Pemain Bolasepak Mesut Ozil datang ke Malaysia
Bekas bintang Arsenal dan Real Madrid, Mesut Ozil mengakui beliau menyukai makanan pedas dan teruja mencuba pelbagai hidangan tempatan sepanjang berada di Malaysia.
Bekas pemain tengah Jerman itu berkata, makanan berkuah dan pedas menjadi antara kegemarannya dan beliau tidak menolak peluang menikmati sajian tempatan khususnya di Pulau Pinang yang terkenal dengan kepelbagaian makanan berempah.
"Terdapat banyak gerai makanan di Pulau Pinang yang penuh dengan rempah. Saya diberitahu banyak makanan sedap di sini. Saya perlu cuba. Saya memang suka makanan pedas dan berkuah.
"Sebenarnya saya sudah mencuba beberapa makanan Malaysia dan menyukainya," katanya pada sesi ramah mesra dikendalikan pengulas sukan tersohor negara, Zainal Abidin Abdul Rawop di Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM)
Seramai 500 peserta menyertai sesi ramah mesra secara santai dan klinik bola sepak yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.
Ozil, 37, dalam pada itu turut berkongsi hasrat membuka akademi bola sepak di Istanbul, Turkiye sebagai langkah memperkasa pembangunan bakat muda pada peringkat akar umbi di negaranya.
Tonggak penting membantu skuad Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 di Brazil itu berkata, fokus utamanya kini bukan lagi dalam arena profesional sebaliknya membantu generasi muda mencapai impian mereka dalam sukan bola sepak.
"Insya-Allah, saya akan membuka akademi di Istanbul. Matlamat saya sekarang adalah membantu golongan muda. Saya tidak mahu lagi berada dalam dunia bola sepak profesional kerana ia memerlukan saya melakukan banyak perjalanan.
"Saya mempunyai tiga orang anak dan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Jadi matlamat saya sekarang adalah membantu anak muda mencapai cita-cita mereka," katanya.

