Top Ad 728x90

Simbol keagamaan penganut Sikh


"Pemakaian serban yang baik memerlukan latihan, ketelitian dan pengalaman," kata Ravi Sharma, tekun menunjukkan kemahirannya di hadapan lebih 2,000 orang.

Penggunaan warna yang cerah, menjolok mata dan rekaan rumit menjadi saingan semua kaum Sikh sama ada yang berasal atau mempunyai keturunan yang sama dari bahagian utara Punjab, India, untuk mempamerkan pelbagai gaya pemakaian serban.

Sharma, 35, seorang tukang kimpal berkata, dia boleh mengikat enam gaya serban termasuk yang sering digunakan oleh kaum Sikh di dalam tentera dan satu lagi untuk mereka yang ingin melakukan persembahan.

"Ia berukuran di antara lima hingga enam meter dan tidak boleh mencecah ke lantai. Pengadil bukan sahaja melihat kepada kepantasan, kekemasan serban dan rambut berjaya ditutupi sepenuhnya. Saya memerlukan masa di antara enam hingga tujuh minit."

Sharma bertanding bagi kategori umur 31 hingga 45 tahun. Walaupun meletakkan harapan tinggi selepas mendapat pingat gangsa pada tahun lalu, dia sekali lagi mendapat tempat ketiga pada tahun ini. Di belakang juara ialah Gurpreet Singh Tung, seorang pemandu lori berusia 32 tahun dari perkampungan Punjab di Tugal berhampiran Ludhiana dan pemenang tempat kedua, Omandeep Singh.

Ketika kanak-kanak sedang berlari di sekitar dewan yang luas itu, sekumpulan wanita dan gadis berpakaian sari mempersembahkan tarian tradisional.

Salah seorang penganjur, Harjit Singh Gill berkata, pertandingan itu semakin mendapat perhatian sejak dianjurkan kali pertama apabila dihadiri lebih 400 penonton.

Promosi penutup kepala

Selepas peristiwa serangan 11 September 2001, kebanyakan mereka yang memakai serban sering menjadi mangsa syak wasangka. Sehubungan itu, pertandingan tersebut diadakan bagi mempromosi kesedaran terhadap penutup kepala di kalangan jutaan penganut agama Sikh, Muslim dan di seluruh dunia.

Gill menggelarkan serban sebagai satu simbol keagamaan kaum Sikh yang bermaksud kehormatan dan kebanggaan. Tambahnya, kaum Sikh menggunakannya semasa pertempuran bertujuan melindungi kepala, baik di India maupun di wilayah barat Kanada, yang didiami lebih 250 ribu orang dari Asia Selatan.

Satu tinjauan yang dilakukan mendapati, bilangan terbesar bangsa Indo-Canadians terletak di kawasan bandar di daerah Greater Vancouver iaitu seramai 107,810 orang yang dicatatkan pada tahun 2006.

Selama bertahun-tahun, kaum Sikh berjaya mendapatkan hak mereka untuk menggantikan pemakaian topi keledar dengan serban ketika menaiki motosikal dan dalam beberapa sektor industri.

Baltej Dhillon, menjadi individu pertama dari timur India yang berjaya memasuki pasukan polis dengan memakai serban pada tahun 1990 sehingga mendapat gelaran Turbo Cop.

Ahli Parlimen daripada Parti Liberal, Sukh Dhaliwal berkata, corak pekerjaan di dalam kelompok komuniti India yang secara tradisinya terlibat dalam pertanian dan bekerja di kilang kayu telah berubah. Generasi muda di timur India merupakan generasi pertama yang menjadi rakyat Kanada kini menjawat pelbagai profesion.

Meskipun kehadiran kaum Sikh di Kanada lebih sekurun yang lalu, dia menyatakan ia merupakan satu kejayaan untuk mewujudkan masyarakat pelbagai etnik di negara itu oleh dua bekas Perdana Menteri iaitu Lester Pearson dan Pierre Trudeau yang membuka pintu bagi penghijrahan penduduk India bermula pada awal tahun 1970-an.

Hari ini, Kanada menjadi negara kedua yang menjadi destinasi pilihan migran India selepas Britain. "Ia merupakan sebuah negara yang sangat ramah kerana setiap individu mempunyai hak yang sama," kata Dhaliwal yang berhijrah dari Punjab sejak tahun 1984.

"Mereka datang ke sini dengan harapan dan kepercayaan. Daripada kepercayaan itu, harap-harap kami dapat mengetahui segala-galanya tidak mustahil bagi mereka untuk melakarkan kisah-kisah kejayaan."

Dhaliwal, yang memiliki syarikat kejuruteraan dan penilai hartanah berkata, migran dari India telah menunjukkan kejayaan yang membanggakan di Surrey. Hampir 52 peratus daripada bilangan hotel di situ kini dimiliki oleh mereka.

Bekerja keras

"Jika kami melihat sejarah bangsa India dan negara itu, kaum Sikh selalunya berhijrah di kawasan yang tidak membangun. Mereka bekerja keras dan selalu membantu antara satu sama lain seperti sebuah bank yang sentiasa membuka peluang."

Salah seorang daripadanya ialah Raghbir Bhinder yang kini telah melakar kejayaan di Kanada. Selepas menetap di Slough, Britain hampir tiga dekad dia kemudian berpindah ke Surrey pada tahun 1996 dan kini memiliki empat pejabat insurans dengan 50 orang kakitangan.

Lelaki yang berasal dari daerah Jallander di Punjab itu berkata, meskipun sudah berjaya, namun anak-anaknya enggan memakai serban.

Katanya, rambutnya sepanjang 0.6 meter tidak pernah dipotong dan mengaku adakalanya menipiskan jambang yang seharusnya dibiarkan begitu sahaja.

"Anak-anak saya membesar di Britain. Adakalanya mereka tidak bercakap dalam bahasa India, jadi ia menyukarkan saya untuk menerangkan kepada mereka mengenai tradisi kami," katanya.

"Mereka menghormati pemakaian serban, tetapi mereka meminta maaf kerana tidak boleh melakukannya. Generasi muda pada hari ini lebih gemar mencukur rambut mereka."

- AFP

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90