Memahami fenomena Gerhana Matahari
Gerhana matahari merupakan satu fenomena membabitkan matahari yang sedang bersinar, secara perlahan-lahan menjadi gelap sebahagian atau keseluruhannya, kerana dihalang oleh bulan yang berada di antara matahari dan bumi.
Secara umumnya, gerhana matahari berlaku apabila matahari, bulan dan bumi berada dalam kedudukan sebaris dengan bulan terletak di tengah-tengah antara matahari dan bumi.
Ketika ini, cahaya matahari terhalang sampai ke permukaan bumi kerana terlindung oleh bulan.
Oleh itu, kawasan gelap di bumi ketika berlakunya gerhana matahari, sebenarnya adalah laluan bayang-bayang bulan.
Disebabkan saiz bulan hanya seperempat saiz bumi, maka zon bayangan pusat bulan (umbra) yang jatuh ke permukaan bumi adalah kecil.
Walaupun matahari lebih kurang 400 kali lebih besar daripada bulan, ia berada 400 kali lebih jauh dari bumi dan ini menyebabkan saiz kedua-duanya kelihatan hampir sama jika dilihat dari bumi.
Bulan mengelilingi bumi sekali setiap bulan dan fenomena ini sepatutnya menyebabkan gerhana berlaku pada setiap bulan.
Bagaimanapun ini tidak berlaku kerana sudut bulan mengelilingi bumi adalah condong lebih kurang lima darjah kepada sudut bumi mengelilingi matahari.
Ini bermakna bulan biasanya melepasi sedikit ke atas atau ke bawah matahari apabila ia berada antara bumi dan matahari.
Jenis jenis gerhana matahari
Terdapat tiga jenis gerhana matahari iaitu gerhana penuh, gerhana separa dan gerhana anulus.
Kejadian setiap gerhana tersebut bergantung kepada dua perkara, iaitu berapa rapat bulan baru menghampiri titik nod dan juga saiz relatif matahari dan bulan di langit. Jenis gerhana yang biasa berlaku ialah apabila bulan berada sedikit menjauhi titik nod, jadi sebahagian cakera bulan menutupi matahari.
Lebih kurang 35 peratus daripada semua gerhana matahari adalah gerhana separa.
Gerhana yang biasa berlaku selanjutnya ialah gerhana anulus atau gerhana cincin. Gerhana ini berlaku jika saiz cakera bulan adalah lebih kecil daripada cakera Matahari.
Semasa gerhana anulus, cahaya matahari kelihatan seperti cincin nipis dapat dilihat di sekeliling cakera bulan. Lebih kurang 32 peratus daripada gerhana matahari adalah gerhana anulus.
Jenis gerhana yang ketiga ialah gerhana penuh. Hanya 28 peratus dari semua gerhana matahari adalah gerhana penuh.
Gerhana matahari penuh berlaku apabila penjajaran garisan bumi, bulan dan matahari berlaku secara tepat. Ketika ini, pemerhati di kawasan bayangan pusat (umbra) akanmengalami gerhana penuh, manakala di kawasan bayangan luar (penumbra) akan melihat gerhana sebahagian sahaja. Gerhana Matahari penuh dapat disaksikan hanya dalam lingkungan 25 kilometer (km).
Pada peringkat pertengahan gerhana penuh, bahagian lapisan luar matahari yang dinamakan korona, iaitu hembusan gas-gas panas matahari jelas kelihatan manakala prominence kelihatan melalui sisi bulan.
Fasa gerhana matahari
Dalam membuat ramalan terperinci untuk peristiwa semasa berlakunya gerhana matahari penuh (GMP), ahli astronomi biasanya merujuk kepada empat sentuhan antara pinggir matahari dan bulan.
‘Sentuhan Pertama’ adalah apabila bahagian luar bulan pertama kali menyentuh bahagian luar cakera matahari.
Ini adalah permulaan fasa separa dan ia sangat susah untuk dicerap kerana matahari sangat cerah dan sudah tentu bulan pada masa itu tidak kelihatan.
Apabila bulan secara perlahan-lahan melindungi matahari, bentuk sabit kelihatan apabila matahari hilang sepenuhnya. Ini di panggil 'Sentuhan Kedua' dan pada masa inilah bermulanya fasa penuh.
Pada masa akhir gerhana penuh, iaitu apabila sinaran pertama cahaya matahari kembali semula, ia di panggil ‘Sentuhan Ketiga’ dan ini diikuti oleh lindungan matahari secara perlahan-lahan dialihkan.
Akhir sekali fenomena semasa bulan meninggalkan cakera matahari pula dipanggil ‘Sentuhan Keempat’. Semasa 'Sentuhan Kedua’lah kebanyakan rakaman imej dan eksperimen dilakukan.
Kesan gerhana matahari kepada bumi
Kawasan yang mengalami gerhana Matahari penuh akan menjadi gelap seperti malam yang disinari bulan.
