Bandaraya Ho Chi Minh - Vietnam


Bunyi hon kenderaan seawal jam 6 pagi pantas menceriakan landskap Ho Chi Minh (HCM) atau suatu waktu dulu dikenali sebagai Saigon. Bagaikan pesta keraian, begitulah suasana pagi yang melingkari kota yang pernah tercalar dek kancah peperangan ini.

Ribuan motosikal yang memenuhi simpang siur di laluan utama HCM menjadi bukti kepesatan pembangunan bandar yang sarat dengan sembilan juta penduduk.

Kepesatan pembangunan HCM menangkis tanda tanya prospek pelancongan bandar bersejarah itu. Apatah lagi, penerbangan tambang murah, AirAsia menyediakan penerbangan terus dua hala setiap hari, sekali gus merapatkan hubungan Kuala Lumpur-Saigon.

Pertama kali menjejakkan kaki di bandar HCM, tiada yang lebih membuatkan kita teruja melainkan melihat betapa sibuk warganya menjalankan urusan seharian. Malah, bagaikan tidak lengkap identiti HCM tanpa motosikal.


Seperti bandar pelancongan lain, HCM menjanjikan 1,001 tarikan yang mampu memberi kelainan daripada aspek percutian dengan menawarkan eksotika sejarah, peradaban dan elemen budaya sejagat. Malah, tidak lengkap percutian tanpa mencuci mata dengan membawa ole-ole pulang.

Antara lokasi menarik yang mesti dilawati di HCM ialah Istana Presiden, Terowong Cu Chi, rumah ibadat Cao Dai, pasar Ben Thanh dan restoran terapung.

Istana Presiden ‘Reunification Palace’ (Dinh Thong Nhat) pernah menjadi kediaman dan pejabat bagi presiden Vietnam Selatan sepanjang Perang Vietnam (dikenali juga sebagai Perang Indochina Kedua, dari 1959 hingga 30 April 1975).

Istana empat tingkat itu menjadi tempat rasmi penyerahan kuasa ketika kejatuhan Saigon pada 30 April 1975. Sejarah istana itu bermula dari era penjajahan Perancis di Vietnam bermula 1858 sehinggalah pernah menjadi pejabat koloni Jepun pada 1945, sebelum Jepun menyerah kalah kepada tentera bersekutu pada Perang Dunia II dan Perancis kembali ke istana terbabit.


Terowong Cu Chi yang terletak 70 kilometer atau lebih dua jam perjalanan dari bandar HCM adalah satu daripada destinasi yang tidak harus diketepikan ketika berada di Vietnam. Terowong yang menjadi medan pertahanan tentera tempatan ketika perang itu begitu unik dan cukup bersejarah.

Rumah ibadat Cao Dai pula dikenali sebagai kuil suci Cao Dai mungkin boleh dilawati bagi melihat bagaimana kepercayaan agama yang menggabungkan pelbagai agama di seluruh dunia sebagai pegangan baru di Ninh Province.

Pasar Ben Thanh menjadi nadi ekonomi penduduk tempatan dengan menjual pelbagai barangan produk kraftangan, pakaian, barangan kain sutera hinggalah kepada barangan perhiasan rumah.

Selain harganya yang jauh lebih murah, pelancong masih lagi boleh tawar-menawar. Terletak di tengah pusat bandar, pasar Ben Thanh memang sentiasa sibuk dengan kunjungan masyarakat tempatan dan pelancong luar. Bermula seawal pagi, pasar itu beroperasi sehingga ke malam bagi memastikan pelbagai barangan dapat dibeli dan dijadikan ole-ole wajib.

Restoran terapung adalah sebuah bot besar yang dijadikan restoran sambil menyusuri Sungai Saigon. Pelancong bakal disajikan dengan makanan laut segar sambil menyaksikan pertunjukan menarik dan nyanyian lagu tempatan. Layanan bagaikan VIP bakal diterima sepanjang melayari di atas bot. Bagaikan tidak terasa perjalanan kerana sajian makanan begitu lazat untuk dinikmati. Pelayaran ini mengambil masa lebih dua jam.

Info
Ho Chi Minh



Ada lebih tiga juta motosikal bersimpang siur di bandar ini.


Motosikal adalah kenderaan utama di bandar ini kerana harganya yang jauh lebih murah, iaitu sekitar AS$300 (RM960). Kebanyakan motosikal adalah buatan China, Taiwan dan Korea.


Kebanyakan nama kedai dan jalan di bandar raya terbabit menggunakan bahasa Vietnam, malah hampir keseluruhan warga tempatannya berbahasa Vietnam.


Dua jenis mata wang digunakan iaitu Vietnam Dong dan Dollar Amerika Syarikat (AS$). AS$1 bersamaan 15,000 atau 16,000 Dong (kira-kira RM3.20).


Identiti orang Asia di kalangan rakyat Vietnam jelas kelihatan, kerana bertubuh sederhana, berkulit halus kuning langsat, malah warga tuanya masih mengenakan topi besar berbucu tajam di bahagian atas.


Pakaian tradisi seperti baju labuh ke betis juga masih boleh kelihatan pada sesetengah petugas hotel. Namun kebanyakan generasi mudanya lebih senang berkemeja-T atau kemeja.

Bagaimana ke sana?


AirAsia membuka pejabat jualannya di 254 De Tham STreet bagi memudahkan urusan penerbangan dari bandar HCM ke Kuala Lumpur dan HCM ke Bangkok, Thailand. Penerbangan HCM ke KL setiap hari manakala HCMC ke Bangkok empat kali seminggu.


Penerbangan HCM ke KL bermula daripada harga RM146 manakala RM116 dari KL ke HCM. Maklumat lanjut layari laman web www.asia.com.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url