Bocey Juara Maharaja Lawak Mega 2016


Kumpulan Bocey muncul sebagai juara pada pentas akhir program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016.

Kemenangan kumpulan yang dianggotai oleh Abam, Fad dan Acey itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Acey turut memenangi kategori Man of The Match pada pentas akhir MLM2016.

Gelaran naib juara pula dimiliki kumpulan Joras yang dianggotai oleh Shuk, Rahim dan Joey sekali gus layak  menerima wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Bagi tempat ketiga, ia menjadi milik Puteh sekali gus membawa pulang wang tunai RM150,000 dan trofi manakala kumpulan LOL pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat seterusnya memenangi RM50,000.

Semua hadiah disampaikan oleh pelawak veteran, Wahid Satay manakala Datuk AC Mizal bertindak sebagai pengacara.

Pada malam itu, semua peserta diwajibkan membuat dua persembahan yang bertemakan bebas dan muzikal.

Mereka diadili oleh empat juri tetap iaitu Bunga Citra Lestari, Ziana Zain, Shaheizy Sam dan Najip Ali yang mewakili 70 peratus pemarkahan manakala bakinya menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Program realiti komedi itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105), Astro Warna (saluran 132), Astro Mustika HD (saluran 134) dan Astro Maya HD (saluran 135) dari Stadium Tertutup Perbadanan Pasir Gudang, Johor Bahru.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.