Top Ad 728x90

Seni bina unik ‘Masjid Besi’ di Putrajaya

Oleh ZUARIDA MOHYIN
(WARTAWAN UTUSAN)

PUTRAJAYA, wilayah yang pernah menerima kecaman di awal pembinaannya kerana kononnya ia satu pembaziran. Siapa sangka belum pun mencecah usia 10 tahun perisytiharannya sebagai Wilayah Persekutuan, Putrajaya telah berjaya meletakkan dirinya dalam peta dunia, sebagai tempat yang wajib dilawati oleh pelancong ke Malaysia.

Apa tidaknya, sejurus memasuki Putrajaya, kita boleh terasa kelainan suasana, sekali gus menikmati panorama yang nyata berbeza, moden, unik tetapi tanpa mengorbankan unsur semula jadinya sehingga diberi jolokan Bandar Raya Dalam Taman.

Hakikatnya, kunjungan ke Malaysia bagaikan tidak lengkap jika tidak melawat pusat pentadbiran negara ini. Bangunan batu yang menggabungkan seni bina tempatan dan moden adalah antara keunikan yang ditawarkan kepada pelancong sama ada tempatan mahupun asing.

Tambahan pula, Putrajaya bukan sekadar menempatkan kompleks kerajaan, bahkan komponen-komponen tarikan lain seperti Masjid Putra, Taman Putra Perdana, Taman Botani, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Istana Keadilan dan Tasik Putrajaya, secara tidak langsung menjadikan ia aset produk pelancongan.

Namun, diam tidak diam pada penghujung tahun ini, akan muncul satu lagi binaan di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya yang bakal menjadi mercu tanda Putrajaya iaitu ‘Masjid Besi’.
Tentunya, masih ada yang tertanya-tanya atau tidak perasan mengenai kewujudan sebuah binaan seunik namanya yang terletak di tengah-tengah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Presint 3 dan berlatarkan keindahan Tasik Putrajaya.

Sementara di pihak lain pula, ada yang tidak sabar menanti kelahiran satu lagi ‘produk’ atau ‘buah tangan’ yang bakal melengkapkan landskap Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu kelak. Malah dalam senario ternanti-nanti itu, tidak kurang juga timbul suara-suara sumbang yang mempertikaikan kewujudan masjid ini sedangkan sudah ada Masjid Putra yang serba sempurna lagi menarik.

Mengakui mendengar desas-desus tohmahan itu, namun bagi Pengarah Jabatan Pembangunan Bandar, Perbadanan Putrajaya, Ir. Mohd. Ridzwan K. Othman, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat mereka.

Malah, kecaman dengan pelbagai tuduhan itu menjadi pemangkin semangat untuk memastikan projek pembinaan ‘Masjid Besi’ menepati tarikh jangkaannya, sekali gus menamatkan penantian orang ramai khasnya, warga Putrajaya untuk melihat ‘wajah’ sebenar masjid itu apabila siap kelak.

“Sebenarnya, cetusan idea untuk membina sebuah masjid baru di Putrajaya bukanlah dibuat sesuka hati atau tidak ikut perancangannya. Yang pasti, ia telah wujud sejak dulu lagi iaitu telah termaktub di dalam Pelan Induk Putrajaya yang diluluskan kerajaan. Di atas pelan tersebut, telah ada peruntukan dua kawasan untuk dibina masjid di Putrajaya.

“Anggaran kasar mendapati, sejumlah kira-kira 23,633 kakitangan akan dijanakan apabila keseluruhan parcel pejabat kerajaan dibangunkan kelak. Seramai 28,420 penduduk akan mendiami kawasan sekitarnya apabila kesemua projek pembangunan perumahan, terutamanya di Presint 18 siap dibina.

“Lantaran itu, hasrat menyediakan sebuah masjid yang selesa bagi umat Islam di sini adalah menepati masa dan keperluan, sekali gus mampu menampung kakitangan kerajaan dan juga penduduk setempat yang kalau dicongak melebihi 50,000 orang,” terang Mohd. Ridzwan ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Menjelaskan jolokan ‘Masjid Besi’ yang diberi, tambah beliau, ini kerana ia menggunakan 70 peratus besi atau anggaran sebanyak 6,000 tan besi keluli sebagai bahan binaan utamanya, manakala selebihnya adalah konkrit.

Batu batan hanya diguna untuk membina ruang letak kereta dan laluan pejalan kaki yang terletak bersebelahan dengan masjid. Bagaimanapun, besi keluli hanya menjadi kerangka masjid kerana ia akan dikemaskan dengan material telus cahaya pada setiap tiang menggunakan sejenis bahan iaitu crystalized glass yang akan menyerlahkan masjid agar kelihatan berwarna putih bercahaya jika dilihat dari jauh.

Pada sebelah malam, simbahan cahaya lampu yang menggunakan kepakaran dari Jepun akan menambah keindahan ‘Masjid Besi’ yang berkonsep seni bina moden kontemporari itu.
Kata Mohd. Ridzwan, keindahan binaan daripada besi keluli itu mungkin masih belum dapat dilihat dengan mata kasar atau sukar divisualkan khalayak.

Ini kerana, masjid tersebut adalah satu-satunya bangunan dengan dinding anyaman besi tahan karat atau Architectual Wire Mesh yang wujud di negara ini. “Skrin atau anyaman Masrabiyah ini diimport khas dari Jerman. Rujukan yang digunakan untuk menggunakan dinding Masrabiyah adalah stadium terkenal milik pasukan Real Madrid iaitu Stadium Bernabeu.

Perpustakaan Negara di Paris juga menggunakan dinding berkonsep sama untuk ruang meletak buku setinggi 20 tingkat dan sebuah ruang letak kereta di Barcelona. “Yang pasti, apabila siap kerangka besi itu akan kelihatan pada kubahnya, manakala di bahagian dinding masjid akan ditutupi skrin Masrabiyah. Ciri unik skrin ini ialah ia telus cahaya dan angin.

“Ini secara tidak langsung menepati konsep yang diingini iaitu berangin (airy), sederhana (light) dan telus (transparent),” kata Mohd. Ridzwan.
Beliau percaya kelebihan itu akan membuatkan pengunjung selesa dengan hembusan angin segar dari Tasik Putrajaya.

Tambahnya, keunikan ini pada masa sama menjadi satu cabaran dari segi teknik pemasangan terutamanya kepada arkitek bertanggungjawab, Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB). Ini kerana aspek keselamatan tetap menjadi faktor utama, di samping menitikberatkan ciri-ciri keunikannya.

Kata Mohd. Ridzwan, masjid yang mula dibina pada Mac 2004 dengan kos RM180 juta kini sudah lebih 80 peratus siap. Ia turut mengetengahkan beberapa lagi keistimewaan yang tidak ada lagi di Malaysia.

Apabila siap, pengunjung boleh menuju ke masjid melalui jejantas yang menghubungkan terus ruang solat dengan Dataran Putrajaya, di hadapan Istana Keadilan dipanggil Kiblat Walk seluas 13,639 meter persegi. Kawasan yang menghadap kiblat ini dihiasi dengan kolam air persis binaan seni bina berkonsep Islamik.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90