Top Ad 728x90

Komunikasi kepimpinan elemen penting dakwah Islam

Oleh SAPORA SIPON

Isu melibatkan pemimpin yang gagal mengotakan janji dan mengeluarkan kata-kata atau tulisan yang boleh memberi kesan negatif kepada pendengar atau pembaca sering mendapat perhatian.

Antara isu yang mendapat perhatian dewasa ini ialah mengenai kegagalan pemimpin untuk mengotakan janji yang dibuat terutama semasa kempen pilihan raya.

Terdapat juga pemimpin yang gemar mengeluarkan kata-kata yang bersifat provokatif. Kegagalan berkomunikasi dengan baik boleh sahaja memberi kesan negatif terutama sekali kepada negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

Dr. Mohd. Yusof Hussain dalam artikelnya bertajuk 'Komunikasi Kepimpinan dari Perspektif Islam' menjelaskan bahawa komunikasi adalah satu aktiviti yang dianggap mulia oleh Islam sebagaimana yang jelas dapat dilihat dari beberapa ayat al-Quran dan hadis.

Antaranya ialah: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh. (41:33).

Menurut beliau, Islam telah menetapkan beberapa prinsip komunikasi yang harus diikuti oleh pendakwah dan pemimpin dalam organisasi. Antara prinsip-prinsip tersebut ialah mengota apa yang dikata, bercakap dengan lemah lembut, menggunakan perkataan yang baik-baik, menggunakan hikmah dan nasihat yang baik dan berbahasa dengan cara yang lebih baik.

Di samping itu, prinsip komunikasi yang baik dalam Islam ialah menyesuaikan bahasa dan isi percakapan dengan tingkat kecerdasan pendengar dan menyebut perkara yang penting berulang kali.

Prinsip-prinsip komunikasi yang disebut di atas telah digunakan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Baginda dalam usaha menyampaikan risalah Islam dengan amat berkesan sekali.

Kesannya ramai orang di dalam dan di luar Semenanjung Tanah Arab telah menerima Islam sebagai ad-Din atau agama mereka hasil usaha dakwah berdasarkan prinsip-prinsip tersebut.

Dalam konteks mengotakan apa yang dikata, prinsip ini bersandar kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. (61:21).

Dewasa ini, sering juga berlaku pemimpin yang tidak menggunakan perkataan yang berhemah apabila mengeluarkan pandangan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan. Ia boleh sahaja menimbulkan prasangka negatif kepada pendengar atau pembaca.

Seorang pemimpin Muslim perlu menggunakan perkataan yang baik-baik. Firman Allah SWT: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaku (yang beriman) supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang (kebenaran). (17:53).

Ayat itu jelas meminta umatnya terutama pemimpin untuk menggunakan perkataan yang baik-baik.

Islam juga mengajar umatnya untuk bercakap dengan lemah lembut seperti firman Allah SWT: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampau batas dalam kekufuran. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut. (20:42-43)

Pemimpin memerlukan komunikasi kepimpinan yang berkesan.

Komunikasi kepimpinan mengikut Dr. Mohd. Yusof ialah gaya bahasa, kaedah dan strategi komunikasi yang digunakan oleh pemimpin semasa menjalankan peranan dan tugas formal pemimpin dalam organisasi.

Tugas-tugas formal ini termasuklah memberi arahan, taklimat dan penjelasan; memberi tunjuk ajar, teguran dan nasihat. Di samping itu, komunikasi kepimpinan juga melibatkan aktiviti seperti mempengerusikan mesyuarat dan mendapatkan maklum balas, menyelia, menyelaras dan sebagainya.

Persoalan kepimpinan dan komunikasi adalah sesuatu yang dianggap penting dalam Islam. Pemimpin yang berbuat demikian insya-Allah akan mendapat reda Allah SWT di samping mendapat manfaat daripada khazanah pengetahuan agama Islam yang suci.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90