Top Ad 728x90

Hisham: Kadar jenayah jalanan susut 36.89 peratus

Kadar jenayah jalanan berkurangan 36.89 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, jenayah keseluruhan juga didapati turun 13.9 peratus bagi tempoh antara Januari dan Mei tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun 2009.

Menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini Hishammuddin berkata, dalam usaha mengurangkan kadar jenayah pihak kementerian mengambil langkah melaksanakan penempatan semula 7,402 anggota polis yang dahulunya membuat tugas-tugas pentadbiran.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga menyerap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Relawan Rakyat (RELA) bagi ditempatkan di kawasan-kawasan tinggi kadar jenayah.

Beliau berkata, bagi meningkatkan rasa hormat masyarakat terhadap perkhidmatan polis pula, kerajaan menetapkan bahawa lima peratus kadar jenayah keseluruhan dikurangkan bersama-sama pengurangan 20 peratus jenayah jalanan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, untuk itu 496 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di negeri Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang beserta 90 buah balai polis bergerak membabitkan 30 bas dan 60 van.

Menurut Hishammuddin, dua inisiatif juga diwujudkan iaitu pegawai atasan polis digalakkan meronda bersama-sama anggota bit dan patrol di bawah inisiatif 'High Profile Policing' dan 'Stop and Talk' agar anggota bit dan patrol dapat berinteraksi dengan masyarakat.

Ketika menjawab soalan tambahan Abdul Manan, Hishammuddin berkata, KDN akan memaparkan indeks jenayah di dalam laman webnya setelah semua maklumat daripada peringkat daerah sehingga kementerian diselaraskan.

Menurut beliau, penyelarasan itu penting bagi menentukan ketepatan maklumat serta tiada perkara yang perlu dibimbangkan bagi dipamerkan untuk tatapan umum.

- Bernama

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90