Malaysia perlu pakej rangsangan baru
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) memberitahu para wartawan di sini defisit fiskal diunjur akan berada pada paras di antara lapan hingga sembilan peratus daripada KDNK tahun depan bergantung kepada bagaimana ekonomi dipulihkan.
Pengarah Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, pihaknya mengunjur KDNK suku kedua tahun ini berada pada paras - 6.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, tetapi lebih baik daripada -6.2 peratus bagi suku pertama tahun ini.
Beliau berkata, pihaknya juga menjangka KDNK negara berada pada paras - 4.0 peratus bagi suku ketiga sebelum menyaksikan pertumbuhan positif semula sebanyak dua peratus bagi suku keempat tahun ini.
"Kami telah menyemak semula unjuran KDNK tahun ini kepada -4.2 peratus daripada -2.2 peratus berikutan penurunan dalam eksport dan pelaburan langsung asing (FDI) yang perlahan.
"Pada masa yang sama, unjuran pertumbuhan ekonomi tahun depan juga telah disemak semula kepada 2.8 peratus daripada 3.3 peratus, sebelum ini dengan jangkaan ekonomi global kembali ke bentuk U secara beransur-ansur," katanya selepas Taklimat Ekonomi Kebangsaan ke-24, di sini hari ini.
Mohamed Ariff menjelaskan, ekonomi Malaysia akan menunjukkan tanda-tanda peningkatan sekiranya ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun mengalami pemulihan secara perlahan-lahan yang dijangka berlaku tahun depan apabila permintaan eksport stabil.
"Kami perlu menunggu sehingga pasaran eksport bagi ketiga-tiga negara itu pulih sebelum melihat sebarang pemulihan di negara ini," kata beliau.
Mohamed Ariff menambah, kerajaan mungkin perlu memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi ketiga pada tahun depan bagi memantapkan pertumbuhan ekonomi sekiranya pemulihan masih lemah.
"Jika kelembapan ekonomi berlanjutan, kerajaan tidak mempunyai pilihan tetapi untuk memperkenalkan satu lagi pakej bernilai RM8 bilion dan ia perlu dilakukan dalam cara yang lebih berkesan supaya dapat melihat impak ketara," jelasnya.
Beliau menambah, nilai mata wang Ringgit masih di bawah nilai berbanding dolar AS.
"Kami menjangka ringgit berada pada paras antara RM3.40 hingga RM3.50 berbanding dolar AS pada hujung tahun ini dan mungkin kembali kukuh pada RM3.00 berbanding dolar AS menjelang tahun 2012," katanya.
Ditanya sama ada pendekatan liberalisasi yang diumumkan baru-baru ini akan menjejaskan unjuran MIER, beliau berkata, ia (liberalisasi) akan memberi kesan kerana ia akan merangsang keyakinan pelabur.
"Bagaimanapun, kesan sepenuhnya hanya dapat dilihat setelah pemulihan ekonomi berjalan lancar kerana ia mengambil masa," ujarnya.
- UTUSAN