Penyakit bawaan air
Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir adalah seperti jangkitan pernafasan akut, konjunktivitis (sakit mata), Leptospirosis (kencing tikus), cirit-birit, Hepatitis A, taun atau kolera, demam kepialu (tifoid), keracunan makanan dan demam denggi.
Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin, sebanyak 4,894 kes penyakit berjangkit dilaporkan dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Kelantan dalam bencana banjir yang berlaku, baru-baru ini.
Penyakit tertinggi dikesan adalah jangkitan pernafasan sebanyak 2,923 kes diikuti dengan jangkitan kulit 1,367 kes dan penyakit lain termasuk gejala gastroenteritis akut sebanyak 116 kes, konjunktivitis (99) dan demam virus (376).
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Perubatan Masyarakat Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, kekerapan berlakunya banjir boleh membuatkan tahap kewaspadaan terhadap penyakit bawaan air semakin berkurangan dan kelekaan ini boleh membawa maut.
Katanya, kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, ibu hamil, wanita berpantang, pesakit komorbid dan warga emas perlu diberi perhatian kerana mereka mudah terdedah kepada risiko dan penyakit berjangkit akibat banjir terutamanya penyakit bawaan air dan makanan.
"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah kumpulan berisiko tinggi bagi kematian akibat penyakit ini disebabkan mengalami cirit-birit.
"Ini disebabkan sistem imun kanak-kanak pada usia berkenaan masih rendah berbanding golongan dewasa.
"Di tambah pula dengan amalan kebersihan diri dan sanitasi rendah serta kesedaran penyakit yang terhad dalam kalangan kanak-kanak, menjadikan mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan penyakit ini," katanya.
Beliau berkata, selain itu warga emas terutama mereka yang mempunyai pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau penyakit buah pinggang juga berisiko terdedah kepada penyakit bawaan air ketika banjir.
"Sekiranya mereka mempunyai simptom seperti cirit-birit dan muntah, dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital lebih cepat kerana jika terlambat boleh menyebabkan kematian," katanya.
Katanya, penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku akibat banjir dan antara simptom utama, mengalami cirit-birit, muntah, sakit perut, demam serta najis berdarah.
"Apabila keadaan sudah teruk, pesakit boleh mendapat gejala dehidrasi seperti keletihan, tekanan darah yang rendah dan juga pengsan.
"Jangka masa seseorang itu mula mengalami simptom bergantung kepada jenis pathogen penyakit yang dijangkiti berdasarkan konsep tempoh pengeraman atau inkubasi selepas terdedah kepada sumber tercemar selain faktor umur, imuniti dan jumlah dos pencemaran.
"Bagi penyakit yang dikategorikan kumpulan keracunan makanan, individu itu mula mengalami simptom seawal beberapa jam dalam tempoh satu hingga dua hari.
"Penyakit taun pula sehingga empat hingga lima hari dan demam kepialu (tifoid) pula lewat sehingga seminggu atau dua minggu," katanya.
Dr Wan Mohd Zahiruddin berkata, penyakit berjangkit ketika banjir berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pencemaran alam sekitar, penyediaan makanan dan amalan sanitasi yang tidak baik serta pertambahan vektor pembawa kuman penyakit.
"Fenomena banjir boleh meningkatkan risiko penyakit berjangkit melalui sumber air minuman dan makanan tercemar.
"Air banjir sering tercemar dengan patogen penyakit daripada najis manusia yang berlaku akibat sistem kumbahan yang rosak atau daripada sisa haiwan sehingga boleh membawa kepada penyakit bawaan air seperti taun, kepialu, hepatitis A atau penyakit cirit-birit (gastroenteritis) dan lain-lain.
"Bagaimanapun, ia boleh berlaku sekiranya individu menggunakan sumber air tercemar dengan air banjir untuk tujuan minum atau penyediaan makanan," katanya.
Beliau berkata, akibat tidak mengamalkan kebersihan dan cara sanitasi yang betul ia akan menyebabkan penyakit cirit-birit.
"Lazimnya, ramai mangsa akan ditempatkan di PPS yang sememangnya sesak dan situasi ini boleh menyebabkan kemudahan sanitasi tidak sempurna dan mencukupi.
"Persekitaran yang sesak, sejuk dan lembap mungkin memudahkan penularan jangkitan salur pernafasan," katanya.
Katanya, pada masa sama, faktor persekitaran juga boleh menyebabkan penularan penyakit berjangkit kerana sumber air sudah tercemar dengan kuman akibat sistem kumbahan yang rosak dan amalan sanitasi tidak baik seperti penggunaan tandas tidak sempurna ketika bencana banjir.
"Faktor lain yang turut menyebabkan terjadinya penyakit berjangkit adalah persekitaran selepas banjir apabila adanya air bertakung dan kotor dengan sampah sarap serta sisa makanan yang boleh meningkatkan populasi lalat, lipas, tikus dan nyamuk.
"Kehadiran vektor pembawa penyakit boleh menyebabkan wabak demam denggi berlaku selepas banjir berikutan pertambahan nyamuk akibat air bertakung yang menggalakkan pembiakan nyamuk," katanya.
Katanya, kehadiran populasi tikus di persekitaran rumah sebaik banjir reda boleh mengakibatkan penularan penyakit kencing tikus (leptospirosis).
"Selain itu, individu yang mengharungi air banjir terutama jika mempunyai luka kulit terbuka yang terdedah atau tersentuh kepada air tercemar juga berisiko untuk dijangkiti kuman leptospirosis," katanya.
Beliau berkata, rawatan yang perlu diberikan kepada mereka terkena penyakit berjangkit bawaan air adalah dengan melihat tahap hidrasi pesakit.
"Kebiasaannya ramai pesakit yang mengalami cirit-birit ringan dan hanya perlu dirawat dengan larutan rehidrasi oral (ORS).
"Walau bagaimanapun ada juga pesakit yang mengalami gejala teruk sehingga tekanan darah menjadi rendah dan perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan hidrasi," katanya.
Katanya, bagi mengelakkan penyakit berjangkit semasa dan selepas banjir adalah penting bagi individu, sama ada mangsa banjir, petugas di PPS atau sukarelawan bantuan banjir untuk sentiasa mengamalkan pelbagai langkah pencegahan.
Antaranya, menumpukan pada penggunaan sumber air bersih dan selamat, amalan kebersihan diri dan
sanitasi, serta kawalan vektor pembawa penyakit.
INFO: 10 langkah pencegahan penyakit bawaan air dan makanan semasa banjir
1. Sentiasa minum air yang telah dimasak atau air terawat yang dibotolkan.
2. Makan makanan yang telah dimasak sahaja.
3. Jaga kebersihan kawasan persekitaran.
4. Pastikan penyediaan makanan dan susu yang selamat untuk anak anda.
5. Jaga kebersihan diri, basuh tangan sebelum menyediakan makanan, makan dan selepas ke tandas.
6. Elakkan makan makanan mentah seperti ulam-ulaman dan sayuran yang belum dimasak.
7. Amalkan 'Lihat, Hidu, dan Rasa' sebelum makan.
8. Pastikan penyediaan makanan dan susu yang selamat untuk anak anda.
9. Jangan makan makanan yang disediakan melebihi 4 jam.
10. Tutup makanan supaya tidak dicemari (lipas, lalat dan tikus).
SUMBER: UKK KKM