Top Ad 728x90

Komuter setiap 7.5 minit

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kekerapan perkhidmatan tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan ditingkatkan kepada sekali bagi setiap 7.5 minit menjelang 2012 berbanding sekali setiap 30 minit sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, tahap kekerapan tren yang lebih baik ini dapat dicapai dengan pemilikan 38 set unit elektrik pelbagai oleh KTMB dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Ini merupakan antara projek yang akan membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan yang lebih baik apabila masa perjalanan dapat disingkatkan sementara keselesaan ditingkatkan.

"Kerajaan juga menyasarkan untuk menjadikan pengangkutan berasaskan rel sebagai tulang belakang pengangkutan awam darat secara bersepadu di bawah projek transit aliran sederhana (MRT).

"Projek MRT yang akan menelan belanja berjumlah RM36 bilion ini akan dikendalikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan bakal dilaksanakan pada awal Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-125 KTMB di sini hari ini.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menerima wang syiling emas dan perak khas keluaran Bank Negara serta setem khas keluaran Pos Malaysia sempena sambutan ulang tahun KTMB itu.

Timbalan Perdana Menteri juga menyaksikan perarakan beberapa lokomotif lama yang pernah digunakan KTMB serta melawat set kereta api elektrik (ETS) berkelajuan 160 kilometer sejam yang akan mula beroperasi tidak lama lagi.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Pengerusi KTMB, Datuk Seri Ir. Mohd, Zin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, anggota Kesatuan KTMB dan warga kerja KTMB.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan SPAD yang ditubuhkan pada 3 Jun lalu dijangka dilaksanakan September ini selepas pindaan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

"Suruhanjaya ini akan bertindak sebagai badan bertanggungjawab dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan, mengawal selia dan menyatupadukan perancangan pengangkutan awam," ujarnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90