Baca 3 Surah Untuk Menjadikan Anak Pandai

Ibu kepada kanak-kanak pintar, Adi Putra Abdul Ghani, 6, gemar membaca surah Maryam, Yusuf dan Luqman sebagai amalan harian, terutama pada waktu lapang ketika mengandungkannya.

Serihana Elias, 30, berkata, dia juga tidak dapat melupakan peristiwa bermimpi melihat sebutir berlian di langit, hasil gabungan lima bintang yang cukup terang dan bersinar-sinar ketika berusia belasan tahun dan percaya ia ada kaitan dengan kelahiran Adi Putra.

“Mengandungkannya tidak sama mengandungkan dua anak yang lain. Naluri untuk mengaji dan membaca tiga surah berkenaan lebih kuat. Kalau hari ini saya membaca surah Maryam berulang-ulang kali, keesokannya pula saya membaca surah Yusuf dan Luqman,” kata Serihana, ketika menceritakan amalan dilakukannya ketika mengandungkan anak bongsunya itu.

Serihana yang mendirikan rumah tangga dengan Abdul Ghani Abdul Wahid, ketika berusia 18 tahun, berkata amalan membaca al-Quran ketika mengandung sudah menjadi kebiasaan kepada dirinya.

“Ketika mengandungkan dua anak yang lain iaitu Amirul Ezuan, 10, dan Seri Amelia, 8, saya tidak menumpukan kepada tiga surah saja, sebaliknya akan membaca keseluruhan surah dalam al-Quran,” katanya yang pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Slim River, Perak, selama lima tahun.

Adi Putra yang belajar sendiri di rumah bersama ibu bapanya dianggap pakar dalam menyelesaikan soalan Algebra, Trigonometri dan Indeks dan kepintarannya itu menyebabkan beberapa guru gemar merujuk kepadanya mengenai formula tertentu menyelesaikan soalan matematik.

Dia sering menghadiri majlis motivasi anjuran pelbagai pihak dan sehingga kini sudah menerima 26 sijil penghargaan, termasuk diiktiraf sebagai pakar motivasi daripada Majlis Guru Besar Daerah Larut, Matang dan Selama.

Kepintarannya juga menyebabkan ada sekolah rendah dan menengah menjemputnya untuk memberikan motivasi, selain dua institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Tanjung Malim dan Universiti Sains Malaysia
(USM).

Menurut Serihana, dia tidak dapat melupakan mimpi itu sampai bila-bila kerana bukan mimpi biasa sebagai mainan tidur.

“Mimpi itu penuh makna kerana saya melihat lima bintang membentuk sebutir permata yang bersinar-sinar di langit.

“Mulanya saya sangka kehidupan menjadi semakin hebat sebelum berkahwin, tetapi biasa saja. Bagaimanapun, selepas berkahwin dan menimang cahaya mata bernama Adi Putra, barulah saya sedar mungkin mimpi itu sebagai petunjuk kelahiran insan istimewa,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengatakan kepintaran luar biasa Adi Putra dikesan ketika anak bongsunya itu dapat menghafal sifir Matematik sekali gus membetulkan kesilapan sifir yang diperdengarkan abang sulung.

“Adi Putra anak yang istimewa. Dia mempunyai aura yang sama sekali tidak dimiliki kanak-kanak lain seusianya. Kepintarannya agak luar biasa sehingga mampu menyelesaikan masalah Matematik, selain mencipta formulanya sendiri.

“Saya sama sekali tidak menduga Adi Putra mampu menghafal sifir. Mustahil bagi seorang kanak-kanak berusia empat tahun dapat menghafal sifir berkenaan. Lagipun dia tidak pernah mendapat pendidikan secara formal di sekolah ataupun mendalami subjek itu.

“Pada mulanya Adi Putra sekadar menangis meminta untuk dia turut sama menghafal sifir seperti abangnya. Bagaimanapun saya tersentak, selepas dia mampu menghafal sifir dua, sebelum menghafal keseluruhan sifir terakhir iaitu dua belas,” katanya.

Sambil berbangga dengan kepintaran anaknya, Serihana berkata, dia bukan saja seorang pintar, tetapi bercita-cita untuk menjadi Profesor Matematik Islam berjaya sekali gus menyebarkan ilmu dimiliki kepada masyarakat.

Sikap suaminya yang penyayang dan mengambil berat terhadap anak sedikit sebanyak menaikkan motivasi Adi Putra dan anak lain.

“Dua petua yang diamalkan abang yang sewajarnya diikuti ibu bapa, pertamanya mereka perlu memilih nama yang baik dan keduanya nama anak perlulah dipanggil dengan nama penuh kerana mempunyai kaitan dengan pintu rezeki mereka,” katanya.

Difahamkan Adi Putra yang bertemankan sebuah komputer akan dapat menyelesaikan masalah Matematik atau menemui formula baru, selepas mendapat ilham antara jam 12 tengah malam sehingga empat pagi.

Dia turut menanam azam tinggi untuk menabur bakti seperti idolanya iaitu Naib Canselor Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh.

Adi Putra pernah menunjukkan kepintaran luar biasanya dalam ujian kepintaran minda di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baru, Kuala Kurau, Perak apabila memberi jawapan betul dan pantas mengalahkan 19 guru dan 230 murid Tahun Satu hingga Enam sekolah berkenaan.

Malah, kanak-kanak itu hanya mengambil masa kurang satu minit menjawab soalan asas matematik, manakala soalan peringkat sekolah menengah dan asas universiti pula kurang lima minit dengan hanya menggunakan jari dan kekuatan ingatannya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url