Ini membolehkan planet-planet dan bintang-bintang kelihatan. Suhu juga di dapati jatuh beberapa darjah.
Haiwan menjadi senyap dan ada yang tidur kerana menyangkakan malam telah tiba. Manusia pula, ada yang sangat berminat dengan fenomena ini dan menantikan dengan penuh harapan, tetapi ada juga orang yang takut dengan fenomena ini kerana kepercayaan masing-masing.
Bagi saintis semasa gerhana berlakulah inilah masa yang paling sesuai untuk menjalankan kajian astrofizik seperti tompok matahari, spektrum korona dan global radiation matahari.
Jumaat lalu, sebahagian daripada bumi akan mengalami fenomena GMP bermula dari jam 08:05:11 UTC (waktu piawaian antarabangsa) hingga 12:39:31 UTC.
Kali ini merupakan kitaran ke-47 dalam Saros 126. Laluan bayangan Bulan akibat berlakunya gerhana matahari penuh ini akan bermula di Kanada dan seterusnya melintasi utara Greenland, Artik, tengah Russia, Mongolia dan China yang mana ia akan berakhir ketika matahari terbenam.
Di China, terdapat beberapa kawasan yang sesuai dicerap iaitu di Altay, Hami, Jiuquan, Jinta, Zhang Ye dan Xi'an. Fasa separa gerhana matahari ini pula akan meliputi kawasan yang lebih luas termasuk timur laut Amerika Utara, hampir keseluruhan Eropah dan Asia termasuk di utara Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun kenampakan gerhana matahari separa di utara Semenanjung Malaysia amat sukar kerana ia hanya akan mula berlaku pada jam 1919 petang (waktu Malaysia) dan ketika itu Matahari dan Bulan berada pada altitud lebih kurang 3o sahaja dan hampir tenggelam di ufuk Barat.
GMP kali ini melalui laluan sepanjang 10,200 km dan meliputi sebanyak 0.4 peratus permukaan Bumi.
Maklumat terperinci mengenai GMP
Waktu - waktu penting dalam fenomena GMP kali ini ialah seperti berikut:
Waktu gerhana bermula (sentuhan pertama. Fasa ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar) = 08:05:11 UTC = 16:05:11 MST.
Waktu gerhana maksimum: 10:22:12 UTC = 18:22:12 MST. Berlaku hanya selama 2 minit 27 saat.
Tetapi di Jinta, China (iaitu tempat di mana penulis menjalankan pencerapan, gerhana maksimum iaitu masa gerhana matahari penuh hanya selama 1 minit 48 saat).
Waktu gerhana tamat (sentuhan keempat): 12:39:31 UTC = 20:39:31 MST
Magnitud gerhana: 1.03942
UTC: Waktu Piawai Antarabangsa
MST: Waktu Piawai Malaysia
Pencerapan
Untuk pencerapan gerhana pada kali ini, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menghantar pegawainya untuk melakukan aktiviti pencerapan dan pengumpulan data gerhana tersebut.
Aktiviti yang dirancang ialah aktiviti astrofotografi dan videografi. Pencerapan ini telah dilakukan di sebuah bandar terpencil iaitu Jinta, China (Barat Laut China) bersama dengan kumpulan dari Planetarium Beijing.
Selepas gerhana matahari penuh Jumaat lalu, gerhana matahari penuh akan berlaku sekali lagi pada 22 Julai tahun depan yang juga akan merentasi negara China.
Pada kebanyakan gerhana matahari, fasa penuh gerhana hanya mengambil masa sekitar dua minit sahaja tetapi bagi gerhana mata- hari 2009, ia akan mengambil masa yang lebih lama iaitu hampir tujuh minit dan tempoh selama ini sangat jarang-jarang berlaku.
Untuk memastikan kejayaan sesuatu program pencerapan gerhana, perancangan awal sangat penting terutama dari segi menentukan lokasi tapak pencerapan yang paling sesuai serta perancangan keperluan logistik.
Sehubungan dengan itu, tugas para pegawai Angkasa selain daripada mengumpulkan data gerhana pada kali ini, kami juga bertanggungjawab untuk mengenalpasti tapak pencerapan dan menyediakan maklumat awal gerhana pada tahun depan.
Ini bagi membolehkan supaya suatu program pencerapan yang meliputi program penyelidikan dan pendidikan yang komprehensif dapat dilakukan pada tahun depan.
Selain gerhana pada tahun depan yang merupakan gerhana matahari penuh terpanjang dan sempena dengan program International Year of Astronomy (IYA2009) yang juga disambut di seluruh dunia pada tahun itu, satu program pencerapan gerhana yang komprehensif akan diadakan.
Ia meliputi program webcasting dan siaran langsung gerhana yang mana ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia menikmati fenomena gerhana ini secara langsung.