Top Ad 728x90

Surat terbuka untuk Dr. Rais Yatim

Kalau difikir-fikirkan TV Malaysia yang kedua-dua salurannya sekarang dikenali sebagai TV1 dan TV2 bolehlah diibaratkan sebagai ‘kacau-bilau’.

Tiap-tiap Menteri Penerangan yang datang akan mengubah TV Malaysia mengikut selera masing-masing. Misalnya, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir menggunakan ungkapan ‘infortainmen’ sementara Datuk Zainuddin Maidin, bekas timbalan Kadir kemudian menukarkannya kepada ‘inforia’.

Walaupun Datuk Ahmad Shabery Cheek yang menggantikan Zainuddin mengekalkan ‘inforia’ tetapi beliau pula (atas nasihat pakar-pakar penyiaran di sekelilingnya) mengenyahkan Warta Perdana dari jam 8 ke jam 9, konon-kononnya untuk mempastikan kesemua berita terbaru dapat dipakai.

Maka waktu keramat pukul 8 itu diserahkan kepada Berita Mandarin walhal TV3, TV7, TV9 (semua kepunyaan Media Prima) dan Awani (Astro) dan Bernama menyiarkan berita utama bahasa Melayu di waktu itu.

Sekarang kita tunggu pula apa yang hendak dibuat, diperbaharui atau dibuang oleh menteri baru, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula.

Tapi, saya merasa optimis sedikit RTM di bawahnya kerana yang kita nampak Rais memang cintakan bahasa Melayu dan sentiasa muncul di TV bercakap dalam bahasa Melayu yang bermutu tinggi, walaupun berpendidikan Inggeris yang tinggi juga.

Justeru dalam keadaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan masih tidak tahu hala tujunya, kita berharap Rais akan melancarkan satu kempen raksaksa untuk mendaulatkan bahasa Melayu bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa bahasa itu mampu menjadi bahasa perantaraan di semua bidang.

Sebagai langkah pertama:

- Rais mesti mengharamkan terus bahasa Inggeris dari semua rancangan dalam bahasa Melayu di radio dan TV Malaysia.

- Jika ada menteri, ketua-ketua jabatan, tokoh-tokoh korporat bercakap dalam bahasa Inggeris, tiap perkataan dan ungkapan mesti dialih bahasa ke bahasa Melayu.

- Amaran kepada penulis-penulis skrip drama dan penerbit-penerbit mereka supaya menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam karya mereka.

- Keadaan sudah teruk sehinggakan penceramah agama dan chef-chef rancangan memasak pun rasa tidak sah kalau tidak bercakap rojak Melayu-Inggeris.

- Mesti melakukan pembersihan bahasa Inggeris atau English cleansing dengan segera dan sungguh-sungguh tetapi bahasa Inggeris terus dibenarkan dalam rancangan-rancangan bermutu yang dibeli dari Discovery Channel atau National Geographic itu pun kalau tidak dapat dibuat alih bahasa ke bahasa Melayu.

- Mendaulatkan semula TV1 sebagai saluran hanya dalam bahasa Melayu, TV2 dalam bahasa Mandarin dan Tamil. Biarlah Astro dan stesen-stesen satelit luar negara mendaulatkan kedua-dua bahasa ini.

- Mengarahkan segera Warta Perdana dibawa balik ke jam 8 malam.

- Setelah selesai di RTM, Rais mesti meluaskan kempen bahasa Melayu ini ke TV3, TV7, TV8 dan TV9.

- Berunding dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk melaksanakan sistem denda setiap perkataan dan ungkapan bahasa Inggeris yang ‘terlepas’. Kalau dalam drama, pelakon, penulis skrip dan penerbit drama itu akan didenda RM100 satu perkataan atau RM1,000 satu ungkapan yang digunakan. Kempen ini juga boleh diluaskan ke sektor filem Melayu.

Hanya dengan kempen ini kita rakyat Malaysia boleh merasa bangga seperti orang Perancis yang tidak akan melayan pelancong yang hendak tunjuk gagah dengan bahasa Inggeris.

Ramai rakyat Malaysia menceritakan mereka dilayan kalau cakap bahasa Melayu di kedai-kedai di Paris tetapi tidak dipedulikan kalau cakap Inggeris.

Banyak lagi yang patut Rais buat seperti mengurangkan hiburan di TV1 dan TV2 dan haramkan filem dan drama yang bertemakan keganasan, khurafat/tahyul/hantu dan adegan-adegan seks.

SAAD HASHIM
Kg. Melayu, Ampang

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90