Top Ad 728x90

Bazaar Warisan masih sepi


Sudah lebih lima bulan sebuah kompleks perniagaan, Bazaar Warisan bercirikan seni bina tradisional Terengganu yang terletak berhampiran Bukit Puteri di sini siap.

Bagaimanapun kompleks tersergam indah dan terletak di sebelah Pasar Besar Kedai Payang itu sehingga sekarang sepi tanpa sebarang aktiviti perniagaan.

Apabila dipandang dari jalan raya, orang ramai hanya dapat melihat dua daripada kira-kira 70 buah kedai yang ditempatkan di kompleks berkenaan beroperasi.

Justeru, timbul persoalan mengapa kedai-kedai berkenaan masih belum dibuka? Adakah kerana pemilihan penyewa masih belum selesai atau timbul masalah lain?

Atau adakah peniaga yang dipilih tidak berminat untuk menjalankan perniagaan di situ?

Jika dilihat rancangan pembinaan Bazaar Warisan, kompleks itu dibina bagi menggantikan Pasar Besar Kedai Payang sebagai pusat utama jualan pelbagai barang atau produk kraf keluaran dan warisan berzaman Terengganu.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha sejajar dengan penaiktarafan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandaraya.

Kerajaan negeri sebelum ini memberitahu sebanyak RM18.4 juta telah dibelanjakan bagi membina kompleks berkenaan.

Lokasi pembinaan bazaar yang terletak di pinggir muara Sungai Terengganu juga dilihat bertepatan dengan matlamat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Kuala Terengganu sebagai bandaraya warisan persisir air.

Kerajaan negeri juga yakin apabila siap kompleks tersebut bakal menjadi tumpuan ramai khususnya pelancong asing kerana ia menjadi pusat utama jualan pelbagai barang atau produk kraf keluaran Terengganu warisan berzaman.

Reka bentuk kompleks berkenaan juga unik dalam mempamerkan seni bina tradisional Terengganu yang dilihat dapat menyerikan dan mengindahkan lagi bandaraya Kuala Terengganu.

Ia juga memenuhi tujuan bagi membolehkan para pengunjung menikmati pemandangan keindahan muara Sungai Terengganu terutama Pulau Duyong sambil membeli barangan di kompleks berkenaan.

Kerajaan negeri juga sebelum ini mengumumkan kompleks setinggi empat tingkat itu akan menempatkan lebih 70 peniaga kraf yang kebanyakannya telah pun menjalankan perniagaan di Pasar Kedai Payang.

Namun, hanya peniaga terpilih atau benar-benar berminat sahaja bakal ditempatkan di kompleks itu nanti.

Kompleks itu akan menjadi tempat tumpuan ramai khususnya pelancong asing.

Mengenai Pasar Besar Kedai Payang, kerajaan negeri memberitahu, ia akan membangunkannya semula bagi memastikan ia kelihatan lebih hebat dan indah seiring dengan kedudukannya di pinggir Sungai Terengganu.

Kerajaan negeri menyatakan kerja-kerja pengubahsuaian atau pembinaan semula akan dirancang apabila hampir sebahagian daripada Pasar Besar Kedai Payang dipindahkan ke Bazaar Warisan.

Para peniaga Bazaar Warisan di sini dijangka membuka semula perniagaan menjelang hujung bulan ini selepas siap melakukan pengubahsuaian premis mereka.

Tinjauan mendapati beberapa peniaga di kompleks berkenaan sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dalam usaha memenuhi keperluan perniagaan mereka.

Seorang peniaga songket dan batik, Kamal Misal, 40-an berkata, para peniaga telah menerima arahan daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk membuka premis perniagaan pada 15 Mei lalu tetapi mereka meminta untuk menangguhkan tarikh sehingga 1 Jun ini.

''Ini bagi membolehkan kami membuat pengubahsuaian bagi menepati keperluan perniagaan kami,'' katanya ketika ditemui di sini.

Dia berkata, kerja-kerja pengubahsuaian baru dilakukan kerana bekalan elektrik hanya disambungkan ke kompleks perniagaan berkenaan awal bulan lalu.

Selain itu, katanya, para peniaga sebelum ini juga agak keberatan untuk memulakan perniagaan di kompleks perniagaan itu kerana beberapa kemudahan bagi menarik orang ramai terutama pelancong masih belum diaktifkan selain faktor keselamatan bangunan.

''Kami agak keberatan untuk memulakan perniagaan di sini kerana air terjun dan sistem pancuran air yang dibina di kompleks berkenaan masih belum diaktifkan selain pagar di tingkat atas masih belum siap sepenuhnya.

''Kesemua ini kami lihat merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan pelanggan tidak mahu datang ke kompleks perniagaan ini,'' katanya.

Seorang lagi peniaga barang kraf, Norizan Abdul Rahman, 40-an ketika ditemui menyatakan dia memulakan perniagaannya di Bazar Warisan sejak awal bulan ini.

''Bagaimanapun, tiada pelanggan yang datang mengunjungi kedai saya kerana mereka fikir kompleks ini masih belum dibuka.

''Ini berlaku kerana kebanyakan kedai di sini masih belum dibuka,'' ujarnya ketika ditemui.

Sehubungan itu, dia berharap perniagaan di kompleks berkenaan dikunjungi ramai apabila semua kedai di Bazaar Warisan dibuka semula hujung bulan ini.

1 Comment:

  1. Wahh..dah siap ke bangunan ni? Ishhh..lamenye tak gi area pasar payang..huhu

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90