Kematian Teoh Beng Hock - Jatuh atau lompat?


Kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini petang ini menimbulkan tanda tanya.

Menurut laporan awal, Beng Hock, 30, yang dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak pukul 5 petang semalam, dipercayai terjatuh dari tingkat 14 pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam itu.

Bagaimanapun Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull yang melawat tempat kejadian berkata, beliau tidak pasti bagaimana Beng Hock terbunuh.

‘‘Kita tak pasti dia terjatuh atau lompat atau apa. Kalau terjatuh dari tingkat mana kita pun tak tahu. Tunggulah hasil siasatan polis nanti,” katanya kepada pemberita.

Mayat Beng Hock yang ditemui oleh orang awam dalam keadaan terlangkup pada kira-kira pukul 1.30 petang dan kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada pukul 9 malam.

Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah itu merupakan salah seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri semalam.

Hian Wah adalah antara dua Exco dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan itu. Semalam SPRM menyerbu pejabat Hian Wah di bangunan Sekretariat Negeri di sini untuk mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan.

Mohd. Shukri berkata, Beng Hock dipanggil ke SPRM Selangor pada pukul 5 petang semalam untuk dirakam percakapannya bersama tiga lagi saksi selepas pihaknya menyerbu pejabat Hian Wah.

‘‘Tiga saksi telah dibenarkan pulang pada sebelah malam kecuali Beng Hock kerana percakapannya hanya selesai pada pukul 3.45 pagi.

‘‘Selepas itu Beng Hock dibenarkan balik oleh pegawai yang merakam percakapannya tetapi dia minta untuk berehat dan tidur sebentar di ruang tamu pejabat SPRM di tingkat 14 dan kali terakhir dia dilihat di situ ialah pukul 6 pagi.

‘‘Selepas itu dia tidak lagi kelihatan sehinggalah mayatnya ditemui pada pukul 1.30 petang ini,” katanya sambil menjelaskan SPRM kemudiannya terus membuat laporan polis.

Menurut Mohd. Shukri, sebelum dibenarkan pulang, Beng Hock berjanji untuk ke pejabat SPRM pagi ini bagi menyerahkan beberapa dokumen yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Katanya, ruang tamu SPRM tidak dilengkapi sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Beliau menjelaskan, semasa percakapannya dirakam Beng Hock tidak menunjukkan reaksi takut atau gelisah dan memberikan kerjasama yang baik kepada pegawai SPRM.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, buat masa ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Bagaimanapun polis masih menunggu laporan daripada empat pakar patologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Kuala Lumpur dan HTAR,” katanya.

Tambah beliau, polis juga menawarkan kepada keluarga Beng Hock untuk melantik pakar patologi mereka sendiri.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.