Izzuddin-Sze Fei Juara Badminton Terbuka Artik 2024

 


Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terus mencipta sensasi dengan menjadikan pasangan ranking dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark sebagai 'mangsa' selepas merangkul gelaran juara Terbuka Artik di Vantaa, Finland, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Vantaan Energia Areena itu, Izzuddin-Sze Fei bagaimanapun sekali lagi dipaksa bekerja keras selepas diheret dalam perlawanan tiga set sebelum menang.

Diletakkan pilihan kelima kejohanan berstatus Super 500 itu, Izzuddin-Sze Fei terus dipaksa mencipta kebangkitan apabila tewas pada set pertama 15-21.

Terdesak memburu kemenangan, pasangan ranking lapan dunia itu memperkemaskan permainan dan berjaya menang 21-15 pada set kedua.

Dan seperti sudah 'panas', pasangan itu melenyapkan cabaran Astrup-Skaarup pada set ketiga dengan kemenangan 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung sejam 12 minit.

Kejayaan menjuarai Terbuka Artik jelas bukan sahaja akan memperbaiki kedudukan ranking Izzuddin-Sze Fei, namun turut 'menebalkan' poket mereka dengan membawa hadiah wang kemenangan membawa pulang hadiah kemenangan RM142,282.

Ia juga kejayaan ketiga mereka bagi musim ini selepas muncul juara Terbuka Jepun dan Terbuka China.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url