Tekad Yuna
Berbekalkan suara merdu dan imej yang berbeza dengan penyanyi wanita sedia ada membuatkan penonton berbisik sesama sendiri, mengapakah kita lambat melahirkan bakat sebagusnya tatkala keadaan industri muzik negara ketandusan penyanyi hebat.
Malah, ramai yang baru mendengar namanya ketika lagu ciptaannya, Dan Sebenarnya, terpilih untuk didendang Aishah, pelajar Akademi Fantasia 7 dari Kuching, Sarawak, ketika konsert mingguan pertama, baru-baru ini.
Yuna, 23, atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, tidak menafikan pemilihan lagu itu sedikit sebanyak membantu mempromosi dan memperkenalkan dirinya kepada peminat, khususnya mereka yang kurang terdedah kepada muzik indie tempatan.
Gadis manis yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga bersyukur kerana pihak produksi Astro memberi peluang kepada Aishah memilih lagu itu sebagai tugasan.
“Pada mulanya saya juga terkejut kerana sebagai pendatang baru, jarang sekali lagu baru seperti ini diberi peluang, apatah lagi lagu ini tidaklah sepopular mana,” kata Yuna merendah diri.
Anak tunggal dalam keluarga ini yang mula bermain piano dan menyanyi seawal usia enam tahun turut memuji persembahan Aishah membawakan lagu itu yang juga taruhannya untuk memperkenalkan diri dalam dunia hiburan.
Mula dikenali menerusi laman komuniti Myspace di Internet, tujuan asalnya mencipta lagu dan mendendangkannya sekadar untuk berkongsi muzik tanpa menyangka sambutan yang diterima begitu hangat.
Siapa sangka, gadis bertudung ini akhirnya menjadi sebutan ramai kerana caranya berbeza, selain rentak lagunya mudah diikuti ramai, seolah-olah dia sungguh berpengalaman.
“Saya faham ramai terkejut dengan penampilan saya, tetapi saya tidak buat perkara salah. Saya hanya mahu berkongsi muzik saya dengan khalayak. Saya selesa begini dan saya juga gadis biasa yang ingin melakukan sesuatu kepada industri muzik negara.
“Saya ingin menghasilkan karya sebagai sumbangan kepada khazanah muzik negara,” kata Yuna yang baru pulang daripada menyertai Festival Muzik Antarabangsa di Singapura, baru-baru ini.
Selain Yuna, festival itu disertai beberapa band indie tempatan seperti Couple, Mia Palencia dan Fourty Winks.
Bercerita mengenai langkahnya menempatkan diri dalam arena seni suara, anak kelahiran Subang, Selangor yang membawakan irama pop rock ini baru menyiapkan album EP yang mengandungi lima lagu termasuk Dan Sebenarnya, selain empat lagu Inggeris berjudul Backpacking Around Europe, After Midnight, Blue Sands dan Deeper Conversation.
“Saya berharap dapat mengembangkan muzik saya ke arena antarabangsa. Kalau boleh, saya mahu tembusi pasaran United Kingdom dan Eropah. Saya mahu bawa nama Malaysia ke mata dunia,” kata Yuna yang ditemui selepas persembahannya pada pelancaran cawangan sulung butik pakaian Badger, jenama dari Bandung, Indonesia yang menggabungkan muzik dan fesyen di Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.
Turut membuat persembahan adalah kumpulan Indie Dischord, They Will Kiss Us All dan Ninja dan dihadiri beberapa kumpulan indie terkenal seperti Estranged dan Meet Uncle Hussain.
Profil
NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIAL: Yuna
USIA: 22 tahun
LAHIR: 14 November 1986 di Alor Star, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang popular pada 1990)
PENDIDIKAN: Masih menuntut dalam tahun akhir di UiTM Shah Alam dalam ijazah Undang-Undang
E-MEL: yunaroomrecords @gmail.com
- HARIAN METRO
sgtla suka ngan yuna ni...artis berpelajaran...
suci khalisa