda, pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan makanan yang dijual di kafe berhampiran pintu masuk TRBW.