Sumber Maklumat dan Info Jawatan Kosong




Semua Sekolah Vokasional Akan Jadi Kolej Vokasional Pada 2015

Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya pada masa ini sebanyak 15 sekolah vokasional yang mewakili setiap negeri telah dinaik taraf kepada status itu, dan bertindak sebagai program rintis yang bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan.

"Secara keseluruhannya penaiktarafan ini akan memberi tumpuan kepada kemahiran, pelajar tidak perlu memakai pakaian sekolah dan kita ubah persekitarannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, di Nilai Sabtu.

Katanya penaiktarafan itu yang merupakan sebahagian daripada usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara, akan dilaksana secara berperingkat selain guru diberi latihan dan penambahan alat kelengkapan kursus.

Kurikulum vokasional juga akan dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baharu seperti kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar, katanya.

Katanya pelajar akan mengikuti kursus selama lapan semester, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.

"Selepas mereka tamat dan mendapat sijil tersebut nanti terpulang kepada mereka sama ada untuk menyambung pelajaran atau pun terus bekerja, kerana dengan adanya sijil itu mereka sudah layak untuk mendapat kerja yang baik," katanya.

Katanya pada masa ini terdapat 78 sekolah vokasional seluruh negara, dan beberapa buah lagi akan dibina dan terus diberikan status berkenaan.

- BERNAMA
Tag : Pendidikan
1 Comments for "Semua Sekolah Vokasional Akan Jadi Kolej Vokasional Pada 2015"

Pembetulan: Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2013 (bukan 2015)

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Back To Top