Perbetulkan niat apabila bertudung
Seperkara yang ketara di waktu itu apabila seseorang wanita itu bertudung, maka akan nampak beza tingkah lakunya berbanding dengan wanita yang tidak menutup aurat dan peribadinya sendiri sebelum memakai tudung. Kalau dahulu dia senang bergaul bebas dengan lelaki, tetapi bila sudah bertudung, pandangannya sudah mula ditundukkan, bercakap dengan lelaki pun jarang sekali, tidak seronok malah tidak menghadiri majlis yang ada percampuran bebas lelaki dan perempuan, tidak suka berkeliaran di tempat2 awam, cenderung untuk mendalami ilmu2 Islam, suka untuk beribadah, akhlak dan tutur katanya menjadi lembut dan lunak. Suka menolong orang, bibir sentiasa menguntum senyum sebagai sedekah sesama muslim, sedia membantu kesusahan orang lain, sudah membenci kepada dunia kemewahan dunia,tahan di uji dan sentiasa mencari peluang untuk mengajak masyarakat wanita yang lainnya agar sama menutup aurat.
Lantaran berbezanya mereka dengan wanita lain, maka orang pandang tinggi kepada wanita bertudung, walaupun masih ramai tidak suka kepada mereka. Waktu itu, kalau wanita sudah sanggup bertudung, ertinya di dalam dadanya sudah ada sedikit sebanyak ilmu agama. Sekurang-kurangnya dia sudah menghafal dalil-dalil Al Quran dan hadith mengenai hal penutupan aurat. Ini disebabkan mereka sering dihujani dengan berbagai pertanyaan tentang apa yang mereka buat. Untuk menjawabnya, mereka sudah bersedia memberi jawapan yang sesuai dengan nas Al Quran dan hadith untuk menyakinkkan orang ramai. Oleh sebab itu orang ramai memandang tinggi kepada mereka.
Di awal 90 an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana-mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang-kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik malah beberapa pengacara tv dan radio pun sudah memakai tudung. Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak ditemui di taman-taman bunga,di tempat-tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat mekap tetapi kini dengan mudah kita jumpa wanita bertudung berpelesaran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian. Tudung dipakai sebagai hiasan kerana kadang2 pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup dan hendak buka.
Akhlak dan tutur kata kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat. Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai mengikut peraturan. Kalau dahulu wanita bertudung , automatik dia malu untuk ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu ke tempat hiburan dan sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke lembah maksiat. Bila direnung-renung kenapa hal ini boleh terjadi, jelaslah wanita-wanita bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ni kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang tidak bertudung.
Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya. Kini masyarakat telah menerima masyarakat yang memakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung. Setengahnya apabila mereka lihat wanita lain memakai tudung lebih cantik dan lebih manis, mereka pun hendak memakainya tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti memakai tudung. Ada juga yang memakai tudung atas desakan suami atau keluarga. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka. Lantaran itulah nilai orang bertudung pada hari ni sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita bertudung pada awal-awal dahulu.
Hanya wanita berpurdah belum kelihatan berjalan2 di taman bunga atau di tempat2 hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita bertudung pada awal-awal dahulu. Sesuatu amalan yang dilakukan bukan atas dasar ilmu dan yakin serta paham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang dilakukan bukan dari hati yang ikhlas walaupun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah. Wanita yang memakai tudung selain dari keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat.
Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar dan apa yang ada di hati mereka akan diselongkar dan didedahkan oleh Allah di padang masyar di hadapan jutaan umat manusia. Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat : ” Ya Rasulullah s.a.w dengan apakah mencapai keselamatan kelak?” Jawab nabi s.a.w; ” Jangan menipu Allah. ” orang itu bertanya lagi :”Bagaimana menipu Allah?” Jawab baginda ” Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah.”