Pengurusan Kewangan - Insurans
Bagaimanapun ada baiknya anda jangan berkata tidak kepada ejen insurans itu sebelum mendengar penerangan mereka mengenai faedah dan manfaat insurans.
Ini kerana insurans adalah salah satu instrumen perancangan kewangan yang sebenarnya memberikan ketenangan jiwa. Wang yang dibayar sebagai premium insurans setiap bulan sebenarnya memberikan perlindungan kepada anda.
Antaranya, wang itu dapat membayar ke atas sebarang kerosakan yang berlaku kepada barangan yang anda beli atau menggantikannya jika ia dicuri.
Ia juga boleh membayar bil perubatan apabila anda dan ahli keluarga dimasukkan ke hospital.
Faedah insurans juga adalah dari segi memberikan bayaran untuk perbelanjaan bulanan, menguruskan hutang atau apa-apa komitmen kewangan jika anda tidak boleh bekerja disebabkan kesakitan serius atau ditimpa kemalangan.
Faedah lain termasuk menyediakan sokongan kewangan kepada ahli keluarga jika seseorang yang bertanggungjawab mencari rezeki dalam keluarga berkenaan meninggal dunia atau jatuh sakit yang menyebabkannya tidak dapat lagi bekerja.
Bagaimana pula syarikat insurans dapat membayar pada jumlah yang tinggi kepada anda meskipun bayaran premium yang dibayar setiap bulan tidak begitu banyak? Dari mana datangnya wang berkenaan?
Sebenarnya, syarikat insurans menjual polisi kepada ribuan orang dan premium yang dikutip itu akan menjadi dana bersama.
Disebabkan tidak semua yang membayar bagi dana bersama itu mengalami peristiwa kurang baik dalam hidup mereka, dan sekiranya ia berlaku sekalipun, ia jarang berlaku serentak, maka syarikat insurans mampu menyediakan wang yang banyak bagi membayar faedah insurans.
Jadi, dana bersama itu akan membantu semua orang yang telah menyumbang kepada dana berkenaan.
Jika anda sudah memahami apakah faedah insurans kepada anda, ada baiknya anda mengenali jenis insurans yang ada di pasaran yang terbahagi kepada insurans am hayat dan am.
Polisi insurans hayat melindungi anda daripada risiko seperti kematian, kesakitan, kecacatan dan bayaran dimasukkan ke hospital.
Jadi adalah penting untuk anda mempunyai insurans jika ada orang lain yang bergantung hidup kepada anda, sama ada mereka itu adalah anak-anak atau ibu bapa anda.
Tempoh perlindungan biasanya lebih daripada setahun dan ada mempunyai pilihan untuk membayar premium setiap bulan, setiap suku tahunan, separuh tahun atau setahun sekali sepanjang tempoh perlindungan.
Insurans am pula melindungi anda daripada kerugian akibat daripada kerugian atau kerosakan yang berlaku ke atas barangan milik anda.
Ia juga melindungi anda jika anda menyebabkan kerosakan kepada pihak ketiga, kematian akibat kemalangan atau dimasukkan ke hospital.
Tempoh perlindungan selalunya selama setahun anda anda perlu membayar premium sekali saja pada setiap tahun.
Produk insurans am yang utama adalah insurans motor, rumah, perjalanan dan barangan peribadi seperti komputer, telefon bimbit, komputer riba dan kamera yang diinsuranskan atas sebab kehilangan atau kecurian.
Antara produk insurans yang semakin popular di negara ini adalah insurans yang berlandaskan Syariah yang dikenali takaful.
Ia mempunyai prinsip asas yang sama dengan insurans iaitu memberikan perlindungan kewangan kepada anda.
Ada dua jenis produk takaful iaitu takaful keluarga dan takaful am. Takaful keluarga adalah gabungan perlindungan dan simpanan jangka panjang yang biasanya meliputi tempoh lebih daripada setahun.
Ia memberikan manfaat kewangan jika anda ditimpa tragedi dan pada masa sama memberikan keuntungan pelaburan.
Jenis takaful keluarga yang asas juga terdiri daripada anuiti persaraan, iaitu pelan yang memberikan anda pendapatan tetap apabila bersara.
Jumlah insurans atau takaful yang dibeli pula bergantung kepada sebanyak mana wang yang anda perlukan untuk menampung gaya hidup anda dan membayar perbelanjaan apabila anda ditimpa sakit yang kritikal atau mengalami kecacatan kekal disebabkan kesakitan atau kemalangan.
Sementara itu, apabila ingin membuat tuntutan insurans anda mesti membuktikan bahawa kejadian yang diinsuranskan itu berlaku.
Pastikan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat insurans. Sebagai contoh, jika barangan peribadi anda yang diinsuranskan telah dicuri, salah satu dokumen yang perlu disediakan adalah laporan polis.
Apa yang penting, anda perlu memaklumkan syarikat insurans dengan serta-merta selepas sesuatu kejadian itu berlaku.
Proses tuntutan akan menjadi lebih pantas jika anda mengemukakan semua dokumen yang diperlukan apabila mengisi borang tuntutan.
Tip sebelum membeli polisi insurans:
Mengetahui enis polisi dan pelan, terutama ciri-ciri dan manfaat.
Tahu risiko dan jenis barangan yang dilindungi insurans.
Mengetahui syarat insurans.
Mengetahui jumlah premium yang perlu dibayar berkaitan dengan jumlah yang dilindungi, risiko yang diliputi dan tempoh perlindungan.
Mengetahui situasi yang membolehkan anda membuat tuntutan dan tahu bagaimana membuat tuntutan.
Membeli insurans daripada ejen yang mewakili syarikat insurans yang sah yang berdaftar dengan Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia.