Buruh Indonesia, orang tertinggi dunia?
Seorang buruh Indonesia berusia 25 tahun yang berharap dinamakan sebagai manusia tertinggi di dunia, rupa-rupanya lima sentimeter lebih rendah daripada pemegang rekod, seorang petani dari Turki, Sultan Kosen.
Suparwono yang pada mulanya dikatakan mempunyai ketinggian 2.71 meter mengikut pengukuran tidak rasmi, mengatasi ketinggian Kosen yang mempunyai ketinggian 2.47 meter.
Bagaimanapun, selepas dibuat ukuran rasmi oleh Muzium Rekod Indonesia mendapati dia mempunyai ketinggian 2.42 meter, cukup untuk menjadikannya lelaki tertinggi di Indonesia namun bukan Guinness Book of World Records.
"Selepas pihak kami daripada Muzium Rekod mengukur ketinggiannya berbaring dan berdiri, kami mendapati ukuran sebenar Suparwono hanya 2.42 meter.
"Kami menerima laporan pengukuran dari sebuah hospital pagi ini bahawa ketinggiannya adalah 2.71 meter, namun kami perlu mengesahkan sendiri perkara itu dengan mengukur sendiri," kata pengarah muzium, Ngadri kepada pemberita.
Dia mula terkenal minggu ini selepas salah seorang saudaranya di kampung Tri Tunggal Jaya di wilayah Lampung, Sumatera, meminta jiran mengambil gambarnya.
Beberapa hari selepas itu, Suparwono muncul dalam rancangan temu ramah di Jakarta dengan gelaran 'Gergasi Lampung'.
"Pihak kami akan menamakannya sebagai orang tertinggi di Indonesia, memecahkan rekod 2.21 meter yang dipegang sebelum ini, ," kata Pengurus Muzium Rekod Indonesia, Ngadri.
Suparwono berkata, ada kalanya dia berasa bangga dengan ketinggiannya, namun 'timbul masalah apabila saya tidak dapat menjalani hidup seperti orang lain' kerana menghadapi kesukaran untuk menaiki bas dan mencari pakaian yang cukup besar untuk keperluannya.
"Saya mula menyedari ketinggian saya semasa berusia 10 tahun. Pada masa itu, saya merupakan pelajar yang paling tinggi di sekolah dan di kampung.
"Saya makan tiga kilogram nasi setiap hari dan sekurang-kurangnya 15 biji telur," katanya kepada AFP.
Suparwono suatu masa dulu menyimpan impian untuk menjadi bintang bola keranjang, namun tubuh badannya tidak dapat menampung tekanan sukan elit itu, demikian menurut bekas jurulatihnya, Willy Winoto.
"Selepas dua tahun menjalani latihan, kami mendapati dia tidak dapat menjadi atlet kebangsaan kerana masalah tulang. Struktur anatominya tidak cukup untuk menjadi ahli sukan," kata Winoto.
Suparwono tinggal dengan kedua ibu bapanya dan menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja yang jarang dilakukan orang lain di kampungnya.
Namun, Gabenor Lampung, Sjachroedin Zainal berjanji akan memberikan 'kerja yang elok' kepadanya selain menjadikan Suparwono sebagai duta wilayah tersebut.
"Dia adalah aset bagi wilayah kami. Pada tahun depan kami akan menamakan dia sebagai ikon 'Tahun Melawat Lampung'," kata beliau.
- AFP
wow..tinggi dan besar...
amazing. masyaAllah.